Pada usia yang sudah mencecah 35 tahun, mungkin ramai beranggapan Cristiano Ronaldo tidak mampu untuk menjelmakan bisa sentuhan seperti kebiasaan terutamanya sewaktu kemuncak prestasi beliau ketika bersama Real Madrid.
Bersama Los Blancos selama sembilan musim, Ronaldo berjaya meledakkan 450 pada 438 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai kelab gergasi Sepanyol itu.
Ronaldo bagaimanapun tetap menjadi Ronaldo yang sama. Kegigihan dan kerja kerasnya sehingga ke hari ini telah berjaya menepis setiap kritikan yang dilemparkan terhadapnya walaupun kini sudah bersama Juventus.
Sekiranya membicarakan tentang rekod aksi antarabangsa, Ronaldo menjadi pemain kedua dalam sejarah bola sepak dunia yang mencetak jaringan ke-100 selepas beliau menyempurnakan sepakan percuma dengan cukup baik ketika membantu Portugal menumpaskan Sweden tempoh hari.
Sehubungan dengan itu, beliau melakar sejarah dengan menjadi pemain Eropah pertama yang meledakkan 100 [101 secara keseluruhan] jaringan, jauh meninggalkan Robert Lewandowski [pemain Eropah yang masih aktif beraksi] dengan kelebihan 40 gol.
Seperti diketahui, Ronaldo juga telah menjaringkan lebih 700 gol dalam kariernya di mana pencapaian itu turut dilakarkan oleh Pele, Romario, Gerd Muller, Josef Biscan, Ferenc Puskas dan seteru utamanya, Lionel Messi.
Sehingga artikel ini ditulis, Ronaldo telah menjaringkan 739 jaringan pada 1015 penampilannya dalam semua pertandingan peringkat kelab dan juga bersama skuad kebangsaan Portugal.
Bersama Juventus, anak kelahiran Funchal, Madeira ini menjadi pemain terpantas dalam sejarah skuad The Old Lady dalam menjaringkan 50 gol. Beliau hanya memerlukan 61 perlawanan sahaja untuk memegang rekod tersebut, di mana menjadi pemain kedua terpantas dalam saingan Serie A.
Dalam pada itu, Ronaldo juga merupakan pemain tertua yang berjaya menjaringkan lebih daripada 30 gol dalam lima saingan liga utama di Eropah sejak 1948. Ia berikutan pencapaian hebatnya dalam menjaringkan 31 gol dalam kempen Serie A musim lalu.
Tidak cukup dengan itu, kualiti penyudah hebat yang masih dimilikinya telah menjadikan Ronaldo sebagai satu-satunya pemain yang berjaya meledakkan 50 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris, La Liga dan Serie A.
Ini juga bermakna Ronaldo telah mencatatkan jumlah jaringan dua digit buat musim ke-15 berturut-turut setelah memulakannya pada kempen 2005/06 ketika menyarung jersi Manchester United yang merupakan musim ketiganya bersama The Red Devils.
Dari aspek gaya hidup juga, Ronaldo turut melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai pemain bola sepak pertama yang bergelar ‘Billionaire’ seperti diumumkan majalah Forbes.
Sekiranya melihatkan kepada fizikal dan keupayaannya pada ketika ini, tidak mustahil untuk kita melihat pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali ini untuk terus melebarkan rekod peribadinya dari semasa ke semasa.
Apa yang pasti, para peminat bola sepak benar-benar beruntung kerana dapat melihat pemain hebat seperti Ronaldo dan Lionel Messi bersaing hebat dalam memberikan yang terbaik buat karier gemilang mereka pada hari ini.
Kredit featured image: David Lidstrom/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Cristiano Ronaldo: