Quantcast

BERITA KOMUNITI

AXA KVL M5: Pengalaman Axis O2 Bantu Ikat PIB FC 1-1

Axis O2 FC menarik nafas lega berjaya mengikat PIB FC 1-1 selepas dihujani siri serangan pantas lawan dalam perlawanan sengit kempen AXA KVL M5 di Stadium MPAJ kelmarin

Meskipun menurunkan majoriti pemain-pemain tonggak mereka seperti Adli Zulgafli, Desmond Amadi, Lucky Ogu dan Aidil Zainal Abidin, Axis O2 bergelut untuk menangani transisi pantas PIB. Jika tidak kerana kekentalan kubu pertahanan mereka yang dikemudi dengan baik oleh Shahizan Ismail dan Irfan Zamir, PIB barangkali boleh menjaringkan lebih daripada 1 gol.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun perlu menunggu sehingga minit 17 ke atas untuk merekod percubaan gol pertama mereka. Pada minit 17’ Faizul Herman terlebih dahulu menguji Axis O2 menerusi rembatannya. Bagaimanapun rembatan Faizul tersasar.

Seminit kemudian, giliran Desmond Amadi pula untuk menguji penjaga gol PIB, Izzat Abdul Rahim. Berpunca daripada hantaran lintang kanan Ahmad Shafeez dari kanan, Desmond Amadi kemudiannya menanduk. Tetapi ia terlalu lemah untuk membahayakan Izzat.

Penyerang sayap Axis O2 FC, Ahmad Shafeez (kanan) cuba melarikan bola melepasi tekanan bek kiri PIB FC, Fikry Tukiman.

PIB FC kemudiannya mencuba lagi. Selepas menyaksikan penjaga gol Axis O2, Noor Azrin menepis satu percubaan mereka pada minit ke-20, PIB memperolehi satu lagi peluang 6 minit kemudian. Tetapi belum sempat bola singgah di kaki Faizul Herman, pertahanan tengah Axis O2, Shahizan Ismail sempat mengeluarkan bola tepat pada masanya.

Terikat 0-0 pada separuh masa pertama, PIB FC akhirnya berjaya mendapat gol pembukaan 3 minit selepas separuh masa kedua bersambung semula.

Berpunca daripada clearance yang lemah daripada Axis O2 ketika cuba bertahan dalam situasi sepakan penjuru, Rosdi Zakaria melepaskan satu das rembatan voli sempurna yang tepat ke sasaran dan menewaskan Noor Azrin dari jarak 20 ela.

5 minit selepas gol pertama, PIB FC semakin berselera memburu gol seterusnya. Faizul Herman yang lincah di sayap kiri berjaya melepasi kawalan bek kanan Axis O2, Lucky Ogu dalam kotak penalti lawan. Bagaimanapun hantaran lintang kirinya meliar sekaligus memberi kelegaan kepada Axis O2.

Disebalik dominasi berterusan PIB FC, Axis O2 tetap mampu menyamakan kedudukan. Dan semuanya berpunca daripada kesilapan pertahanan PIB FC sendiri.

Pada minit ke-44, mereka memberi ruang kepada Desmond Amadi untuk memusingkan badannya dalam kotak penalti. Sebaik memusingkan badannya, Desmond membuat satu hantaran lintang dari kanan yang mencipta situasi panik dalam kotak penalti PIB FC sebelum bola ditampan masuk oleh pemain gantian, Anwar Luqman.

Kedudukan terikat 1-1 sehinggalah tamat perlawanan meskipun ada banyak cubaan menyerang daripada kedua-dua pasukan – terutamanya PIB FC. Tetapi kedua-dua set pertahanan mempamerkan persembahan cemerlang mereka untuk mengecewakan kedua-dua set penyerang yang sedikit menghampakan.

Statistik perlawanan

Pemain terbaik perlawanan: Shahizan Ismail (Axis O2)

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!