Quantcast

BERITA

MSL 2018: Danial Ashraf Muncul Wira Kemenangan Kelantan Di SSMIV

Kelantan berjaya merekodkan kemenangan ketiga mereka di kandang sendiri, Stadium Sultan Muhammad ke-IV dalam perlawanan ke-18 unifi Liga Super 2018.

Kali terakhir mereka meraih kemenangan di halaman sendiri adalah pada 5 Mei lalu ketika menang ke atas Kuala Lumpur dalam aksi ke-10 liga dengan keputusan 4-2.

Gol daripada Shafiq Shaharudin dan Danial Ashraf memusnahkan impian Selangor untuk meraih kemenangan dan untuk mengubati luka tewas di pentas final Piala FA 2018, baru-baru ini.

Pasukan ‘bermasalah’, TRW menurunkan barisan pemain muda dengan disokong oleh pemain import baharu iaitu Cassio Francisco, Cristiano Santos dan Bakhtiyar Duyshobekov.

Sementara Selangor pula tampil dengan penyerang berbisa mereka, Rufino Segovia yang telah meledak 14 gol dalam usaha untuk merobek gawang pasukan tuan rumah.

Separuh masa pertama

Gol pemain kebangsaan, Shafiq membolehkan tuan rumah, Kelantan memimpin perlawanan di babak pertama. Itu merupakan gol keempat peribadinya dalam saingan liga.

Sepuluh minit perlawanan babak pertama, tiada sebarang asakan berbahaya mampu dilakukan oleh kedua-dua pasukan walaupun adakalanya ada gerak serangan cuba dilancarkan.

Minit ke-16, pemain tengah Kelantan, Danial berjaya melepaskan satu percubaan lemah ke pintu gol pelawat yang dikawal Khairulazhan Khalid, namun ianya tersasar.

Peluang terhidang di depan gol telah disia-siakan oleh penyerang, Cristiano Santos dengan percubaan tersasar walaupun hanya berdepan dengan Khairulazhan pada minit ke-18.

Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang perlahan dengan The Red Giants tampak bergelut di final third. Pertahanan TRW dilihat bertahan dengan baik.

Evan Dimas berjaya melepaskan satu rembatan padu yang singgah di palang gol Kelantan yang dikawal oleh Shahrizan Ismail pada minit ke-25. Percubaan terbaik pertama oleh Selangor.

Percubaan penyerang berbahaya Selangor, Rufino telah berjaya diselamatkan oleh Shahrizan pada minit ke-33. Percubaan tepat kedua Selangor selepas 4 kali percubaan.

Masih segar dengan kaps pertama skuad kebangsaan, Shafiq berjaya meledak gol selepas dengan tenang melakukan percubaan cantik menewaskan Khairulazhan di minit ke-35.

Dia langsung tidak diasak oleh pertahanan pasukan pelawat, Amirul Ashraf biarpun memiliki bola di kawasan gol selepas menerima hantaran kemas dari sebelah kiri gol.

Dua minit menuju penamat babak pertama, Rufino berjaya melepaskan satu percubaan ke pintu gol tuan rumah, namun berjaya ditumbuk keluar oleh Shahrizan.

Separuh masa kedua

Biarpun ketinggalan, The Red Giants masih tenang, tidak nampak seperti mereka mahu memburu gol penyamaan. Tempo perlawanan kedua-dua pasukan juga masih perlahan.

Tuan rumah lebih bernafsu untuk mengasak, namun kawalan bola kurang kemas mengecewakan mereka tiap kali tiba di kawasan gol lawan yang ditunjangi oleh Razman Roslan.

Hampir sejam perlawanan berlangsung, barulah Selangor dilihat menaikkan tempo permainan mereka. Sepanjang babak pertama, 3 percubaan tepat mereka gagal menggegar gawang.

Bermula daripada sepakan penjuru, pemain tengah TRW, Bakhtiyar Duyshobekov berjaya melakukan tandukan pada minit ke-61, namun ianya sedikit tersasar daripada gol.

Minit ke-63, Cristiano Santos sekali lagi gagal menyempurnakan peluang keemasan yang dimilikinya dengan percubaan kaki kanannya terkena tiang sebelah kiri pintu gol pelawat.

Pemain gantian, Sean Eugene Selvaraj berjaya meledak gol penyamaan Selangor pada minit ke-78. Penggantian yang berbaloi oleh ketua jurulatih, Nazliazmi Mohd Nasir.

Dia telah dibawa masuk Nazliazmi untuk menggantikan Joseph Kalang Tie di minit ke-57. Itu adalah gol kedua Eugene Selvaraj dalam 7 penampilannya di saingan liga.

Rufino dilihat ‘senyap’ sepanjang perlawanan berlangsung. Samaada Kelantan berjaya merantai pergerakannya atau dia gagal menghadirkan impak pada malam ini.

Danial Ashraf berjaya menjaringkan gol kedua TRW pada minit ke-85 selepas menerima hantaran kemas Bakhtiyar dari sebelah kanan gol yang dikawal oleh Khairulazhan.

Gol tersebut merupakan gol kedua dari pemain berusia 21 tahun itu di saingan liga dalam 8 penampilannya pada musim ini.

Perlawanan tamat dengan Kelantan berjaya menundukkan The Red Giants dengan keputusan 2-1, selepas merekodkan tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Selangor pula meneruskan rekod buruk mereka di gelanggang lawan dengan kekalahan ke-5 selepas 8 perlawanan. Kali terakhir mereka menang adalah pada perlawanan pertama liga.

Kami perlukan bantuan anda.

Saban hari, semakin ramai peminat bola sepak membaca Semuanya BOLA. Seiring dengan pertambahan pembaca ini, kos operasi kami turut meningkat. Jadi anda boleh nampak kenapa kami perlukan bantuan anda. Untuk memastikan penulis-penulis kami dapat terus membekalkan konten-konten yang tidak bias dan berkualiti kepada anda, duit dan kerja keras sangat diperlukan. Tetapi kami buat juga kerana kami percaya anda berhak mendapat maklumat berkualiti dari media yang telus, bebas dan terbuka.

Sumbangan anda membolehkan masa depan penulis-penulis kami terus terjamin. Dengan hanya RM5, anda boleh menyokong Semuanya BOLA - dan ia hanya mengambil masa 1 minit. Terima kasih.

atau Beri Sumbangan

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!