Apa Nasib Pasukan Liga Malaysia Jika PKP Berpanjangan?

Liga Malaysia

Liga Malaysia telah pun ditangguhkan sejak 16 Mac sehingga tarikh yang masih belum diketahui memandangkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih tidak memberikan sebarang tarikh mahupun sasaran bilakah saingan akan kembali bermula.

Kini timbul isu kewangan melibatkan kelab-kelab bola sepak di seluruh dunia selepas hampir semua pertandingan dan liga bola sepak telah digantung atau tertangguh ekoran penularan wabak coronovirus (COVID-19).

Persatuan Bola Sepak (FA) England telah pun memaklumkan bahawa kelab dan liga bola sepak di England berisiko untuk ‘lenyap’ sekiranya perlawanan tidak dapat diteruskan untuk jangka masa yang lama ekoran pandemik COVID-19.

Beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Newcastle, Norwich, Bournemouth dan Tottenham Hotspur telah pun memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja mereka sementara Burnley pula mendakwa kelabnya bakal kerugian £50 juta jika perlawanan musim ini tidak disambung.

Beberapa kelab besar lain di luar negara juga seperti Barcelona, Juventus turut menerima impak kepada bencana ini dan mereka telah pun mengambil langkah dengan memotong gaji pemain.

Hampir semua pasukan Eropah berdepan dengan situasi yang sama kerana mereka akan kehilangan beberapa sumber utama bagi kewangan pasukan iaitu penajaan, wang hak penyiaran, tiket perlawanan dan beberapa sumber lain lagi.

Bagaimana pula dengan nasib pasukan-pasukan Liga Malaysia?

Seperti yang ditulis di atas, antara sumber untuk menampung kewangan pasukan adalah penajaan, wang hak penyiaran dan tiket perlawanan.

Namun demikian, kebanyakan pasukan-pasukan ‘besar’ di Malaysia ini sumber utama mereka sebenarnya adalah dana daripada kerajaan negeri seperti Selangor, Kedah, Terengganu, Perak, Sabah dan lain-lain. Sumber lain yang dinyatakan di atas bagi mereka hanyalah sekadar ‘wang sampingan’.

Bagi pasukan-pasukan ini, memang kerajaan negeri mereka akan mengeluarkan sejumlah wang untuk ‘dihanguskan’ setiap tahun. ‘Hangus’ bermaksud mereka tidak pernah memberi pulangan semula daripada wang yang telah ‘dilaburkan’.

Berilah peruntukan RM10 juta, RM20 juta mahupun RM30 juta sekalipun setiap tahun. Ianya akan habis dibelanjakan untuk membayar gaji dan kos-kos operasi yang lain.

Sebab itulah dalam kalangan pasukan-pasukan ini tidak timbul isu mengenai pemotongan gaji pemain kerana mereka tidak pernah memikirkan soal ‘untung dan rugi’ pada setiap musim. Memang setiap tahun jutaan ringgit akan dihabiskan begitu sahaja kerana mereka tahu pada tahun hadapan peruntukan akan terus masuk seperti biasa.

Oleh yang demikian, kemungkinan besar pemain, jurulatih, pegawai dan staf pasukan-pasukan besar ini tidak perlu risau mengenai gaji mereka.

Bagaimana dengan JDT?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimana pula dengan Johor Darul Ta’zim (JDT). Kenapa baru-baru ini pemain mereka telah membuat pemotongan gaji sebanyak 33 peratus?

Seperti sedia maklum, JDT merupakan kelab yang tidak lagi menerima dana daripada kerajaan negeri. Sejak 2016, pemilik JDT adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim dan salah satu sumber utama kewangan mereka adalah daripada penaja.

Pasukan ini telah pun bercakap soal ‘membuat keuntungan’ sejak beberapa tahun lepas lagi dan ianya juga adalah sebahagian daripada visi TMJ dalam meletakkan sasaran nilai kelab tersebut akan mencecah RM1 bilion menjelang dua tahun akan datang.

Bagaimana ia boleh dilakukan adalah dengan mengumpulkan semua aset seperti stadium, hartanah dan fasiliti lain yang dimiliki dan dinilai oleh beberapa syarikat perakaunan.

Antara aset yang dimiliki JDT pada ketika ini ialah Ibu Pejabat JDT, Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Pusat Latihan Padang Mawar, Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah serta tanah seluas 30 dan 70 ekar bersebelahan Johor Premium Outlets dan Stadium Sultan Ibrahim.

