Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Dollah Salleh Undur; Apa Pula Sekarang?

Ketika ini, siapa yang waras akalnya pasti tidak mahu menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Anda disembelih ketika kalah. Tiada pemain kebangsaan yang betul-betul mampu menghasilkan persembahan berinspirasi. Anda mempunyai masa terhad untuk mempersiapkan pasukan. Majikan pula langsung tidak pernah membela anda dari cacian penyokong.

Itulah nasib Dollah Salleh. Kita perlu mengaku beliau hanyalah kambing hitam dalam kebobrokan bola sepak Malaysia. Selepas kekalahan 10-0 menentang UAE tempoh hari, ramai yang menyuruhnya meletak jawatan.

Dan pada petang semalam, Dollah Salleh menunaikan hajat mereka. Beliau meletakkan jawatan.

Adakah ini jaminan prestasi skuad kebangsaan akan kembali meningkat? Kita semua tahu that’s not the case. Kita semua tahu masalah bola sepak Malaysia berpunca daripada orang yang mengurus sukan bola sepak kita sendiri.

Jadi, apa pula sekarang? Apa langkah seterusnya untuk meningkatkan prestasi skuad kebangsaan?

1. Naik taraf kualiti kejurulatihan

Seorang pemain berkualiti boleh membuat perubahan dalam satu perlawanan. Tetapi seorang jurulatih berkualiti boleh menghasilkan beribu-ribu pemain berkualiti.

Kualiti kejurulatihan kita perlu dipertingkatkan. Jika dahulu jurulatih hanya perlu turun ke padang untuk melatih. Sekarang, jurulatih perlu membuat laporan harian, mingguan, bulanan dan tahunan.

Jurulatih perlu turun ke bilik konferens dan melatih pemain dari segi taktikal dengan analisis video. Mereka perlu peka dengan evolusi taktikal baru dalam dunia bola sepak.

Mereka perlu khatam buku The Inverting Pyramid (oleh Jonathan Wilson), The Gold Mine Effect (oleh Rasmus Askersen), Outliers (oleh Malcolm Gladwell) dan senarai buku yang wajib dikhatam oleh jurulatih bola sepak di Amerika Syarikat ini.

Sementara jurulatih tempatan dinaik taraf, kita perlu melihat jurulatih asing untuk melatih jurulatih dan pemain tempatan. Proses pemilihannya mestilah dibuat tanpa bias dan prejudis.

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) melantik Guy Martens sebagai jurulatih penjaga gol pasukan kebangsaan mereka. FAS mungkin mempunyai bajet yang terhad. Sebab itulah mereka hanya mampu menggaji Martens sehingga akhir 2015 sahaja.

Tetapi bayangkan ilmu yang akan diperolehi oleh jurulatih-jurulatih warga Singapura daripada Martens. Untuk pengetahuan anda, Martens bertanggungjawab melatih Thibaut Cortois, Sinan Bolat dan Laszlo Koteles.

Malah, Courtois sendiri menganggap Martens sebagai jurulatih penjaga gol terbaik yang beliau pernah ada.

f7ed397a-1533-11e5-b565-6d1b2046e096_web_scale_0.0420168_0.0420168__

2. Hentikan perlawanan pasukan EPL menentang pasukan kebangsaan

Tiada apa yang lebih menjengkelkan daripada melihat pasukan kebangsaan menentang pasukan bertaraf kelab. Walaupun dari kelab terbesar di dunia.

Ia merendahkan martabat skuad kebangsaan. Ia telah terbukti tidak meningkatkan persembahan pasukan kebangsaan. Ia tidak signifikan di mata FIFA. Dan paling penting, ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada bola sepak domestik.

Bersesuaian dengan statusnya sebagai perlawanan pertunjukan – bertujuan untuk mempromosikan kapitalisme – ada eloknya jika perlawanan sebegini diberikan kepada pasukan-pasukan Liga Super.

Atau setidak-tidaknya dibarisi oleh 11 pemain terbaik Liga Super dan dilatih oleh ketua jurulatih sebuah pasukan Liga Super. Ia dinamakan Pilihan Liga Super. Dan mereka dipilih oleh penyokong pasukan Liga Super melalui undian online.

mls-all-star-david-villa-kaka_3324996

Sekurang-kurangnya, liga domestik kita mendapat promosi dan pendedahan daripada perlawanan sebegini.

