Prestasi buruk Kelantan berterusan apabila tewas 1-3 kepada tuan rumah, JDT dalam perlawanan yang menarik semalam.
Ketua jurulatih Kelantan, Azraai Khor masih mencari-cari kemenangan pertama bersama pasukan barunya dan terpaksa menunggu lebih lama untuk mencatat kemenangan pertama. Kali terakhir Kelantan mencatat kemenangan adalah ketika menang 2-0 menentang Lions XII, 2 bulan yang lalu.
JDT pula kembali menemui rentak kemenangan selepas terikat 0-0 menentang Lions XII. Memandangkan JDT mengharungi 3 perlawanan seminggu, kemenangan ini penting untuk memastikan JDT masih berada dalam perlumbaan kejuaraan liga Super 2015.
Kesebelasan utama JDT
Seperti kebiasaan, Bojan Hodak membuat beberapa pertukaran pemain berikutan perlawanan AFC Cup menentang Kitchee United pada Selasa lepas. Fadhli Shas kembali berpasangan dengan Marcos Antonio di pertahanan tengah.
Amri Yahyah, Patito Rodriguez dan Alhaji Kamara mengambil alih tugas S. Chanturu, S. Kunalan dan Luciano Figueroa mengemudi jentera serangan JDT semasa perlawanan kumpulan AFC Cup.
Kesebelasan utama Kelantan
Seperti yang kami jangka minggu lepas, Kelantan menggugurkan Emmanuel Kenmogne dan Isaac Pupo untuk digantikan dengan gandingan duo penyerang baru mereka – Iwuji Augustine Amamchi (Iwuji) dan Gilmar Jose Da Silva Filhao (Gilmar).
Ketiadaan Pupo bermakna Amar Rohidan berpasangan dengan Badhri Radzi di tengah. Fitri Omar menggantikan Wan Zaharulnizam di sayap kiri tetapi terpaksa menghabiskan bermain di posisi bek kiri selepas kecederaan Jonathan McKain memaksa Farisham Ismail berpindah dari bek kiri ke tengah.
Baca juga: Analisis Taktikal: Kelantan 0-2 Pahang
Taktikal JDT
Sebagai pasukan yang menyerang (dan bertahan) dengan hantaran pendek dan penguasaan bola yang tinggi, formasi 4-2-3-1 memberi kelebihan pemain di tengah padang. Menentang Kelantan yang hanya mempunyai 2 pemain tengah (Badhri Radzi dan Amar Rohidan), JDT mendominasi penguasaan bola dengan 3 pemain di tengah.
Kedinamikan dan ketinggian stamina Safiq Rahim memastikan pertahanan JDT mampu bermain hantaran pendek setiap masa. Bermain di belakang Alhaji Kamara, Safiq juga rajin turun untuk mengutip bola. Kerja beliau untuk mengekalkan dominasi JDT di tengah menjadi lebih mudah apabila tiada pemain tengah Kelantan yang mengekori beliau.
Taktikal Kelantan
Seperti JDT, Kelantan juga gemar melakukan hantaran pendek dari belakang dan menguasai perlawanan. Sebagai sebuah pasukan yang bermain dengan 2 penyerang (dalam formasi 4-4-2), salah seorang penyerang perlu turun untuk membantu pemain tengah mengekalkan penguasaan bola. Kebiasaannya, tugas itu digalas oleh Emmanuel Kenmogne. Kini tugas itu digalas oleh Iwuji.
Iwuji menyerlah
Apa kelebihan Iwuji berbanding Kenmogne? Dari satu segi, Iwuji mempunyai kebolehan untuk bermain sebagai penyerang kedua dan lebih gemar terlibat dalam build-up play. Kenmogne mungkin penjaring gol terbanyak liga Indonesia tetapi beliau seorang penyerang yang gemar berada di kotak penalti lawan.
Iwuji nampak selesa mengutip bola setiap kali Badhri Radzi dan Amar Rohidan, sebelum menggunakan skil gelecekan dan kelajuannya untuk menewaskan pertahanan. Gol Kelantan jaringan Iwuji terhasil daripada gerakan ini.
JDT mempunyai variasi dalam serangan
Satu perkara yang mesti anda tahu mengenai taktikal JDT adalah bagaimana mereka mempelbagaikan serangan mereka.
Gol pertama JDT terhasil melalui hantaran lintang Amri Yahyah dari sayap kanan. Dalam situasi ini, Amri menyerang seperti pemain sayap klasik.
Gol ketiga JDT pula membuktikan kepelbagaian serangan JDT. Apabila bek kiri Kelantan menghalang Amri melakukan hantaran lintang (setelah apa yang terjadi dalam gol pertama JDT), Amri membawa bola ke tengah, membuat hantaran satu-dua dengan penyerang Alhaji Kamara sebelum melepaskan placing shot melalui kaki kirinya.
Jika Amri memerlukan bantuan daripada bek kanannya, S. Kunanlan sentiasa ada untuk melakukan overlapping run.
…manakala Kelantan seperti kehilangan idea setiap kali menyerang
Perkara ini sudah kami perhatikan sejak perlawanan Liga Super Kelantan menentang Pahang pada minggu lepas.
Kedegilan pemain Kelantan yang menyerang melalui tengah (menghantar bola ke Iwuji dan Gilmar) SAHAJA mencacatkan potensi serangan Kelantan.
Mereka jarang menyerang melalui hantaran lintang di kawasan sayap. Bek kiri dan kanan mereka pula jarang membantu pemain sayap mereka dalam serangan.
Setiap kali serangan, mereka pasti akan membuat hantaran terus dari tengah kepada pasangan penyerang baru mereka. Serangan mereka mudah dibaca dan mudah dipatahkan. Ini terbukti dengan rekod jaringan mereka sebanyak 2 gol sahaja daripada 6 perlawanan Liga Super terakhir.
Pertahanan Kelantan masih longgar
Ketika temuramah selepas perlawanan semalam , Azraai Khor memberitahu:
Kita akan menumpukan latihan dari segi man marking
Kami bersetuju dengan beliau. Ketika menentang Pahang, pertahanan Kelantan memudahkan Dickson Nwakaeme untuk menjaringkan gol dengan kawalan pemain yang tidak ketat.
Dalam perlawanan semalam, ini pula berlaku dalam build-up play gol ketiga JDT.
Kami pasti semua pasukan bola tahu, anda perlu kompak selepas kehilangan bola. Tapi lain pula yang berlaku dalam pasukan Kelantan. Terlalu besar ruang yang diberikan kepada Kamara sehingga beliau selesa melakukan assit untuk gol Amri Yahyah.
Baca juga: 5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Alhaji Kamara
Kesimpulan
Azraai Khor perlu mempelbagaikan serangan pasukan Kelantan dan cuba menggunakan khidmat pemain sayap sebenar untuk membuat hantaran lintang kepada dua penyerang baru mereka. Bek kiri dan kanan mereka juga perlu diberi kebebasan untuk membantu pemain sayap.
LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter
Sumber gambar: TV3, Dunia Sukan Online