Gara-gara keputusan dua kelab Brazil, Atletico Paranense dan Coritiba yang menyiarkan live streaming di Facebook dan Youtube, perlawanan derby antara di Atletico Paranense vs Coritiba ditunda ke hari lain.
Ini sekaligus mengecewakan kira-kira 40,000 penyokong yang datang ke Stadium Joaquim Américo Guimarães awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Insiden ini dipercayai berlaku selepas penyiar rasmi liga, Rede Globo mengarahkan pengelola liga, Federacao Paranaense de Futebol untuk mengarahkan pengadil tidak memulakan perlawanan sehinggalah live streaming rasmi dari kedua-dua kelab itu ditutup.
Tak puas hati dengan bayaran hak penyiaran
Konflik antara Atletico Paranense dan Coritiba dengan Globo bermula apabila kedua-dua kelab dilaporkan tak puas hati dengan bayaran hak penyiaran yang mereka terima daripada perlawanan sebelum ini.
Bengang dengan Globo, pihak pengurusan Atletico Paranaense dan Coritiba membuat keputusan untuk:
- membuat live streaming mereka sendiri dan
- tidak memberi kebenaran kepada Globo menyiarkan perlawanan mereka
Keputusan ini tak lain tak bukan merupakan isyarat jari tengah daripada kedua-dua kelab kepada Globo.
Globo guna kuasa paksa perlawanan dihentikan
Bagaimanapun Globo juga tidak mahu mengalah.
Melihat kedua-dua kelab tersebut menyiarkan live streaming mereka sendiri, Globo menghubungi presiden pengelola liga, Federacao Paranaense de Futebol untuk mengarahkan pengadil menghentikan perlawanan selagi live streaming tidak ditutup.
Arahan Globo ini sudah pastilah tidak diendahkan oleh Atletico Paranaense dan Coritiba.
Tetapi tanpa pengadil, perlawanan tak boleh dimulakan.
Akhirnya perlawanan ditangguhkan oleh pengelola liga atas sebab ‘penyiar media alternatif tiada akreditasi yang sah untuk menyiarkan perlawanan tersebut’.
Pemain dari kedua-dua kelab kemudiannya melakukan tarian seperti dalam gambar di bawah sebagai tanda penghargaan kepada solidariti yang ditunjukkan oleh penyokong kelab kepada mereka.
Situasi hampir sama di Malaysia
Menurut tinjauan kami di laman media sosial, rata-rata penyokong Atletico Paranaense dan Coritiba bengang dengan keputusan Globo yang menggunakan kuasa mereka untuk menangguhkan perlawanan tersebut.
Hashtag #globolixo (lixo bermaksud sampah dalam bahasa Portugis) sedang viral.
Dan rata-rata daripada mereka gembira dengan keputusan Atletico Paranaense dan Coritiba untuk berdegil daripada arahan Globo.
Melihat situasi ini, nyata punca isu ini mempunyai persamaan dengan situasi di Malaysia.
Di Malaysia, Tengku Mahkota Johor (TMJ) berulang kali memperjuangkan bayaran hak penyiaran yang dikatakan tak setimpal dengan nilai kontrak hak penyiaran liga.
Baca juga: CEO FMLLP Ulas Isu #LiveManaWoi Dan Hak Penyiaran Liga Malaysia