Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL KAJIAN & FAKTA

5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang UAE

Esok pasukan kebangsaan kita akan menentang UAE dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018. Tetapi sejauh manakah pengetahuan kita tentang UAE?

Kami sediakan 5 perkara yang perlu anda tahu tentang pasukan yang kini berada di ranking 69 dunia ini.

1. Formasi

Ketua jurulatih mereka, Mahdi Ali, adalah bekas jurulatih skuad Olimpik UAE yang bertanding dalam Sukan Olimpik 2012. Mahdi pernah mengurus pasukan bawah-16, bawah-19 dan bawah-20 UAE. Jadi majoriti skuad UAE sekarang adalah bekas pemainnya daripada skuad pelapis dan Olimpik UAE.

Di bawah Mahdi Ali, UAE gemar bermain dengan formasi 4-4-2 atau 4-2-3-1.

uae442

2. Kesebelasan utama

Ahmed Khalil adalah nama tetap dalam jentera serangan UAE. Kebiasaannya penjaring terbanyak Piala Asia 2015, Ali Mabkhout, akan berpasangan dengan Khalil. Tetapi kadang-kala Mabkhout diletakkan di bahagian sayap kiri juga sebagai inside forward.

Mohamed Abdulrahman juga seperti Mabkhout. Boleh bermain sebagai penyerang dan pemain sayap kiri. Dalam perlawanan, beliau selalu bertukar-tukar posisi dengan Mabkhout untuk mengelirukan lawan.

Tetapi dalam perlawanan menentang Timor Leste baru-baru ini, UAE menurunkan Ismail Al Hammadi. Bukannya Mohamed Abdulrahman.

Adik Mohamed Abdulrahman, iaitu Omar Abdulrahman, merupakan perancang utama pasukan. Jika UAE bermain dalam formasi 4-4-2, Omar akan bermain di sayap kanan. Tetapi bukan sebagai pemain sayap. Sebaliknya sebagai perancang.

Sebagai pemain berkaki kiri, Omar gemar bergerak dari sayap kanan ke poket ruang di antara jentera tengah dan pertahanan lawan (cut inside).

Jika UAE bermain dalam formasi 4-2-3-1, Omar akan bermain di tengah. Di belakang penyerang utama, Ahmed Khalil.

Amer Abdulrahman (tiada kena mengena dengan Omar dan Mohamed Abdulrahman) pula adalah ‘Safiq Rahim’ UAE. Beliau selalunya digandingkan dengan pemain tengah yang lebih defensif. Selalunya Habib Al Fardan atau Khamis Eshmaeel.

Walid Abbas dan Abdulaziz Sanqoor pula adalah nama tetap bagi calon bek kiri dan kanan UAE.

Mohamad Ahmed dan Mohamad Salem pula dijangka akan mengemudi pertahanan tengah. Di gawang gol, penjaga gol muda mereka, Khalid Eisa, dijangka akan bermain menentang Malaysia.

UAE vs Malaysia - Football tactics and formations

 

3. Merancang serangan melalui Omar Abdulrahman

Karakter utama UAE dalam kejohanan Piala Teluk 2014 dan Piala Asia 2015 adalah: gemar menyerang. Ada sebabnya mengapa mereka gemar menyerang.

Satu: UAE lemah dalam bahagian pertahanan. Pemain sayap mereka tidak rajin membantu bek kanan dan kiri. Ketika seri 1-1 dengan Jepun, pertahanan mereka membenarkan 28 percubaan ke arah gol apabila mereka cuba mempertahankan kelebihan 1 gol mereka.

Kedua: UAE membina pasukan yang memaksimumkan potensi bakat Omar Abdulrahman.

Pertukaran taktikal Dollah Salleh kepada formasi 5-3-1-1/5-4-1 semasa menentang Bangladesh tempohari ada kaitannya dengan potensi serangan UAE. Tetapi Dollah amat naif jika memikirkan Ahmad Khalil dan Ali Mabkhout sahaja yang perlu dijaga.

Dollah perlu memikirkan cara untuk meneutralisasikan Omar Abdulrahman.

462514396

Beliau gemar beroperasi di ruang antara jentera tengah dan pertahanan lawan. Seorang defensive midfielder yang rajin adalah satu kemestian dalam perlawanan ini.

Baca: Kenali Omar Abdulrahman

4. Khalil dan Mabkhout akan banyak membuat larian ke ruang

Sama ada ruang di belakang pertahanan (kerana push up) atau di bahagian sayap (kerana wing back belum sempat balik ke posisi), Ahmed Khalil dan Ali Mabkhout akan berlari ke arah itu.

Dan kebiasaannya, Omar Abdulrahman sentiasa nampak larian mereka melalui visinya. Dan seterusnya membuat hantaran maut (killer pass) melalui teknik hantarannya yang cemerlang.

Apa yang Dollah boleh lakukan adalah mengarahkan Amirizwan, Afif dan Junior supaya sentiasa tidak meninggalkan ruang besar di belakang mereka. Dalam erti kata lain, amalkan deep defending.

Khalil, Mabkhout dan Omar tidak akan berfungsi jika tiada ruang bagi mereka untuk dieksploit.

5. 4 pemain serangan akan memberi tekanan kepada pertahanan

Ahmad Khalil bukan sahaja penyerang yang klinikal, malah rajin memberi tekanan kepada pertahanan juga. Kebiasaannya, 2 penyerang dan pemain sayap UAE akan memberi tekanan kepada jentera pertahanan lawan.

459464330

Mujurlah Dollah mencuba formasi baru yang tepat tempohari.

Dengan 5 pertahanan, jentera pertahanan negara mempunyai kelebihan 1 pemain dalam situasi 5v4.

Berdasarkan apa yang ditunjukkan ketika menentang Bangladesh, Afif dan Junior juga mampu membawa bola keluar dari zon pertahanan ke zon tengah.

Kebolehan ini membantu kekurangan Malaysia yang hanya mempunyai 2 pemain sahaja di tengah dalam formasi baru Dollah ketika merancang serangan.

Tetapi dengan syarat. Wan Zack dan Joseph Kalang Tie perlu lebih banyak beroperasi di kawasan tengah. Bukannya di kawasan sayap seperti dalam separuh masa pertama menentang Bangladesh.

Baca juga: ANALISIS TAKTIKAL PERLAWANAN PERSAHABATAN: MALAYSIA 0-0 BANGLADESH