Pemain jentera serangan Barcelona, Antoine Griezmann mengakui beliau gembira di kelab tersebut meskipun musim pertamanya menyarung jersi pendahulu La Liga itu tidaklah berjalan seperti diharapkan.
Griezmann, 29 tahun, dilihat sedikit bergelut untuk mempamerkan aksi cemerlang seperti ditampilkannya ketika menjadi sandaran utama buat Atletico Madrid sejak lima musim lalu.
Kecemerlangan itu telah membawanya ke Nou Camp selepas memeterai kontrak selama lima tahun berserta yuran perpindahan bernilai €120 juta dan dikhabarkan klausa pelepasan yang ditetapkan ialah sebanyak €700 juta.
Hampir semusim bersama Barcelona, pemenang Piala Dunia 2018 itu hanya mampu menjaringkan lapan gol daripada 26 penampilan dalam La Liga 2019/20.
”Ia adalah satu kebanggaan, saya sangat gembira berada di Barcelona. Ayah saya juga sangat gembira dapat melihat anaknya beraksi untuk Barcelona.”
”Saya mahu melakarkan sejarah buat kelab ini. Saya perlu untuk bekerja bagi merealisasikannya, saya kene bekerja keras bagi menjadi seseorang yang penting buat kelab ini,” ujar Griezmann menurut laporan Sport Bible.
”Saya berharap agar dapat meningkatkan prestasi dalam menjaringkan gol dan mencipta bantuan jaringan. Saya sudah menyesuaikan diri, cuba untuk lebih banyak belajar mengenai taktikal.”
”Saya berasa sangat baik, secara fizikal dan mental. Saya mahu bekerja dan meningkatkan prestasi saya,” tambah Griezmann lagi.