Quantcast

BERITA

Xavi Diumum Ketua Jurulatih Kelab Qatar, Al-Sadd SC

Bekas pemain Barcelona, Xavi Hernandez telah diumumkan selaku ketua jurulatih baharu bagi kelab Qatar, Al Sadd.

Sebelum ini, Xavi pernah beraksi sebagai pemain di kelab tersebut selama 3 musim.


Gantung but

Xavi mengumumkan persaraan sebagai pemain selepas tamatnya musim domestik Qatar baru-baru ini. Pada musim lalu, Al-Sadd dikendalikan oleh jurulatih berbangsa Portugis, Jesualdo Ferreira.

Xavi sendiri merupakan salah seorang pemain yang membantu Al-Sadd menjuarai Liga Qatar musim 2018/19. Al-Sadd juga memenangi Piala Emir Qatar pada 2017.

The Al Sadd team, led by Xavi, celebrate their QSL title win on 4, April 2019 at the Jassim Bin Hamad Stadium, Doha, Qatar. (Photo by Simon Holmes/NurPhoto via Getty Images)

Al-Sadd pernah memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2011, tetapi ketibaan Xavi ke kelab Qatar tersebut membuatkan ramai telah mula mengenali kelab tersebut.

Al-Sadd memegang rekod selaku kelab terbanyak memenangi Liga Qatar. Mereka memenangi pertandingan tersebut sebanyak 14 kali.

Terap budaya La Masia

Ketika ditemubual oleh sebuah portal di Sepanyol, Xavi ingin menerapkan falsafah yang digunakan oleh jurulatih terkenal, Johan Cruyff dan La Masia bersama Al-Sadd.

Al-Sadd telah dilaporkan memberikan kontrak selama 2 tahun kepada legenda Sepanyol ini.

Al-Sadd akan bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara Asia edisi 2020. Mereka mara ke kejohanan berprestij Asia itu selaku juara Liga Qatar musim ini.

Walau bagaimanapun, antara tugasan pertama Xavi ialah mengendalikan Al-Sadd untuk pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia edisi 2019. Al-Sadd telah diundi bersama kelab sesama Qatar, Al-Duhail.


Pertemuan sesama Qatar itu dijadualkan berlangsung pada 5 dan 13 Ogos. Difahamkan, kelab itu akan mengadakan sesi latihan di Itali sebelum menghadapi kempen Liga Qatar 2019/20.

Tempoh hari, kedua-dua kelab ini baru sahaja bertembung dalam perlawanan akhir Piala Emir Qatar. Al-Sadd tewas kepada Al-Duhail pada perlawanan tersebut melalui skor 1-4.

Xavi bermain dan diberikan jawatan kapten dalam perlawanan tersebut.

Warna warni

Selain memenangi Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol, Xavi telah memenangi 4 kali Liga Juara-Juara Eropah. Kali terakhir beliau memenanginya sewaktu bersama Barcelona pada musim 2014/15.

Beliau turut mempunyai 8 medal kejuaraan liga utama Sepanyol ketika bersama Barcelona. Di samping memenangi 3 kali Copa Del Rey.

(Photo by Jasper Juinen/Getty Images)

Xavi juga antara pemain di dunia yang mempunyai dua kali kejuaraan Piala Kelab Dunia. Barcelona memenangi trofi itu sewaktu edisi 2009 dan 2011.

Mampukah Xavi akan mengendalikan Al-Sadd? Adakah akan ada satu trofi akan menjadi kejayaan untuk kelabnya itu?