Quantcast
Bagaimana Caranya Pengulas Perlawanan Bola Sepak Bekerja? Ini Pengalaman Saya


KAJIAN & FAKTA

Bagaimana Caranya Pengulas Perlawanan Bola Sepak Bekerja? Ini Pengalaman Saya

Sunday, 23 Oct 2016

Sejak kecil lagi saya menjadi peminat setia Liga Malaysia walaupun ada satu ketika rakyat Malaysia memilih untuk menonton Premier League berbanding liga kita sendiri.

Dari zaman sekolah lagi, saya ada satu kecenderungan untuk mengulas. Mengulas apa sahaja yang berlaku di depan mata saya. Malah, ahli keluarga saya pernah memberi dorongan kepada saya untuk menjadi juruhebah radio jika berpeluang.

Pada usia 18 tahun, ketika itu hangat dengan ‘perpindahan’ kontroversi Hafizal Hamad dan Allahyarham Dato’ Hasbullah Awang dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke Astro Arena.

RTM kemudiannya melakukan uji bakat mencari pengganti 2 ikon sukan RTM tersebut, terdetik di hati saya untuk pergi mencuba nasib namun kerana had umur minimum untuk uji bakat itu adalah 20 tahun. Saya matikan hasrat tersebut.

Tanpa disangka-sangka, peluang itu hadir semula kepada saya.


Tidak disangka-sangka

Pada hari Selasa 18 Oktober 2016, seorang pemuda bernama Modya Moha menghantar private message kepada fanpage Semuanya BOLA.

Beliau mencari seorang pengulas untuk mengulas sebuah perlawanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR).

Saya kemudiannya memberikan nombor telefon saya kepada beliau untuk perbincangan lanjut.

Beliau kemudiannya memberikan butir-butir perlawanan kepada saya di Whatsapp.


Pada mulanya berat hati untuk saya terima kerana perlawanan tersebut berlangsung di Kemaman, Terengganu. Hal ini kerana saya perlu pergi ke sana dengan sekumpulan individu yang saya tidak kenal!

Namun atas dorongan teman-teman sekerja di Semuanya BOLA, saya memujuk diri saya untuk ke sana.

Pesediaan sebagai pengulas

Saya tidak ke Kemaman dengan tangan kosong. Saya diberikan tips bagaimana untuk menjadi seorang pengulas yang baik oleh teman-teman sekerja.

Saya juga menonton video di YouTube bagaimana Jon Champion melakukan persediaan untuk perlawanan akhir FA Cup 2012. Tak sangka video yang saya tonton bertahun-tahun itu akan berguna kepada saya.


Selain daripada itu, saya juga melakukan beberapa kajian mengenai pasukan yang bertanding iaitu Kemaman dan Pasir Puteh.

Tapi proses kajian saya tidak semudah yang disangka, kekangan informasi dari laman rasmi LBR sendiri memaksa saya untuk melakukan lebih banyak kajian ketika tiba di Kemaman.

pengulas4

Dari Kuala Lumpur ke Kemaman

Saya bertolak bersama-sama dengan kru Infomedia Network ke Kemaman pada jam 7.00 pagi pada hari Jumaat 21 Oktober 2016.

Saya pada waktu itu rasa cukup asing dalam kalangan ahli kru. Mana tidaknya saya tidak kenal sesiapa pun!

Pada waktu itu saya mula mempersoalkan keputusan saya di dalam hati, “adakah ini keputusan yang tepat?”

Namun selepas saya mula berkenalan dengan ahli-ahli kru, saya mula selesa untuk kerja bersama.

Kami akhirnya tiba di Stadium Mini Mak Chili di Kemaman pada sekitar jam 11.30 pagi. Di sana, saya menyiapkan beberapa soalan untuk ditujukan kepada kedua-dua jurulatih pasukan yang bertanding berdasarkan info yang saya dapat.

pengulas3

Saya juga dapat berjalan-jalan di sekitar stadium, dan saya berjaya peroleh beberapa gambar yang menunjukkan ahli kru sedang meyediakan kelengkapan untuk siaran langsung.

pengulas2

Kajian saya berjaya disambung semula beberapa jam sebelum perlawanan. Saya berjaya menemu ramah pemain dari pasukan Kemaman untuk saya dapatkan info tambahan.

Mengulas secara langsung

Tipu jika saya katakan saya tidak gementar apabila saat untuk mengulas secara langsung semakin hampir.

Tetapi sedikit demi sedikit rasa gementar itu saya bunuh dengan membaca sedikit doa dan melakukan aktiviti memanaskan badan. Selepas saya memanaskan badan, baru saya lebih selesa untuk mengulas.

Tepat jam 4.30 petang, suara saya mula ke udara buat pertama kalinya. Agak gugup pada mulanya, terdapat beberapa kali saya tersilap sebut nama pemain pada separuh masa pertama.

Namun pada separuh masa kedua, segalanya lebih baik. Saya lebih tenang kerana sudah mula mendapat rentak.

Apa yang melucukan adalah saya mengulas di tempat yang orang ramai sering lalu-lalang. Jadi apabila mereka nampak saya mengulas, mereka pasti akan berkerumun di belakang saya untuk melihat dan mendengar saya mengulas!

Perkara yang membuatkan saya kagum dengan LBR adalah dari segi sambutan. Ternyata ramai penduduk Kemaman turun ke stadium menyokong pasukan mereka.

Namun sayang, pasukan mereka tewas 1-0 kepada Pasir Puteh walaupun mempunyai deretan peluang.

Apa yang saya nampak, LBR mempunyai potensi untuk memperoleh sambutan yang hangat sama seperti Liga Super atau Liga Perdana. Cuma apa yang kurang adalah promosi mengenai liga ini kepada umum.

pengulas1

Pengalaman yang menyeronokkan

Sekitar jam 8.00 malam, kami pun bertolak pulang ke Kuala Lumpur dan tiba di kota pada tengah malam.

Jujurnya, saya tidak pernah sangka peluang untuk menjadi pengulas tiba juga di hadapan saya.

Bermula dengan hanya mengulas seorang diri di dalam bilik sambil bermain PES2011 ketika usia 16 tahun. Kini saya dapat juga mengulas perlawanan bola sepak sebenar walaupun pada mulanya saya tak berani nak lakukan.

Namun hasil ‘paksaan’ dan dorongan daripada ahli keluarga, teman-teman sekerja serta sahabat handai, saya memberanikan diri saya untuk memecahkan sekatan mental yang selama ini mengatakan yang saya tidak mampu melakukannya.

Jika pembaca ada terdetik ingin menjadi pengulas bola sepak, pergi kejar impian itu! Mana tahu satu hari nanti anda akan menjadi seperti Allahyarham Dato’ Hasbullah Awang?

*Dengar bagaimana saya mengulas perlawanan LBR antara Kemaman dan Pasir Puteh dengan klik di sini. Tinggalkan di bahagian komen bagaiamana hendak saya baiki ulasan saya!

Baca juga: Stadium Tun Abdul Razak: Matchday Experience FELDA United VS JDT Yang Gila

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!

Topik Berkaitan

Kategori Artikel


Kongsi

Komen Artikel: Bagaimana Caranya Pengulas Perlawanan Bola Sepak Bekerja? Ini Pengalaman Saya



Berita Bola Yang Menarik