Sebuah lagi kelab dari London, West Ham United juga kelihatan begitu aktif berbelanja pada jendela perpindahan kali ini apabila berjaya merekrut pemain sayap, Andriy Yarmolenko dari Borussia Dortmund.
Perpindahan pemain antarabangsa Ukraine itu dilaporkan menelan belanja £17.5 juta.
Yarmolenko merupakan pemain kelima yang dibawa masuk Manuel Pellegrini selepas Ryan Fredericks, Issa Diop, Lukasz Fabianski dan Jack Wilshere.
Pengerusi West Ham United, David Gold yang mengalu-alukan kehadiran pembelian terbaru kelab itu, berkata:
”Saya gembira untuk mengumumkan kehadiran Andriy Yarmolenko. Andriy merupakan pemain di bahagian serangan berusia 28 tahun yang ditandatangani dari Borussia Dortmund.”
”Dia mempunyai 77 kaps antarabangsa buat Ukraine dan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah untuk Dynamo Kiev dan Dortmund. Dia telah menandatangani perjanjian kontrak selama empat tahun.”
Mengulas mengenai penghijrahannya ke West Ham United, Yarmolenko menyatakan kegembiraan beliau untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.
”Sudah tentu saya sangat gembira dapat menandatangani kontrak bersama West Ham United.”
”West Ham United adalah sebuah kelab besar dengan penyokong yang baik dan saya gembira untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris.”
”Liga Perdana adalah liga terbaik di dunia dan saya tahu itu adalah projek yang menarik dibina di West Ham. Pasukan mahu mencapai perkara yang tinggi dan saya teruja dengan cabaran ini.”
Walaupun sudah mendapatkan empat orang pemain baharu, Pellegrini dikhabarkan masih berhajat untuk menambah kekuatan pasukan dengan menyasarkan bagi mendapatkan khidmat pemain Lazio, Felipe Anderson.
Foto: West Ham United FC