Bola sepak Australia sudah lama meninggalkan tradisi pasukan kebangsaannya bermain menentang pasukan kelab Eropah sejak 15 tahun lepas. Kita mesti bermula sekarang.

3. Panggil pemain muda

Ketika kami menulis artikel 10 Pemain Muda Yang Perlu Diperhatikan Dalam Liga Super 2015 untuk laman web Four Four Two Malaysia, kami menetapkan syarat pemain muda tersebut haruslah berusia 23 tahun ke bawah.

Pada asalnya kami menetapkan pemain muda tersebut haruslah berumur 21 tahun kebawah. Tetapi dalam Liga Super, tidak ramai pemain berusia bawah 21 tahun yang masuk ke skuad senior.

Malah dalam Liga Super, Nurridzuan Abu Hassan yang berusia 24 tahun masih dianggap pemain muda. Perlu diingat di Eropah, pemain 24 tahun sudah menjadi kesebelasan utama kelabnya. Malah ada yang sudah menjaringkan gol kemenangan Piala Dunia pada usia 22 tahun.

mario-gotze-winning-goal-germany-1-0-argentina-fifa-world-cup-final-20141

Point kami adalah: jika kita mahukan pasukan kebangsaan kita dibarisi pemain muda, jurulatih pasukan Liga Super perlulah memberi aksi secara tetap kepada pemain muda.

Pemain muda yang bermain di Liga Super juga perlu lebih ‘bising’ untuk menuntut aksi di padang. Jarang kita melihat pemain muda di Liga Super berpindah ke kelab lain untuk mendapat lebih banyak peluang beraksi. Selesa mengutip gaji dari bangku simpanan barangkali?

4. Laksanakan polisi naturalisasi

Dalam artikel 5 PERKARA YANG KITA PERLU LAKUKAN DAHULU SEBELUM NATURALISASI PEMAIN yang kami tulis sebelum ini, kami masih 50-50 dalam isu naturalisasi pemain.

Tetapi melihat senario bola sepak ketika ini, kami merasakan sudah sampai masanya kita perlu serius dalam perkara ini.

Ketika Guam menewaskan Turkmenistan dan India dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 baru-baru ini, ramai pemerhati bola sepak kagum dengan kebangkitan bola sepak Guam.

Tetapi hakikatnya, 6 pemain kesebelasan utama Guam bermain di Major League Soccer di Amerika Syarikat. Mereka adalah pemain keturunan Amerika Syarikat-Guam yang diberi status kerakyatan Guam.

Amat memalukan sebenarnya bagi FAM apabila seorang editor majalah Four Four Two yang membuat kerja mereka untuk mengesan pemain-pemain keturunan Malaysia di Eropah.

Selain itu, pemain import yang sudah bermastautin lebih 5 tahun di Malaysia juga perlu diberikan pertimbangan untuk menerima kerakyatan Malaysia.

Dalam senario di Liga Super di mana pemain import hanya diberi kontrak setahun, pemain import yang mampu bertahan selama 5 tahun dalam Liga Super adalah pemain yang bagus.

5. FAM perlu mengambil kira pandangan peminat bola sepak tempatan

Satu sebab yang membuatkan FAM nampak seperti Umbrella Corporation (dalam filem Resident Evil) di mata peminat bola sepak tempatan adalah keengganan mereka untuk mengambil kira pendapat peminat bola sepak tempatan.

Apabila FAS mengumumkan Courts Young Lion dibenarkan beraksi dalam Liga Super, ia hanya mengukuhkan imej FAM sebagai watak antagonis dalam drama bola sepak tempatan. Bukan sahaja dibenarkan beraksi dalam Liga Super, malah mereka dibenarkan mengambil 4 pemain import juga.

11999096_10205952333179677_1836347462559692262_n

Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kebuluran.

Sepatutnya 12 slot Liga Super yang kompetitif wajib menjadi milik pasukan tempatan. Lebih banyak pasukan tempatan, lebih banyak pemain tempatan diberikan pendedahan.

Tetapi apabila 1 slot diberi kepada Singapura, 1 pasukan tempatan kita bukan sahaja tidak dapat bermain di Liga Super. Malah kita memberikan suasana liga yang kompetitif kepada musuh tradisi bola sepak kita yang semakin meningkat.

Sedangkan kita semakin menurun.

Baca juga: 23 TAHUN SELEPAS BELAJAR DARI FAM, J LEAGUE KEMBALI KE MALAYSIA SEBAGAI GURU PULA