Pada usia 21 tahun ketika ini, pemain Perancis, Kylian Mbappe telah mencatatkan rekod jaringan yang luar biasa di Liga Juara-Juara Eropah (UCL), jauh lebih unggul berbanding Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi ketika di usia yang sama dengannya.
Malah, pada usia 21 tahun, Ronaldo belum berhasil menjaringkan sebarang gol di UCL, sementara Messi pula hanya merekodkan dua jaringan bersama Barcelona.
Pada Februari tahun lalu, Mbappe telah menyamai rekod jaringan lagenda hidup Brazil, Ronaldo, di pentas UCL iaitu 14 gol. Namun, yang menariknya, penyerang PSG itu telah melakukannya dalam 24 penampilan berbanding Ronaldo, 40 penampilan.
Ya, ia mungkin satu langkah yang masih jauh buatnya untuk mengejar Cristiano Ronaldo yang ketika itu merekodkan 121 jaringan dan Messi (106 jaringan), namun dengan umurnya yang masih muda, segalanya tidak mustahil untuk dicapai nanti.
Sejak daripada itu, banyak pihak membandingkannya dengan pemain-pemain terbaik di dunia, tetapi ketika dipersoalkan mengenai siapa pilihannya antara Ronaldo dan Messi, ia satu persoalan yang pastinya dilihat sukar buat pemain muda tersebut.
Bercakap kepada France Football sekitar April 2019 mengenai persoalan tersebut, Mbappe tanpa berselindung telah memilih untuk meletakkan dirinya di bangku simpanan sahaja agar kedua-dua pemain hebat itu bermain dengan pasukannya.
“Jika saya perlu memilih antara Ronaldo dan Messi untuk menyertai pasukan saya, saya lebih rela duduk di bangku simpanan dan melihat mereka berdua bermain bersama bagi memastikan pasukan kami menang,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
“Tentunya saya boleh memilih salah seorang, tetapi seorang akan dikorbankan. Dan anda tidak berhak memperlekehkan dua ‘raksasa’ ini. Memilih salah seorang daripada mereka, akan menidakkan pencapaian seorang lagi pemain,” tegas Mbappe lagi.
Sebelum ini, Mbappe pernah berkata kepada persoalan dalam temubual bersama beIN Sports, di mana beliau telah menyatakan yang kedua-dua pemain tersebut adalah idolanya termasuklah rakan sepasukannya di PSG, Neymar, yang turut diminatinya.
Sementara pada 2017 pula, Ronaldo pernah meramalkan yang pemenang Piala Dunia 2018 itu adalah antara enam pemain yang bakal menjadi penggantinya selepas beliau menggantungkan butnya selain Asensio, Neymar, Dembele, Hazard dan Rashford.
KREDIT FEATURED IMAGE: TRIBUNA