Pemain Barcelona, Arturo Vidal menyifatkan pasukannya itu adalah yang terbaik di dunia dan mereka perlu menunjukkan kelas mereka apabila berhadapan dengan Bayern Munich.
Kedua-dua pasukan utama Eropah itu akan bertemu sesama sendiri dalam aksi suku akhir UEFA Champions League pada hujung minggu ini.
Menurut laporan Goal, walaupun berpotensi mengalami musim yang penuh duka tanpa sebarang kejuaraan tetapi Vidal yakin yang mereka mampu membunuh keraguan penyokong Barcelona dengan menewaskan Bayern Munich.
“Saya faham keraguan yang dimiliki oleh penyokong, dalam saingan La Liga kami tidak memberikan persembahan terbaik tetapi harus diingat yang kami mempunyai pemain seperti Lionel Messi ramai pemain hebat lain.”
“Dan kerana itulah kami adalah pasukan terbaik di dunia dan kami akan tunjukkan kepada mereka pada esok [Sabtu] kelak.”
Tambah Vidal lagi, beliau juga turut mengetahui corak permainan Bayern Munich pastinya akan menggunakan kelebihan tersebut untuk memberikan manfaat kepada Barcelona.
Untuk rekod, Vidal pernah berkhidmat untuk juara Jerman itu sebelum beliau berpindah ke Sepanyol.
Prestasi yang tidak menentu Barcelona dalam saingan domestik merupakan cerminan yang kontra buat lawan mereka dari Jerman itu kerana mereka menyapu bersih semua gelaran tempatan pada musim ini.
Malah, penyerang utama Robert Lewandowski turut berada dalam prestasi yang terbaik serta disebut-sebut bakal memenangi Ballon d’Or sebelum anugerah itu diumumkan oleh France Football untuk tidak dipertandingkan pada 2020.