Shah Alam Antlers mengutip kemenangan ke-3 mereka dalam kempen AXA KVL M5 selepas bangkit mempamerkan persembahan separuh masa kedua yang bertenaga untuk menewaskan Revo FC 2-0 di Stadium MPAJ semalam.
Revo FC yang jelas turun dengan label pasukan bukan pilihan membuat persediaan istimewa dalam perlawanan ini apabila menurunkan 2 pemain import mereka, Conde Kemoko dan Kontoh Theophilus. Keputusan ini nyata memberi faedah buat Revo yang tampil jauh lebih bertenaga – sekurang-kurangnya pada separuh masa pertama – untuk menyaingi Antlers.
Shah Alam Antlers nyata tidak selesa diberikan tekanan tinggi oleh pemain-pemain Revo FC sejak wisel perlawanan dibunyikan. Ditambah pula dengan dominasi fizikal Conde Kemoko di bahagian tengah dan Kontoh Theophilus di bahagian pertahanan, permainan Shah Alam Antlers dibayangi kesilapan demi kesilapan mereka sendiri.
Seawal minit ke-3, Azeem Azhar sudah menghadiahkan bola kepada pemain Revo FC selepas gagal mengeluarkan bola. Pasangan pertahanan Azeem, Luqman Hadi juga tiada bezanya. Beliau kerap menyerahkan penguasaan bola kepada Revo FC setiap kali ditekan oleh Khairil Adzha.
Shah Alam Antlers tetap berbahaya naik menyerang walaupun agak goyah di belakang. Pada minit ke-7, Faris Syazwan menguji penjaga gol Revo FC, Ismadi Isa yang sempat menepis rembatannya.
Pada minit ke-18, Hafizuddin Hassan mempunyai peluang untuk merembat selepas berjaya merampas bola dari pertahanan Revo. Tetapi pertahanan Revo menebus kesilapan mereka dengan menutup ruang kaki kiri Hafizuddin yang dominan – sekaligus membuatkan masa sempurna untuk merembat hilang.
Apabila sepakan percuma Conde Kemoko pada 1 minit sebelum rehat separuh masa pertama menggegar palang, Shah Alam Antlers menuju ke team-talk dengan hamburan teguran dan amarah ketua jurulatih mereka, Ariff Hashim. Hairdryer treatment yang mereka terima itu nampak seperti menyalakan semula api semangat pemain-pemain Shah Alam Antlers yang tampil mempersembahkan separuh masa kedua yang berbeza.
Pada separuh masa kedua, Shah Alam Antlers jauh lebih tenang tetapi – dalam pada masa yang sama – mampu mengekalkan intensiti dan tempo permainan mereka pada separuh masa pertama. Sementara itu, intensiti tekanan Revo FC pula semakin menurun seiring dengan tahap kecergasan pemain-pemainnya.
Kesempatan ini digunakan oleh penyerang Shah Alam Antlers, Sherif Ahmed yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Revo FC, Ismadi Isa dan pertahanannya untuk menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-46. 7 minit kemudian, Ismadi menembak kaki pasukannya sendiri selepas melepaskan bola rembatan Faris Syazwan dari dakapannya untuk gol kedua Antlers.
Kecuali ketika menentang CNA FC, Shah Alam Antlers pastinya lega kesemua lawan mereka ‘layu’ selepas masuk separuh masa kedua. Tetapi jika mereka serius mahu mencabar kejuaraan AXA KVL M5, mereka perlu mencari jalan bermain dengan baik pada separuh masa pertama juga.
Statistik perlawanan
Pemain terbaik perlawanan: Sherif Ahmed (Shah Alam Antlers)