Dengan membuat penilaian yang tepat dan telus, ia membolehkan mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi pemegang saham JDT dan mereka sudah boleh secara serius untuk bercakap soal untung dan rugi dalam industri sukan bola sepak.

Adakah pemain JDT akan terkesan dengan penangguhan liga? Mungkin ya kerana ianya telah memberi kesan kepada keuntungan kelab.

Bagaimana nasib pasukan ‘kecil’?

Bagi beberapa pasukan yang tidak mendapat bantuan daripada kerajaan negeri seperti PJ City FC, UiTM FC, dan UKM FC, tentunya penangguhan liga ini memberikan impak yang ketara kerana mereka tidak ada sumber kewangan yang besar dan amat bergantung kepada penajaan.

Malah mereka juga tiada ‘fan base’ yang kuat dan tidak boleh berharap kepada jualan tiket perlawanan.

Timbul juga persoalan mengenai beberapa pasukan lain yang pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji seperti Melaka United, PDRM, Kelantan, Pulau Pinang dan Felda United. Mungkin sebahagiannya menerima dana daripada kerajaan negeri ataupun pihak pengurusan masing-masing, tetapi nilainya mungkin agak kecil. 

Jadi sama ada mereka mampu bertahan ataupun tidak, semuanya bergantung kepada penaja masing-masing.

Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman ketika dihubungi SemuanyaBOLA ada menjelaskan mengenai isu penajaan dan pemotongan gaji melibatkan pasukannya.

“Kami ini memang ada bajet [dari pihak FELDA] tetapi ianya kecil dan memanglah kami ada penaja. Tapi penaja ini juga merupakan syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan, sekiranya perniagaan masing-masing merosot, kita risau juga jika mereka tarik diri atau mengurangkan jumlah penajaan yang mereka mahu berikan.

“Jadi kami pun mungkin perlu juga bincangkan mengenai pemotongan gaji dan serahkan kepada lembaga pengarah untuk memutuskan hal ini kerana dikatakan sama ada Jun atau Julai baru liga akan bermula.

“Cadangan daripada AFC supaya pasukan membuat pemotongan gaji pemain sebanyak 30 peratus mungkin kami perlu bincangkan. Tetapi saya rasa tidaklah sehingga 30 peratus” katanya.

Tambah Afizal lagi, untuk lebih adil mungkin pihaknya perlu buat pemotongan mengikut tangga gaji kerana setiap pemain sudah tentu ada komitmen dan gaji mereka di Felda United bukanlah tinggi.

“Contoh mungkin gaji RM20,000 ke RM30,000 potong 20 peratus, RM10,000 ke RM20,000 sebanyak 15 peratus, RM5,000 ke RM10,000 potong 10 peratus dan RM5,000 ke bawah cuma 5 peratus.”

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Zulakbal Abd Karim pula dalam kenyatannya kepada Harian Metro turut menjangkakan pasukan-pasukan kecil Liga Malaysia yang tidak mendapat dana dari kerajaan negeri ini amat berisiko untuk berdepan dengan masalah kewangan.

“Sedangkan semasa liga berlangsung dan tidak dihentikan kerana Covid-19 pun banyak kelab kecil dan besar masih gagal menunaikan amanah membayar gaji pemain dan pegawai, inikan pula semasa liga ditangguhkan kini.

“Saya bimbang banyak syarikat swasta dan konglomerat terjejas oleh Covid-19 ini. Maka saya percaya akan ada penaja yang menarik diri daripada menaja pasukan kecil dan besar di liga kita. Justeru, pasti akan ada pasukan yang terjejas dari segi kewangan,”

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga telah berjanji akan membantu kelab-kelab bola sepak di seluruh dunia yang kewangannya terkesan secara langsung dengan COVID-19.

Dengan rizab yang dimiliki badan induk bola sepak dunia itu dilaporkan sebanyak $2.7 bilion (RM11.7 bilion), menjadi tanggungjawab mereka untuk membantu pasukan bola sepak di seluruh dunia untuk tidak ‘terkubur’ dan mampu berdiri bagi meneruskan saingan.

Kredit Foto: Twitter @juanbudiman

Baca juga artikel kami mengenai isu pasukan bola sepak dan COVID-19:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN