Harimau Malaya Dapat Apa Selepas Bersusah-Payah Di King’s Cup?

Saingan King’s Cup di Chiang Mai secara rasminya telah pun tamat semalam dengan kejuaraan sah menjadi milik Tajikistan setelah mereka menumpaskan cabaran Malaysia dalam aksi penentuan sepakan penalti.

Aksi penentuan itu terpaksa dilakukan setelah kedua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar perlawanan dalam aksi yang cukup sengit dipamerkan kepada para penyokong.

Malaysia yang hadir dengan sedikit rombakan pemain pada perlawanan semalam berbanding ketika menentang Thailand, jelas agak ketara kelemahan mereka di barisan serangan yang disifatkan agak tumpul.

Walaupun sekadar muncul naib juara dalam kejohanan ini, ada beberapa perkara positif yang diperoleh skuad kebangsaan sepanjang dua perlawanan dilalui mereka.

Perkara tersebut pastinya membuatkan para penyokong sekurang-kurangnys tidak begitu ralat dengan dua keputusan seri dilakar Malaysia sepanjang di Chiang Mai.

Peluang pemain baharu beraksi

Jika dilihat pada senarai nama yang dibawa oleh Kim Pan-gon kali ini untuk mewakili skuad kebangsaan, ada beberapa pemain baharu turut terpilih buat pertama kali untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Sepanjang dua perlawanan dihadapi oleh pasukan negara di Chiang Mai, Pan-gon telah pun membuka peluang buat tiga pemain baharu negara beraksi untuk sebagai pendedahan untuk mereka merasai peluang di pentas antarabangsa.

Declan Lambert, Azam Azmi Murad, dan Sharul Nazeem merupakan tiga pemain yang berjaya memperoleh pengalaman berguna dsn mencipta penampilan sulung buat pasukan kebangsaan.

Positifnya ketiga pemain tersebut masih lagi muda dan pendedahan ini dapat memberi ruang untuk mereka tampil lebih baik selepas ini sekiranya dipilih menyertai skuad kebangsaan.

Pengalaman bertemu pasukan lebih baik di Asia

Dua lawan yang telah dihadapi Malaysia dalam saingan tersebut jelas memberi pengajaran buat Pan-gon untuk mengesan seberapa banyak kelemahan yang ada dalam pasukan kendaliannya.

Bertemu Thailand yang dianggap sebagai salah satu kuasa besar bola sepak di Asia Tenggara merupakan salah satu pendedahan terbaik buat barisan pemain negara sebelum melangkah ke pentas saingan Piala AFF nanti.

Selain itu, barisan pemain juga sebenarnya sudah boleh membayangkan lawan mereka selepas ini dalam aksi Piala Asia tahun hadapan menerusi aksi semalam ketika menentang Tajikistan.

Jurang yang agak berbeza ini pastinya memberi kesan buat para pemain untuk tidak terus selesa dan terus berusaha dengan lebih baik bagi membuat persediaan lebih rapi sebelum pergi saingan tersebut tahun hadapan

Dapat perbaiki ranking Harimau Malaya

Salah satu impak positif yang Malaysia peroleh ketika di Chiang Mai, apabila mereka tidak mencatat sebarang kekalahan ketika menentang Thailand dan Tajikistan.

Kedua pasukan ini dari segi ranking mereka lebih baik berbanding skuad kebangsaan, dan menerusi keputusan seri dicatat pasukan kendalian Pan-gon ini berjaya menambah mata untuk menyumbang kepada ranking negara.

Dari segi jumlah kutipan mata setakat ini, Malaysia berjaya menambah 4.73 mata secara keseluruhan dan dijangka kedudukan ranking mungkin akan berubah kepada lebih baik lagi berbanding sekarang.

Leave a Reply