Pemain muda berbakat besar, Arif Aiman Hanapi secara rasminya kini sah mengikat kontrak untuk tempoh lebih lama bersama kelab gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada masa hadapan.
Arif yang mencipta sensasi bersama JDT selama beberapa musim ini jelas mengejutkan banyak pemerhati bola sepak tempatan serta luar negara menerusi kualiti permainan ditampilkannya bersama pasukan tersebut serta skuad kebangsaan.
Pada usia masih muda, Arif menjadi antara pemain muda paling bertuah selepas turut beraksi di pentas tertinggi Asia iaitu AFC Champions League (ACL) dan tampil begitu memberansangkan.
Kualiti dipersembahkan Arif bukan sahaja bukan sahaja mendapat tumpuan besar dalam kalangan peminat serta pengamal media tempatan, malah beliau turut menarik perhatian di luar negara.
Lebih menarik, Arif juga menjadi antara yang mencuri tumpuan pada saingan ACL kali ini selain turut mencatat beberapa jaringan buat JDT di peringkat kumpulan.
Di pentas domestik, beliau menjadi penjaring gol terbanyak tempatan menerusi 12 jaringannya dalam saingan Liga Super 2023 bersama bintang Selangor iaitu Faisal Halim.
Selain itu, Arif juga muncul sebagai pemain paling banyak mencipta bantuan jaringan di pentas Liga Super musim ini dengan 12 ‘assist’ direkodkan penyerang muda itu dan mengatasi nama-nama besar lain seperti Manuel Hidalgo, Yohandry Orozco, Saddil Ramdani, Faisal Halim, dan lain-lain.
Segala kejayaan tersebut dikecapi musim ini bersama JDT, maka tidak hairan beliau mengambil keputusan untuk terus menyambung kontrak baharu bersama pasukan tersebut dengan lebih lama dan dinyatakan secara rasmi oleh laman berkenaan.
Mencipta nama bersama skuad pembangunan JDT sejak beberapa tahun lalu, tiada siapa menyangka kini Arif menjadi antara tonggak penting buat pasukan tersebut serta telah mengecapi semua kejayaan di peringkat domestik.
Malah, beliau juga telah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai negara untuk dua tahun berturut-turut dan berkemungkinan akan mempertahankannya sekali lagi pada tahun ini.
Tidak tertumpu untuk JDT sahaja, bintang muda itu juga kini menjadi aset paling berharga buat pasukan negara yang dijangka mampu untuk mencipta sejarah tersendiri bagi saingan Piala Asia 2023 tidak lama lagi di Qatar.
Bawah kendalian Kim Pan-gon tahun ini, Arif sudah pun merekodkan enam gol serta lima bantuan jaringan keseluruhan bersama skuad Harimau Malaya.
Momentum semasa Arif kini juga menyaksikan beliau mampu untuk membuatkan lebih ramai pemerhati bola sepak sekeliling dunia memberi tumpuan kepada bintang muda ini menyinar di saingan tersebut.
Pada saatnya, Arif berupaya untuk menjadi pemimpin buat JDT serta Harimau Malaya jika momentum positif beliau dikekalkan untuk beberapa tahun akan datang.
Pandangan anda?