Legenda Sepanyol dan Barcelona yang kini beraksi di Jepun, Andres Iniesta mengakui bahawa bekas rakan sepasukannya, Xavi memainkan peranan penting dalam mendorong beliau untuk terjun ke bidang kejurulatihan.
Iniesta dan Xavi merupakan antara gandingan tengah terbaik dalam sejarah bola sepak dunia ketika menyarung jersi Barcelona.
Selepas 12 musim bersama, Xavi meninggalkan kelab Catalan itu pada musim 2015/16 untuk ke Qatar bagi menyertai Al Sadd manakala Iniesta mengikut jejak langkah berhijrah ke Asia berselang tiga musim kemudian selepas memeterai perjian bersama Vissel Kobe.
Mengakui kerap berhubung dengan teman baiknya itu, Iniesta turut mendedahkan Xavi berusaha memujuknya untuk terlibat secara serius sebagai jurulatih.
”Saya kerap bercakap dengannya, juga mengenai untuk menjadi jurulatih. Dan jelas dia telah mendorong saya untuk mencuba dan melihat adakah saya menyukainya.”
”Dia gembira kerana akan menjadi jurulatih. Bagi kita yang menyukai bola sepak dan berfikir mengenainya, pada akhirnya ini adalah situasi di mana ia menggembirakan dan ‘menggoda’ saya dengan beberapa cara,” ujar Iniesta menurut laporan Goal.
”Saya gembira untuknya tahap baharu dalam kariernya, diharapkan saya juga akan berada dalam situasi yang sama pada masa hadapan.”
Iniesta bagaimanapun menegaskan bahawa perkara tersebut bukanlah menjadi keutamaan buat beliau pada ketika ini.
”Ideanya masih bermain di minda tetapi sehingga saya berhenti bermain bola sepak, sukar untuk saya cuba mendapatkan lesen bola sepak saya. Sementara itu, saya seorang yang berusaha untuk terus belajar dan menikmati pengalaman situasi yang boleh dipelajari.”
”Tetapi kita akan lihat. Masih ada banyak masa untuk saya duduk di bangku simpanan. Apabila saya menjadi jurulatih, saya pasti akan melihat perkara yang berbeza seperti seorang pemain pada hari ini,” ujar Andres Iniesta lagi.
Kredit foto: Alex Caparros/Getty Images