Semalam, saya dan rakan saya di Semuanya BOLA telah memenuhi jemputan untuk ke Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 (ABK2016) yang berlangsung di Geno Hotel, Shah Alam.
Jangkaan saya sebelum tiba di lokasi adalah malam anugerah ini pasti akan diacarakan secara gilang gemilang.
Mana tidaknya sebaik saja saya mendapat tahu yang kami perlu memakai secara formal, kami tahu majlis ini pasti dilangsungkan dengan secara teliti.
Suasana gilang gemilang
Acara bermula pada jam 7 malam untuk sesi pendaftaran di lobi hotel, namun dek kerana kesesakan lalu lintas di sekitar Shah Alam menyebabkan saya dan rakan tiba sedikit lewat.
Ketika sesi pendaftaran, saya memperoleh tentatif program untuk malam ABK2016. Namun, saya merasakan tentatif tersebut boleh dihasilkan dengan lebih baik lagi.
Hal ini kerana tentatif yang dihasilkan hanya ditaip di kertas A4 dan rupanya hanya sekadar mahu bagi ada sahaja.
Selepas mendaftarkan diri di lobi hotel, saya menuju ke surau di tingkat 5 untuk menunaikan solat Maghrib sebelum ke lokasi anugerah di tingkat 3.
Di luar dewan, suasana anugerah dilaksanakan dengan cukup cemerlang.
Ia ibarat malam gala apabila ketika majlis belum lagi berlangsung, terdapat pelayan yang akan bergerak menawarkan minuman dan makanan kepada kami semua yang hadir di luar dewan.
Sebelum majlis berlangsung, terdapat sebuah kumpulan muzik yang berada di hadapan pintu masuk dewan yang memainkan lagu-lagu bertemakan bola sepak.
Mereka memainkan lagu seperti Arena Cahaya yang merupakan lagu tema filem Ola Bola dan lagu tema untuk siri animasi Bola Kampung!
Ketika saya sedang asyik melayan persembahan kumpulan muzik ini, CEO FMLLP Encik Kevin Ramalingam kebetulan berada di sebelah saya.
Saya kemudiannya menyapa beliau untuk bertanya beberapa soalan, antara soalan yang saya tanya adalah “apa pendapat beliau mengenai majlis ini?”
Beliau pun berkata, “Saya rasa majlis ini akan berjaya. Kami mahu mengubah bola sepak sebagai perkara utama di dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia dan bukannya sekadar acara sampingan rakyat Malaysia ketika hujung minggu.”
“Kami juga ingin mengubah persepsi terhadap pemain bola sepak. Mereka bukan saja pakai seluar sukan dan jersi, tetapi mereka juga pakai sut dan tali leher.”
Dari jawapan Kevin, saya berpendapat yang beliau tetap optimis untuk menjadikan Liga Malaysia sebagai seperti satu budaya kepada rakyat Malaysia seperti di England ataupun Jerman.
Kelewatan
Acara yang dijangka berlangsung pada jam 8 malam berlangsung agak lewat pada sekitar 8.30 malam akibat para tetamu lewat tiba di lokasi anugerah.
Hal ini menyebabkan majlis dilangsungkan dalam keadaan terkejar-kejar.
Dan saya perasan yang Hafizal Hamad dan Hasnida Hanim yang merupakan pengacara majlis pada malam tersebut sedikit berhempas pulas di awal majlis untuk memastikan majlis berlangsung mengikut waktu.
Beberapa kali saya mendengar Hafizal meminta agar para tetamu untuk segara ke tempat duduk mereka, namun masalah itu kemudiannya berjaya diatasi pengacara majlis.
Majlis berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah teknikal berlaku, malah persembahan selingan dari artis-artis tempatan seperti Salamusik, Altimet dan Radhi OAG berjaya menghiburkan para hadirin yang hadir.
Melihat para artis yang melakukan persembahan, saya mula terasa malam anugerah ini ibarat konsert indie. Mana tidaknya, kesemua artis-artis ini bermula dari dunia indie sebelum ke arena arus perdana.
Persembahan Radhi OAG ternyata berjaya membangkitkan memori lama para hadirin yang hadir menerusi lagu Name of the Game, 60’s TV dan Generasiku.
Suasana ketika majlis menjadi sedikit duka apabila sesi penyampaian anugerah khas dilangsungkan.
Anugerah khas yang diberikan kepada mendiang Ah Wa telah menimbulkan sedikit emosi kepada para hadirin ketika di dalam dewan.
Ketika wakil dari keluarga mendiang naik ke atas pentas untuk menerima anugerah, seluruh dewan telah berdiri untuk memberikan tepukan gemuruh diatas jasa yang telah diberikan oleh mendiang ketika beliau masih lagi hidup.
ABK pada 2015 pernah mendapat kritikan kerana acara tersebut seolah-olah mengasingkan para peminat terlalu jauh dengan para pemain pada malam anugerah tersebut.
Namun begitu, pada malam ABK2016 menyaksi sedikit peningkatkan apabila para peminat tidak terlalu dipinggirkan dan terpaksa duduk di belakang dewan ketika majlis berlangsung.
Malah lebih menarik, Baddrol Bakhtiar sendiri pergi duduk bersama-sama para peminat di zon peminat ketika majlis masih lagi berlangsung!
Apa padangan kami?
Keseluruhannya, saya merasakan acara majlis ini berlangsung dengan baik. Dari segi tema, makanan dan suasana majlis, ia cukup membuatkan anda berasa di majlis berprestij.
Keputusan pihak penganjur untuk meletakkan Hafizal Hamad dan Hasnida Hanim sebagai pengerusi majlis adalah satu tindakan tepat kerana mereka berjaya mengendalikan majlis dengan baik.
Pemilihan artis untuk persembahan juga bagus. Artis-artis yang hadir melakukan persembahan berjaya menghiburkan hadirin yang hadir ke malam ABK2016.
Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang boleh ditingkatkan di masa akan datang.
Sebagai contoh tentatif program yang saya sebutkan di awal artikel, saya berharap tentatif dapat dilakukan dengan lebih baik di masa akan datang selepas ini.
Selain itu, timing ketika penyampaian anugerah juga perlu ditingkatkan.
Hal ini kerana ada beberapa kali ketika sesi penyampaian anugerah, belum lagi nama pemenang diumumkan tetapi di skrin besar sudah ditayangkan nama mereka.
Diharap untuk siri ABK akan datang pihak penganjur boleh memperbaiki kesilapan-kesilapan kecil ini. Apa pun, tahniah kepada FMLPP dan FAM diatas penganjuran majlis yang gilang-gemilang ini.
Dan tak lupa, tahniah juga kepada para pemenang ABK2016. Semoga terus cemerlang di dalam karier bola sepak anda!
Jawab soalan kuiz #BolaVaganza dan menang!
[adrotate banner=”27″]
Untuk pengetahuan anda, app Inikan Bola sedang menganjurkan kuiz #BolaVaganza yang menawarkan hadiah-hadaiah lumayan kepada peminat bola sepak tempatan tegar.
Bagaimana cara untuk menang hadiah lumayan ini?
Muat turun app Inikan Bola di Google Play Store dan sertai kuiz #BolaVaganza sekarang!
Baca juga: Bagaimana Caranya Pengulas Perlawanan Bola Sepak Berkerja? Ini Pengalaman Saya!