Quantcast

KAJIAN & FAKTA

10 Perkara Yang Mungkin Anda Tidak Tahu Mengenai Antoine Griezmann

Barcelona telah pun mengumumkan secara rasmi perpindahan Antoine Griezemann dengan nilai perpindahan €120 juta – setelah spekulasi mengenai masa depan pemain tersebut menjadi tanda tanya sejak Mei lalu.

Terkini, Atletico Madrid dikatakan berang dan mendakwa Barcelona sebenarnya masih gagal menjelaskan bayaran bernilai €80 juta. Atletico mendakwa Griezmann sepatutnya bernilai €200 juta, kerana penjualan pemain tersebut telah dipersetujui sebelum klausa baharu pada 1 Julai bermula.

Lupakan perkara tersebut terlebih dahulu. Selama ini kita mungkin hanya tahu Griezmann adalah penyerang antarabangsa Perancis dan juga Atletico Madrid. Berikut adalah 10 perkara lain yang menarik mengenai pemain ini.

1. Juruterbang terkenal dan sasterawan

Antoine Griezmann mempunyai perkaitan rapat dengan sasterawan Perancis, yang juga merupakan seorang juruterbang pesawat komersil sebelum Perang Dunia II, iaitu Antoine de Saint-Exupéry.

Mereka bukan sahaja mempunyai nama yang sama, malah mempunyai nama gelaran yang sama: Le Petit Prince. Pada lengan pemain itu turut diukir tatoo dengan ayat dari hasil penulisan karyawan tersebut berbunyi, “Jadikan hidup ini sebuah mimpi, dan sebuah mimpi, dijadikan realiti.”

circa 1935: French airman and writer Antoine de Saint-Exupery (1900 – 1944), who was killed in a reconnaissance flight over North Africa during World War II. His best known literary work is the children’s story ‘Le Petit Prince’ (‘The Little Prince’). (Photo by Hulton Archive/Getty Images)

2. Dari Portugal ke Macon

Griezmann adalah pemain Perancis yang ke-20, dilahirkan dan dibesarkan di Macon, Perancis. Menariknya, Griezmann juga mempunyai pertalian darah yang berasal dari Portugal.

Ini kerana datuk kepada Griezmann yang dikenali sebagai Amaro Lopes berhenti bermain bola sepak secara profesional di Portugal, sebelum memilih untuk berhijrah ke Perancis. Amaro terpaksa berbuat demikian kerana bola sepak tidak menjanjikan masa depan pada ketika itu. Beliau kemudiannya bekerja sebagai seorang buruh di tapak binaan.

3. Permulaan yang sukar

Karier bola sepak Griezmann bermula dengan kesukaran. Kelab pertama beliau adalah Macon. Beliau diajak oleh pencari bakat untuk menguji nasib di banyak kelab. Antaranya ialah Auxerre, Lyon, Sochaux, Saint-Étienne, Metz dan Montpellier.

Kerana susuk badan yang kecil, beliau gagal dalam setiap sesi pemilihan di Perancis. Kemudian Real Sociedad menunjukkan minat terhadap Griezmann ketika beliau berusia 13 tahun, sekaligus memaksa beliau meninggalkan Macon untuk ke Baiona – dan tinggal bersama pencari bakat, Eric Olhats. Di situlah segalanya bermula buat Grizemann.

4. Blaugrana: Maroon dan biru

Sebelum menyertai Barcelona sekalipun yang terkenal dengan warna blaugrana – kombinasi belang warna maroon dan biru – Griezmann sememangnya sudah menyarung jersi tersebut sejak usia muda.

Pada usia 10 tahun, Grizmann beraksi untuk kelab Union du Football Mâconnais (UFM) yang sememangnya menggunakan serta mempertahankan warna blaugarana sebagai identiti pasukan.

5. Gemar jadi penjaga gol

Griezmann yang ramai dari kita ketahui adalah penyerang berbisa yang gemar menjaringkan gol. Sehingga kini, pemain ini telah menjaringkan 150 gol di La Liga bersama-sama Real Sociedad dan Atletico Madrid.

Tetapi ketika zaman kanak-kanak, Grizmann juga gemar beraksi sebagai penjaga gol. Kebiasaannya selepas tamat latihan, beliau akan beraksi sebagai penjaa gol bersama rakan-rakannya yang lain.

6. Peminat sukan bola keranjang

Selain daripada bola sepak, Grizemann juga meminati sukan bola keranjang. Maka tidak hairanlah Griezmann adalah seorang peminat NBA.

Pemain NBA kegemaran Griezmann ialah Derrick Rose. Malah kediaman beliau di Madrid mempunyai gelanggang bola keranjang yang dibina khas, untuk membenarkan beliau melakukan latihan.

7. Tampil di layar perak

Secara teknikal, Griezmann juga boleh digelar sebagai seorang pelakon, walaupun ianya tidak secara langsung.

Ini adalah selepas Griezmann merupakan suara di sebalik watak Superman dalam filem Batman: The Lego Movie versi Perancis.

8. Kagum akan Sonny Anderson

Ketika zaman kanak-kanak, setiap daripada kita pasti mempunyai pemain bola sepak yang dijadikan idola. Setiap lenggok gerakan kalau boleh juga mahu diturutkan agar sama dengan pemain tersebut.

Bagi Griezmann, idola beliau zaman kanak-kanak ialah bintang Barcelona yang berasal dari Brazil, Sonny Anderson. Anderson beraksi bersama Lyon selepas meninggalkan Barcelona pada 1999, dan aksi pemain itu telah memukau Griezmann.

9. Ballon d’Or 2016

Griezmann tidak pernah menjulang anugerah Ballon d’Or, tetapi beliau pernah berada di podium sebagai tiga pemain terbaik dunia dalam majlis anugerah tersebut pada 2016. Tetapi kisah menarik mengenai Griezmann dan Ballon d’Or 2016 berlaku beberapa bulan sebelum itu.

Selepas tamat latihan dan ketika memandu pulang ke rumah, Griezmann menghubungi panggilan ejen dan kakak beliau yang tidak sempat dijawab. Akibatnya, beliau dikejutkan apabila diberitahu diumumkan sebagai pemain ke-3 terbaik dunia. Kegembiraan Griezmann turut disedari pemandu kenderaan lain sepanjang jalan dilaluinya.

10. Minuman kegemaran dari Uruguay

Griezmann gemarkan budaya dari Uruguay dan gemar minum mate – sejenis minuman tradisional Uruguay berasaskan kafein, tetapi bukan dari biji kopi – terkenal di serata negara Amerika Selatan.

Individu yang memperkenalkan minuman tersebut kepad beliau ialah Carlos Bueno ketika mereka beraksi bersama-sama di Real Sociedad. Selepas menyertai Barcelona, kini Griezman boleh minum mate bersama-sama dengan ‘team mate’ baharu iaitu Lionel Messi dan Luis Suarez, juga dari Amerika Selatan.