Analisis: Takumi Minamino Yang Hampir Memenggal Liverpool Dengan Samurai

Tidak hairan mengapa penyokong Liverpool amat teruja dengan kemenangan 4-3 pasukan mereka menentang RB Salzburg di pertandingan Liga Juara-Juara Eropah pada malam tadi.

Jujurnya, mereka tidak kisah bagaimana Hwang Hee-Chan dengan begitu mudah memperdaya pemain sehebat Virgil Van Dijk, untuk gawang Liverpool dibolosi buat pertama kali sejak perlawanan peringkat kumpulan musim lalu.

Harus diingat, pemain pertahanan tersebut dianggap setaraf Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo untuk bersaing sebagai pemain terbaik dunia.

Tetapi bukan kelibat penyerang Korea Selatan itu yang didendangkan oleh penyokong Liverpool yang menyaksikan perlawanan tersebut pada awal pagi tadi.

Selain daripada tiga mata berharga selepas kemenangan disahkan tidak lain dan tidak bukan oleh Mohamed Salah – selepas Anfield senyap seketika – satu lagi nama yang mulai meniti di bibir penyokong Liverpool ialah Takumi Minamino.

Karier awal

Takumi Minamino dilahirkan pada 16 Januari 1995 di Izumisano, Japun. Karier beliau bermula bersama skuad akademi Liga Jepun, Cerezo Osaka sejak berusia 12 tahun.

Pada Ogos 2012 Minamino diberikan debut pertama bersama skuad senior Cerezo dalam perlawanan menentang Omiya Ardija.

Tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu, Minamino mulai mencuri tumpuan untuk membarisi kesebelasan utama Cerezo, dan tampil di dalam 62 perlawanan sehingga 2014 sebelum dipancing oleh RB Salzburg pada Januari 2015

Pada musim terakhir beliau di Cerezo, Minamino bergandingan dengan bekas penyerang Manchester United, Diego Forlan dan dinobatkan sebagai penyerang muda terbaik Liga Jepun pada 2013.

Analisis taktikal

Sejak tiba di RB Salzburg, Minamino sudah berlatih di bawah tiga pengurus berbeza. Pada musim pertama, beliau dibimbing oleh pengendali dari Sepanyol, Oscar Garcia.

Selepas itu, RB Salzburg diambil alih oleh Marco Rose mulai musim panas 2017, sehingga pada musim panas lalu selepas Rose menerima tawaran untuk kembali ke Jerman bersama Borussia Mönchengladbach.

Kini RB Salzburg dibimbing oleh jurulatih dari Amerika Syarikat, Jesse Marsch tetapi perkembangan bakat Minamino sebenarnya banyak berkembang di bawah kendalian Rose.

Pada musim 2017/18, Rose berjaya membawa Salzburg ke separuh akhir Liga Europa (UEL) sebelum disingkirkan Marseille, dan Minamino adalah antara tunjang kekuatan pasukan sehingga berjaya mara sejauh itu.

Minamino adalah seorang pemain sayap. Tetapi di bawah kendalian Rose, beliau dibentuk sebagai seorang pemain tengah menyerang dan juga sebagai penyerang. Beliau mampu beraksi dengan baik di kedua-dua posisi tersebut.

Sistem 4-3-1-2 RB Salzburg dan Minamino.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, kita harus memahami terlebih dahulu bagaimana Rose menyesuaikan kebolehan Minamino dengan sistem di Salzburg.

Rose biasanya menggunakan sistem 4-1-2-1-2 atau 4-3-1-2 dalam memastikan fluidity ketika permainan. Ideanya ialah untuk mewujudkan bahagian tengah berbentuk diamond – yang sendat – untuk mewujudkan fluidity itu.

Dua pemain pertahanan tengah adalah asas kepada serangan. Manakala dua bek sayap akan melakukan larian dari sisi untuk membantu pemain serangan ke hadapan.

Zon di mana Minamino bebas beraksi. Ini adalah heat map purata Minamino pada musim lalu.

Dua penyerang di dalam sistem Salzburg pula bertindak sebagai deep-lying forward dan poacher – di mana mereka tidak rigid berada di zon tertentu perlawanan untuk mengelirukan pertahanan lawan.

Di sinilah peranan Takumi Minamino yang paling berkesan. Iaitu untuk bergerak bebas di bahagian tengah dan serangan untuk mengancam kubu lawan, dan menjadi penghubung kepada bahagian tengah dan serangan.

Liverpool vs RB Salzburg

Di atas kertas, RB Salzburg beraksi dengan sistem 4-4-2. Ia kelihatan seperti satu formasi klasik jika dilihat dengan mata kasar.

Namun pada babak pertama perlawanan, Minamino berperanan sebagai pemain No.10 di belakang Patson Daka dan Hwang Hae- Chan.

Ternyata beliau sukar untuk beraksi di peranan tersebut pada babak pertama perlawanan kerana harus berhadapan dengan Fabinho secara langsung – yang memiliki kelebihan fizikal dan teknikal lebih baik di posisi tersebut.

Antara ancaman awal Minamino dengan larian dari belakang,

Babak kedua perlawanan, Minamino beraksi lebih ke belakang. Dalam erti kata lain, beliau diberikan peranan lebih bebas oleh jurulatih untuk bergarak dalam lingkungan half-space sebelah kanan serangan.

Ini membenarkan beliau menggerakkan serangan RB Salzburg secara lebih efektif dari arah itu. Ancaman utama dari Minamino adalah dari bahagian half-space seperti yang dinyatakan melalui heat map di bawah.

Heat map Minamino. Sumber: WhoScored

Dengan beraksi di deeper role, Minamino memberikan dirinya lebih banyak ruang untuk mengawal bola. Secara bertahan, ia lebih mudah untuk berhadapan dengan Georginio Wijnaldum di zon tersebut berbanding Fabinho di bahagian tengah.

Perhatikan bagaimana Minamino membuka ruang untuk diri beliau melakukan larian dan membantu serangan seperti di atas.

Tangkap layar di atas adalah bagaimana Minomino menggunakan ruang yang ada untuk menyambut hantaran Hae-Chan yang beraksi lebih ke tepi pada babak kedua.

Ini adalah salah satu tactical tweek oleh March pada babak kedua, iaitu dengan mengarahkan penyerang bermain lebih ke sisi.

Larian dari belakang di area half space juga membenarkan Minamino akhirnya turut menghasilkan satu bantuan gol.

Benar, Anfield terdiam seketika pada ketika ini melihat kebangkitan RB Salzburg yang berjaya mengejar kelebihan tiga gol pasukan tuan rumah.

Mujurlah Mohamed Salah berjaya menjaringkan gol kemenangan selepas itu untuk tiga mata berharga juara bertahan itu.

Penutup

Pada usia 24 tahun, kami berpendapat Minamino boleh pergi lebih jauh dalam karier beliau di Eropah. Beliau telah membuktikannya di dalam pertandingan Eropah seperti ketika menjaringkan hatrik di perlawanan UEL menentang Rosenborg pada 9 November lalu.

Kali ini beliau menyinar bersama RB Salzburg menentang juara enam kali eropah. Maka tidak hairanlah nama Minamino meniti di bibir penyokong setia Liverpool.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN