Ketika para peminat Manchester United sudah mula memasang angan-angan untuk melihat kelab tersebut menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21, lain pula pendapat disuarakan oleh bekas peledak berbisa The Red Devils, Andy Cole.
Sedar skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu sudah menunjukkan peningkatan mendadak tetapi Cole merasakan Harry Maguire dan rakan sepasukannya tidak mampu untuk memberikan tentangan hebat sehingga ke akhir persaingan.
Memulakan saingan dengan aksi turun naik, Manchester United mempamerkan kebangkitan sehingga berjaya menduduki tangga teratas kempen liga dengan kelebihan tiga mata berbanding juara bertahan, Liverpool.
Lebih menarik, kedua-dua pasukan akan bertembung sesama sendiri pada hujung minggu ini dan sekiranya berjaya mencatatkan kemenangan di Anfield, United akan melebarkan lagi penguasaan di tangga teratas.
Bagaimanapun, Cole yang merupakan anggota skuad Manchester United yang memenangi kejuaraan ‘Treble’ 1998/99 masih sangsi dengan keupayaan kelab tersebut.
”Mampukah Manchester United memenangi liga pada musim ini? Mungkin tidak,” ujar Cole menurut laporan Goal.
”Saya merasakan Manchester United akan berada di tangga teratas pada 12 Januari, seperti yang dikatakan oleh Ole, ia merupakan pencapaian yang hebat kerana melihatkan kepada di mana mereka berada pada beberapa bulan yang lalu.”
”Semua orang mengatakan bahawa Ole tidak seharusnya menjadi pengurus Manchester United dan saya rasakan dia telah mengubah pemikiran tersebut dan bagaimana mereka mendapat keyakinan untuk berada di kedudukan ketika ini.”
”Pemain sudah mula menunjukkan prestasi baik dan saya merasakan pemain menghargai kualiti mereka dan kualiti yang dimiliki Liverpool.”
”Dan untuk merapatkan jurang [dengan Liverpool] dalam satu musim. Ia memerlukan konsistensi dan pasukan ini [Manchester United] masih belum bermain dengan sangat baik.”
”Tetapi, untuk memenangi musim ini, beberapa perkara perlu dilakukan.”
”Saya tidak fikir kita sudah cukup bersedia untuk memenangi gelaran juara liga pada musim ini tetapi saya rasa kita akan melihat musim hadapan apabila saya rasakan kita boleh menjadi lebih baik,” tambah Andy Cole lagi.
Kredit featured image: Carl Recine – Pool/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Andy Cole dan Manchester United:
‘Ronaldo Baru’ Antara 5 Pembelian Terburuk Manchester United Selepas Era Alex Ferguson
Andy Cole Kembali Bekerjasama Dengan Sol Campbell, Sertai Barisan Kejurulatihan Macclesfield Town
Andy Cole: Man Utd Sudah Tiada Aura Untuk Tarik Pemain Bintang