Quantcast

BERITA

Mufti WP: “Gol Syahmi Mengingatkan Saya Kepada Jaringan Socrates”

Kejayaan skuad Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan juara bertahan, Thailand dalam saingan Piala Suzuki AFF 2018 semalam telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Walaupun terikat 2-2 dengan skuad Gajah Putih itu, jaringan penyamaan pemain muda Selangor, Syahmi Safari dari luar kotak penalti ketika skuad negara ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama paling mencuri tumpuan.

Malah, Dr Zulkifli menyifatkan gol yang dijaringkan oleh pemain yang berusia 20 tahun itu mirip jaringan legenda pemain bola sepak dari Brazil, Socrates.

Lagenda bola sepak Brazil, Socrates

“Gol Malaysia yang pertama oleh Syahmi Safari pada minit ke-29 mengingatkan saya kepada nostalgia gol jaringan bekas kapten Brazil, Socrates. Bagi saya, itu antara gol yang terbaik setakat ini,” katanya menerusi laman Twitternya.

Socrates merupakan antara pemain yang mempunyai pendidikan tinggi. Selepas bersara pada tahun 1989, perancang Brazil ini menggunakan ijazah kedoktoran yang diperolehinya (ketika masih sedang bermain secara profesional) untuk bekerja sebagai doktor di bandar Ribeirao Preto.

Malah, beliau turut memuji prestasi keseluruhan skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang disifatkannya antara skuad terbaik dan membanggakan.

“Sejujurnya saya sudah dapat menjangkakan kemenangan ini selepas melihat prestasi keseluruhan pemain.

“Selain itu sinergi ‘coach’ Tan Cheng Hoe dan barisan pemain yang mantap menghasilkan natijah yang membanggakan semalam,” katanya.

Mufti mahu pemain Harimau Malaya kekalkan konsistensi

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemain Harimau Malaya terus komited dan tidak leka dengan kemenangan yang dicapai.

“Syabas dan tahniah! Cuma, jangan leka dan terus membina semangat untuk melakar kejayaan yang sudah tertangguh beberapa tahun. Moga #HarimauMalaya akan menjadi juara #AFFSuzukiCup2018,” katanya.

Difahamkan, bakat Syahmi digilap dari sistem bola sepak di Sekolah Sukan Bukit Jalil, sebelum terpilih mewakili Harimau Muda C dan skuad B19 Selangor.

Beliau adalah tunggak utama skuad Piala Presiden Selangor dan pernah menyarung jersi skuad B19, B23 kebangsaan sebelum diserap dalam skuad utama Selangor.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!