Quantcast

TEMURAMAH

Johan Kamal: Terima Kasih Penyokong Selangor, Fokus Seterusnya JDT

Kejayaan Selangor mengatasi ketinggalan agregate 0-1 daripada perlawanan pertama telah banyak mendapat perhatian media.

Selangor berjaya menang 3-1 dalam aksi yang berlangsung di stadium Shah Alam, untuk pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia.

SemuanyaBOLA berjaya mendapatkan sedikit komen daripada Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Johan Kamal: Penyokong tunjang kebangkitan Selangor

Beliau ternyata berterima kasih dengan kehadiran para penyokong ke stadium Shah Alam yang datang memberikan sokongan kepada pasukan Gergasi Merah.

Perkara itu sebelum ini turut diakui oleh pengendali Selangor, B.Sathianathan yang menyatakan, para penyokong Selangor telah memberikan tonik tambahan kepada para pemain Selangor untuk bangkit.

Dr. Johan Kamal menyatakan: “Terima kasih kepada semua penyokong yang telah datang memberikan sokongan kepada pasukan, di kala pasukan ini sangat memerlukan mereka berada di belakang [memberikan sokongan].”

“Walaupun Selangor ketinggalan dengan 1-0 daripada perlawanan pertama, para penyokong masih ramai yang datang untuk memberikan kekuatan kepada pemain-pemain untuk melakukan yang terbaik,” jelas Dr. Johan Kamal (gambar) lagi.

FAS

“Alhamdulillah berkat doa dan usaha dari penyokong-penyokong Selangor, para pemain telah memberikan yang terbaik dan mencapai kemenangan atas juara bertahan Piala Malaysia musim lalu.”

Seterusnya Johan Kamal menyatakan fokus semua pihak di Selangor adalah perlawanan separuh akhir menentang JDT. Ia jelas sekali perlawanan yang sukar kerana rekod pasukan JDT serta kualiti yang mereka ada.

“Perlawanan menentang JDT akan menjadi perlawanan yang paling sukar dihadapi kerana rekod baik musim ini dan kualiti pemain yang mereka ada.”

“Namun, di dalam bolasepak tiada apa yang mustahil dan buktikan bahawa Selangor mempunyai semangat juang yang tinggi dan pantang undur sebelum wisel penamat dibunyikan.”

Selangor akan berhadapan dengan JDT pada 19 Oktober ini, dalam separuh akhir pertama yang akan berlangsung di Larkin.

Musim yang penuh dengan warna-warni untuk Selangor. Mereka memulakan kempen musim ini dengan langkah drastik oleh Raja Muda Selangor yang merombak struktur pengurusan pasukan.

Seterusnya, FAS telah memperbaiki banyak lagi aspek termasuk dalam bahagian fisioterapi, membantu kecergasan pemain dengan penambahbaikan pada gym serta dan juga pusat latihan yang lebih kondusif.

Separuh akhir kedua, di Shah Alam akan berlangsung, seminggu kemudian.

Mampukah pasukan Selangor menamatkan saingan musim ini dengan Piala Malaysia ke-34 dalam sejarah kelab mereka?

Kredit Foto: FAS