ANALISIS: Variasi Taktikal KPG Buatkan Harimau Malaya Sukar Diduga Pihak Lawan

Harimau Malaya muncul naib juara King’s Cup setelah tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Tajikistan di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.

Keadaan permukaan padang yang basah sedikit sebanyak merencatkan tempo serta organisasi serangan kedua-dua pasukan dengan kedua penjaga gol tidak begitu teruji sepanjang saingan.

Ketumpulan penyudah serangan kedua-dua pasukan mengakibatkan perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti, setelah kedudukan 0-0 kekal sehingga minit akhir permainan.

Meskipun gagal membawa pulang trofi kejuaraan, terdapat beberapa perkembangan positif dari perspektif taktikal yang dipamerkan oleh pasukan Harimau Malaya.

Dalam analisis kali ini, kami akan berkongsikan beberapa organisasi taktikal yang sedang diusahakan Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya sebagai langkah persiapan menghadapi Piala AFF 2022 dan Piala Asia 2023.

ANALISIS: Taktikal “Jerat Tekanan” Malaysia Yang Berjaya Hasilkan Gol Menentang Thailand

Formasi serta kesebelasan utama yang sukar diduga 

Berhadapan Tajikistan, Kim melakukan perubahan taktikal dengan memulakan permainan dengan formasi 4-3-3, disamping melakukan rombakan di bahagian serangan serta jentera tengah.

Pendekatan taktikal ini ternyata berbeza ketika Malaysia berhadapan dengan Thailand, dimana formasi 3-4-3 digunakan. Malah, kesebelasan utama yang memulakan perlawanan tersebut juga berbeza.

Penggiliran sistem dan pemain ini bukannya sesuatu perkara yang asing, kerana Kim telah melaksanakan pendekatan tersebut semenjak kelayakan Piala Asia yang lalu.

Ini sekali gus menjadikan Harimau Malaya memiliki unsur kejutan, serta menyukarkan pihak lawan untuk menduga taktikal permainan yang bakal digunakan oleh pasukan negara dalam sesuatu perlawanan.

Struktur pasukan yang fleksibel

Seperti perlawanan Malaysia menentang Thailand tempoh hari, konsep taktikal yang fleksibel masih ditekankan oleh Kim.

Ianya menyaksikan pemain-pemain negara kerap melakukan pertukaran posisi seasama mereka bagi mencipta struktur yang menjadi asas kepada organisasi taktikal pasukan.

Meskipun bermula dengan sistem 4-3-3, Malaysia mempamerkan variasi struktur menerusi pertukaran posisi yang aktif sesama mereka.

Menerusi gambar diatas, Nazmi Faiz turun ke kawasan yang lebih bawah bagi menolak Matt Davies untuk menyertai tiga orang pemain negara yang lain di garisan kedua pasukan.

Situasi ini menjadikan struktur pasukan berupah kepada 3-4-3, dimana tindakan Nazmi yang turun ke bawah ini berupaya menarik keluar pemain lawan bersamanya.

Ia sekali gus mencipta ruang kepada rakan sepasukan yang lain, terutamanya Safawi yang beroperasi di ruang antara garisan (space in between the lines).

Ini membolehkan Safawi memperoleh ruang dan masa tanpa menerima sebarang tekanan daripada pemain lawan.

Ia sekali gus membolehkan beliau melakukan hantaran berkualiti kepada rakan sepasukan.

Aspek kelebihan kualiti pemain (qualitative superiority) turut dieksploitasi oleh Kim bagi merosakkan organisasi bertahan pihak lawan, sekali gus membolehkan pasukan negara melakukan gerakan-gerakan serangan yang berbahaya.

Dalam perlawanan ini, kualiti yang ada pada Akhyar Rashid dalam aspek gelecekan serta kepantasan membolehkan beliau membantu pergerakan bola ke hadapan dengan lebih lancar.

Pemain-pemain juga kini kelihatan tidak lagi terburu-buru dalam melakukan sebarang keputusan terutamanya apabila pasukan lawan berada dalam kedudukan yang padat atau kompak.

Seperti perlawanan menentang Thailand tempoh hari, konsep lebihan pemain (overloading) masih ditekankan untuk menjadikan setiap situasi hantaran lintang menjadi lebih berbahaya.

Ia turut disokong oleh pautan sokongan (support link) yang disediakan oleh pemain tengah seperti Nazmi dan Brendan Gan.

Organisasi serangan di atas berupaya mencipta peluang jaringan gol menerusi tandukan Syafiq Ahmad yang sedikit tersasar.

Namun sayangnya kedudukan beliau sewaktu menerima hantaran Nazmi dikesan ofsaid oleh pengadil perlawanan.

Blok tinggi, tengah, atau jerat tekanan? 

Aspek variasi ini turut melibatkan pendekatan permainan oleh pasukan negara dalam sesuatu perlawanan. Jika tekanan tinggi serta jerat tekanan digunakan dalam aksi berdepan Thailand, Kim menggunakan pendekatan berbeza apabila berhadapan Tajikistan.

Fokus organisasi bertahan Malaysia disusun menerusi blok tengah (mid-blocks) dengan formasi 4-1-4-1, dan boleh menjadi 4-3-3 mengikut situasi permainan dan kedudukan bola serta pemain lawan.

Namun intensiti tekanan diterapkan menerusi konsep man markings dimana setiap pemain akan ditugaskan untuk mengekang pergerakan pemain yang dikawal oleh mereka.

Menerusi gambar di atas, Malaysia menyusun blok pertahanan mereka secara mid-blocks dengan struktur 4-1-4-1.

Perhatikan Safawi yang agresif melakukan tekanan kepada pemain tengah Tajikistan yang turun ke bawah untuk membantu binaan (build-up) gerakan serangan pasukannya.

Tugas man markings ini turut dilakukan oleh pemain-pemain lain bagi memaksa lawan melakukan sebarang kesilapan hantaran, atau memaksa mereka bermain dengan hantaran-hantaran jauh yang tidak efektif.

Gambar di atas menunjukkan organisasi bertahan yang sama, namun kali ini tekanan dimulakan oleh Nazmi.

Organisasi pertahanan ini disusun adalah bagi membolehkan Malaysia menghukum lawan menerusi gerakan serangan balas sebaik mereka berjaya memperoleh semula penguasaan bola, atau sebaik berjaya melakukan sebarang pintasan.

Pemain seperti Akhyar memiliki keupayaan untuk membaca arah pergerakan hantaran bola pemain lawan, sekali gus membantunya untuk memintas hantaran-hantaran tersebut dengan kerap dalam perlawanan ini.

Situasi ini sekaligus meletakkan Malaysia dalam fasa transisi serangan. Larian Akhyar ini turut mendapat sokongan daripada Syafiq.

Syafiq memiliki kualiti dalam aspek kepekaan ruang yang baik, lantas memberikan isyarat buat Akhyar untuk melorongkan bola ke arah ruang di belakang barisan pertahanan lawan.

Akhyar berjaya menghantar bola ke arah ruang yang telah ditunjukkan oleh Syafiq sebelum ini.

Gerakan ini berjaya mencipta peluang buat Gan untuk melakukan rembatan, namun percubaanya terkena pemain lawan.

Di separuh masa kedua perlawanan, Kim telah melakukan pertukaran di barisan hadapan dengan pemain-pemain seperti Faisal Halim, Arif Aiman, serta Darren Lok dibawa masuk.

Pertukaran ini sememangnya mempunyai satu objektif, iaitu menggunakan pemain yang lebih segar bagi menekan tinggi pihak lawan. Namun taktikal ini sekali lagi terpaksa dirombak ekoran kecederaan yang menimpa Darren.

Kesimpulannya, Kim kini dilihat berjaya menerapkan kepelbagaian taktikal serta pendekatan permainan mengikut situasi perlawanan, profil pasukan lawan yang bakal dihadapi, serta kualiti pemain negara yang dimiliki.

Meskipun tewas dalam aksi final ini, namun perkembangan positif ini sedikit sebanyak memberi sedikit keterujaan buat pemerhati bola sepak negara menjelang Piala Asia 2023 serta Piala AFF 2022 yang akan diadakan hujung tahun ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN