Pengurus Chelsea, Antonio Conte dilaporkan tidak akan kembali sebagai jurulatih skuad kebangsaan Itali, dan memilik untuk kekal di Stamford Bridge pada musim hadapan.
Perkara tersebut disahkan oleh ejen beliau, Federico Pastorello ketika ditemual oleh Rai Sport baru-baru ini. Pastorello berkata:
“Conte memilih untuk turun ke padang latihan setiap hari, dan saya melihat Conte akan terus kekal bersama Chelsea pada musim hadapan.”
Conte pernah mengendalikan skuad kebangsaan negaranya, dan membimbing Itali layak sehingga ke peringkat suku akhir Euro 2016. Sejak pengendali terdahulu Gian Piero Ventura dipecat, khabar angin mengaitkan Conte dengan jawatan tersebut mulai bertiup kencang.
“Conte pernah melalui pengalaman bersama Itali. Kini beliau memilih untuk mengendalikan sebuah kelab yang membolehkan beliau turun ke padang latihan setiap hari.”
“Saya pendapat saya, Conte akan berada di Stamford Bridge melangkaui tahun ini kerana mempunyai baki kontrak selama setahun setengah bersama Chelsea.”
“Conte bukan jenis jurulatih yang gemar meninggalkan serta menangguhkan pekerjaan yang dilakukannya,” tambah Pastorello.
Khabar angin mengenai masa depan Conte timbul setelah prestasi buruk Chelsea pada Januari lalu. Setelah membawa Chelsea bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertamanya di England, Conte dan The Blues gagal mengulangi pencapaian dan prestasi mereka pada musim lalu.
Lebih buruk lagi, Chelsea kini ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu Manchester City, dan berada di kedudukan ke-4 EPL.
Peluang terbaik Chelsea untuk memenangi trofi pada musim ini ialah di pertandingan Piala FA. Chelsea menewaskan Hull City 4-0 di pusingan kelima untuk menempah slot suku akhir bertemu Leicester City di King Power Stadium pada bulan hadapan.
Tetapi sebelum itu, Conte dan Chelsea harus berhadapan dengan Lionel Messi dan Barcelona di pertandingan UEFA Champions League, untuk mencabar diri mereka untuk mara sejauh mungkin di pentas eropah pada musim ini.