Cristiano Ronaldo: Pemain Bola Sepak Pertama Berstatus ‘Billionaire’

Cristiano Ronaldo

Bintang Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo melakarkan satu lagi rekod hebat dan ia tidak pernah dinikmati oleh mana-mana pemain sebelum ini setelah menjadi pemain pertama dalam sejarah bola sepak dunia yang berjaya mencapai status selaku ‘billionaire’.

Sehubungan dengan itu, pemain kelahiran Funchal, Portugal tersebut menjadi atlet ketiga selepas Tiger Woods dan bekas petinju terkenal, Floyd Mayweather yang memiliki harta mencecah nilai 10 angka itu.

Menurut sumber majalah Forbes yang dikeluarkan Goal, Ronaldo telah mencatatkan pendapatan sebanyak $105 juta sebelum cukai pada tahun lalu bagi menjadikan aset kekayaannya melebihi $1 billion.

Forbes juga dalam pada itu turut menyenaraikan Ronaldo sebagai selebriti yang mencatatkan pendapatan keempat tertinggi di belakang pemain tenis terulung, Roger Federer, penyanyi rap dari Amerika Syarikat, Kanye West dan Kylie Jenner yang merupakan personaliti televisyen.

Ronaldo dikatakan telah menerima sebanyak $650 juta sepanjang 17 tahun pembabitan sebagai pemain profesional manakala bakinya pula adalah hasil daripada sumber penajaan.

Beliau turut mengikat kontrak mewah seumur hidup bersama Nike sejak dari tahun 2016 serta turut terikat dengan beberapa jenama terkenal yang lain.

Serangan COVID-19 yang melanda dunia bagaimanapun menyaksikan Ronaldo turut terkena tempias daripada wabak tersebut selepas gajinya di Juventus telah dipotong sebanyak 30 peratus.

Dalam pada itu, Ronaldo turut terlibat secara serius dalam bidang perniagaan yang melibatkan fesyen serta hotel dan muzium CR7 di tanah kelahirannya, Funchal.

Dalam perkembangan yang lain, Forbes turut menjangkakan bahawa ‘pesaing’ utama Ronaldo iaitu Lionel Messi akan memasuki senarai billionaire itu pada tahun hadapan.

Kredit featured image: Octavio Passos/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Ronaldo:

Leave a Reply