Malaysia mengikat Thailand 2-2 dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki di Stadium Rajamangala. Drama lewat perlawanan apabila Adisak Kraisorn gagal menyempurnakan penalti. Malaysia mara ke final dengan peraturan gol di tempat lawan.
Thailand guna pendekatan fizikal dan agresif
Satu perkara yang jelas digunakan oleh Thailand adalah: mereka menggunakan pendekatan yang agresif dan fizikal. Mereka bermain dengan sistem hantaran panjang yang banyak.
Setiap kali pemain Malaysia sampai ke ‘final third’ mereka akan terus membentes dan menerjah. Pendekatan ini membuatkan mereka banyak mengutip kad kuning. Dan kesannya pada separuh masa kedua mereka bermula dengan 2 bek sisi yang sudah ada kad kuning.
Seterusnya, Thailand cuba memanipulasi kelemahan Malaysia dengan situasi bola mati. 2 gol Thailand adalah daripda situasi bola mati. Dalam situasi sepakan penjuru Mereka meletakkan satu barisan pemain betul-betul di hadapan penjaga gol dan melakukan hantaran ke bahagian dalam (deepest area). Malaysia bergelut untuk bertahan dalam situasi ini kerana faktor fizikal.
Mereka hampir mendapat 1 atau 2 gol lagi daripada situasi ini. Malaysia jelas perlu memperbaiki aspek pertahanan bola mati dan juga ketika hantaran lintang.
Farizal Marlias 2 kali gagal memenangi bola dalam situasi yang memberikan Thailand gol. Seterusnya Syahmi Safari ‘handball’ ketika cuba mematikan hantaran lintang.
Thailand harus menyalahkan diri sendiri kerana pada kedudukan 2-2 mereka ada peluang memberikan Malaysia mimpi ngeri. Namun penyerang paling berbisa dalam AFF 2018 kali ini – Adisak Kraisorn – melambungkan sepakan penalti melewati palang gol.
Ruang di bahagian sayap
Dalam perlawanan ini kemalasan 2 pemain sayap Thailand untuk membantu mengekang bek sisi Malaysia telah memberikan Malaysia banyak ruang di sayap. Itulah punca kenapa Syahmi mendapat ruang untuk gol tersebut.
Pemain pertahanan berempat mereka sudah membentuk sistem yang kompak. Dan dua bek sisi Thailand berhadapan isu ‘workload’ untuk mematikan ancaman pemain sayap Malaysia dan pemain bek sisi ofensif Malaysia. Lihat gambaran situasi itu di sini.
Ini antara contoh bagaimana sistem 4-3-2-1 mereka memberikan kesukaran untuk Thailand mematikan ancaman daripada ‘deep wide’.
Dan ini pula adalah contoh bagaimana 2 banks of four yang baik daripada Thailand di mana pemain sayap mereka mengawal ancaman daripada bek sisi Malaysia. Rajevac mungkin melihat masalah yang sama dan mengarahkan pemainnya lebih berdisplin untuk bertahan dalam satu pasukan.
Dalam banyak situasi selepas pemain mereka terlalu banyak kad kuning, Thailand terpaksa fokus kepada turun terlalu ke bawah (drop deep) untuk berkumpul semula (regroup). Itu yang membuatkan Malaysia mendapat ruang yang cukup untuk menyerang mereka.
Taktikal Malaysia
Tan Cheng Hoe menggariskan anak-anak buah beliau berjaya mengekalkan disiplin taktikal. Walaupun tidak banyak penguasaan bola seperti perlawananan pertama – ianya disebabkan pendekatan lebih berhati-hati di tempat lawan – namun Malaysia cuba sedaya upaya membina serangan dengan bola rendah.
Gol penyamaan (untuk kedudukan 1-1) oleh Syahmi Safari antara yang memperlihatkan filosofi permainan Malaysia.
Malaysia memberikan respon yang sangat baik ketika ketinggalan. Itu membuktikan skuad ini memiliki mentaliti yang baik.
Malaysia tidak banyak melakukan perubahan taktikal. Fokal mereka adalah Sumareh dan Safawi Rasid yang akan menjadi ‘ball carrier’ utama ke dalam kawasan bahaya. Seterusnya 2 bek sisi diberikan kebenaran untuk mara setinggi mana mereka mahu di dalam zon padang.
Seterusnya, Malaysia berjaya mengimbangi usaha Thailand yang cuba mendominasi perlawanan ini terutama sekali di bahagian tengah. Pada separuh masa pertama, Malaysia memiliki jumlah ciptaan peluang bahaya yang hampir sama dengan Thailand.
Nazirul Naim walaupun lebih kepada bek sisi tradisional, namun beliau berjaya mematikan ancaman Thailand yang banyak cuba digerakkan melalui kawasan beliau.
Dari segi pertahanan, Malaysia bertahan dengan sistem 4-1-4-1 dengan Norshahrul diarahkan untuk menjadi sebahagian daripada garisan tengah. Ketika menyerang, Norshahrul lebih kepada pemain no.10. berbanding dengan penyerang kedua. Walaupun Norshahrul tidak terlalu tajam dalam peranan itu – namun jelas Tan Cheng Hoe cuba membentuk 4-2-3-1 yang beliau inginkan berbanding dengan 4-4-1-1.
Isu harus diperbaiki Malaysia
Pertamanya adalah aspek bertahan bola tinggi terutama sekali dalam situasi bola mati. Malaysia agak tidak terurus dalam situasi ini. Dan dalam kelemahan kita bertahan untuk situasi seperti ini, pemain Malaysia masih terlalu kerap memberikan sepakan percuma di kawasan bahaya.
Seterusnya adalah isu permainan di zon serangan. Malaysia memiliki kemampuan yang baik untuk mengalirkan bola daripada belakang ke tengah, namun apabila sampai di final third, kita tidak cukup laju dan tajam dalam memecahkan blok pertahanan akhir lawan.
Dan tidak lupa, aspek kreativiti di final third. Barisan tengah dan serangan Malaysia terlalu banyak tidak berhubung (disconnected) terutama sekali dengan Zaquan Adha yang menjadi target man.
Rumusan
Perlawanan ini dimenangi pasukan yang lebih baik dari segi taktikal. Thailand terlalu agresif dan fizikal. Bukan Thailand yang kita kenal ketika mereka digelar pasukan ‘mini tiki taka’ dahulu.
Jika anda mengikuti bola sepak Thailand beberapa tahun lalu mungkin anda sudah boleh menyatakan dalam 2 perlawanan kali ini, situasi dah terbalik; Thailand lebih rigid manakala Malaysia lebih fluid.
Thailand hampir berjaya dengan pendekatan keras mereka dalam perlawanan ini. Namun begitu, Malaysia jelas mahu fokus bermain bola sepak mereka juga.
Seterusya, Malaysia memiliki keupayaan untuk respon kepada tekanan. Bukan mudah untuk membalas gol di hadapan puluhan ribu penyokong lawan yang dianggap pasukan pilihan. Norshahrul Idlan Talaha membuktikan kualiti ‘poaching’ beliau sekali lagi walaupun beliau agak terhad penglibatan dalam build up.
Walaupun Malaysia bukan pasukan yang ada bintang namun pasukan ini ada semangat kolektif yang sangat tinggi. Mereka tidak menyerah kalah dalam perlawanan.
Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA
Syahmi Safari (Malaysia)
Jika panel pemilihan rasmi mengambil kira kad disiplin, pemilihan kami pula berasaskan kepentingan taktikal dan impak pemain.