Jika perlawanan semalam adalah perlawanan tinju, sudah lama pengadil akan memberhentikannya. Barangkali seawal minit 30′.
Tiada siapa menjangkakan Malaysia akan menang, tetapi tiada siapa menjangka UAE akan menjaringkan 10 gol dalam perlawanan ini juga.
Apa yang lebih menghampakan adalah cara majoriti gol tersebut dijaringkan. Dengan Omar Abdulrahman bebas berkeliaran di tengah padang, Ali Mabkhout dan Ahmed Khalil mempunyai peluang demi peluang sehingga masing-masing mampu menjaringkan hatrik.
Unit pertahanan yang tidak padat
Satu perkara menarik (atau pelik) yang kami lihat pada 5 pemain pertahanan Malaysia semalam adalah betapa tidak kompaknya dan padatnya mereka ketika pasukan kehilangan bola. Jarak antara Kunanlan-Afif, Afif-Amirizwan, Amirizwan-Junior dan Junior-Zubir sangat besar dan mudah dieksploit oleh 2 penyerang UAE.
Ketika pemain jentera tengah melakukan kerja bagus untuk membentuk unit yang kompak, mereka masih meninggalkan ruang yang terlalu besar di belakang mereka.
Jika anda perhatikan dalam gambar, Omar Abdulrahman bebas berkeliaran di ruang antara jentera pertahanan dan tengah Malaysia. Sehinggakan beliau terpaksa dikawal ketat (marking) oleh salah seorang daripada 3 pertahanan tengah negara.
Ini menyebabkan 2 pertahanan tengah negara terdedah kepada situasi 2 lawan 2 apabila UAE menghantar bola ke ruang belakang jentera pertahanan.
2 penyerang UAE, Ali Mabkhout dan Ahmed Khalil kemudiannya akan menggunakan kelajuan mereka untuk mendapatkan bola tersebut.
Dengan Afif, Amirizwan dan Junior masing-masing gagal menyaingi kelajuan Mabkhout dan Khalil (apatah lagi membaca hantaran yang dihantar jentera tengah UAE), keputusan Dollah Salleh untuk mengarahkan anak buahnya memasang garisan defensif yang tinggi nampak seperti keputusan yang salah.
Malaysia naif dari segi taktikal
Mungkin Malaysia adalah peminat falsafah ‘attack is the best form of defence’, tetapi dalam situasi semalam, menyerang UAE dan memasang garisan defensif yang tinggi adalah bukti kenaifan Malaysia dari segi taktikal.
Dengan barisan tengah negara yang bergelut untuk menyimpan bola lebih daripada 4-5 hantaran pendek, UAE tidak perlu bekerja keras untuk merampas bola setiap kali Malaysia menyerang.
Dan apabila kehilangan bola, pemain Malaysia pula ghairah memberi tekanan (pressing) kepada pemain pertahanan UAE daripada balik ke posisi untuk bertahan.
Tidak dipastikan sama ada Dollah sendiri menyuruh pemainnya memberi tekanan kepada 4 pemain pertahanan UAE atau tidak, tetapi apa yang pasti: ia menyebabkan garisan defensif Malaysia semakin tinggi dan tinggi.
Apabila garisan defensif Malaysia semakin tinggi, ruang yang ditinggalkan di belakang jentera pertahanan juga semakin besar.
Kami sudah menulis tentang bahaya meninggalkan ruang yang besar di belakang jentera pertahanan untuk UAE dalam artikel lepas. Ayat kami adalah:
“Sama ada ruang di belakang pertahanan (kerana push up) atau di bahagian sayap (kerana wing back belum sempat balik ke posisi), Ahmed Khalil dan Ali Mabkhout akan berlari ke arah itu.”
“Dan kebiasaannya, Omar Abdulrahman sentiasa nampak larian mereka melalui visinya. Dan seterusnya membuat hantaran maut (killer pass) melalui teknik hantarannya yang cemerlang.”
Lihatlah apa yang berlaku semalam. Majoriti gol UAE dihasilkan melalui hantaran maut Omar Abdulrahman dan Amer Abdulrahman ke ruang di belakang jentera pertahanan Malaysia.
Malaysia perlu belajar menjadi pragmatik
Satu perkara yang pasti adalah, Malaysia tidak mempunyai pemain yang bertaraf dunia. Tetapi dengan taktikal yang bagus, mereka boleh mengelak daripada kekalahan memalukan sebegini.
Ya, menyerang adalah bentuk pertahanan yang terbaik. Tetapi jika pasukan kita tidak mempunyai barisan pemain yang mampu menyimpan bola lebih daripada 4-5 hantaran pendek, adalah lebih baik jika jurulatih bersikap lebih pragmatik.
Maksudnya, melakukan apa sahaja untuk mendapatkan keputusan yang dikehendaki. Termasuklah mengorbankan nafsu menyerang.
Singapura melakukannya ketika seri 0-0 dengan Jepun. Inter Milan dan Chelsea pernah melakukannya ketika menentang Barcelona dalam Champions League.
Menentang UAE yang mempunyai barisan pemain tengah dan serangan yang berkualiti, apakah perlu Amri Yahyah, Wan Zack, Hazwan Bakri dan Safiq Rahim meninggalkan posisi mereka untuk memberi tekanan kepada 4 pemain pertahanan UAE yang memegang bola?
Perlukah jentera pertahanan kita bermain dengan garisan defensif yang tinggi apabila menentang Khalil dan Mabkhout yang laju?
Perlukah kita bermain dengan wing back dan winger dalam formasi 5-4-1 ketika kita perlu mendominasi aksi di tengah padang?
Kesimpulan
Dollah Salleh mungkin akan kembali bermain dengan formasi 4-4-1-1/4-4-2 kegemarannya selepas kegagalan eksperimen 5-4-1 beliau.
Tetapi pada pandangan kami, kepincangan persembahan separuh masa pertama semalam bukanlah disebabkan oleh formasi. Sebaliknya ia disebabkan oleh cara perlaksanaan formasi tersebut.
Baca juga: 5 PERKARA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG UAE