Ketika ini, Ronald Koeman memulakan musim 2016/17 dengan cemerlang di Everton. Lebih mengagumkan, Koeman melakukannya sambil menerapkan falsafah bola sepak kegemarannya iaitu free flowing football ala total football.
Jika dibandingkan dengan bekas pengurus Everton yang turut menerapkan permainan free flowing football, Roberto Martinez, Koeman merupakan versi naik taraf Roberto Martinez
Berikut adalah suntikan taktikal yang dibawa Koeman ke dalam pasukan Everton. Analisis ini adalah berdasarkan taktikal Everton ketika menentang Middlesbrough.
1. Pemain box-to-box berintensiti tinggi
Di Southampton, Ronald Koeman gemar menggunakan Victor Wanyama (kini bermain di Tottenham Hotspur) sebagai pemain box-to-box. Tetapi Wanyama lebih cenderung bertahan berbanding menyerang.
Di Everton, Koeman mempunyai pemain yang lebih baik untuk peranan ini iaitu Ross Barkley. Secara asasnya di bawah Koeman, Barkley hanya meneruskan apa yang pernah dilakukan beliau di bawah Roberto Martinez. Memang hampir mirip.
Bezanya adalah intensiti taktikal Koeman yang lebih tinggi dan berterusan di bahagian tengah. Sebagai pemain yang berstamina tinggi, Barkley tiada masalah memenuhi kehendak Koeman.
Namun Barkley harus memperbaiki isu permainan berpasukan kerana beliau agak individualistik di dalam padang. Sedangkan beliau ada platform sokongan yang baik di sekeliling beliau.
2. Permainan di zon half space
Pada musim ini, Koeman banyak mengarahkan pemain kreatif beliau untuk memberikan fokus menghasilkan peluang dari zon half space. Di zon sayap, team width akan dibekalkan oleh bek kanan dan bek kiri mereka.
Gambar bawah adalah contoh bagaimana 3 pemain tengah mereka masuk ke zon half space ketika menyerang.
Bahkan Yannick Bolasie, pemain sayap yang terkenal dengan skil menarik beliau di zon sayap ketika bermain di Crystal Palace pada musim lepas turut diarahkan bermain di zon half space.
3 gambar di bawah merupakan anatomi gol ketiga Everton yang dihasilkan oleh Bolasie dan disudahkan oleh Romelu Lukaku. Perhatikan di kawasan mana Bolasie beroperasi ketika Everton sedang menyerang.
Malah jika kita perhatikan rajah kedudukan posisi purata (average positioning) setiap pemain Everton, jelas sekali Mirallas dan Bolasie memang berada di zon half space.
3. Bertahan dengan sistem zonal marking dan blok rendah
Zonal marking memang cara bertahan pilihan Koeman sejak dari dulu lagi. Semasa mengurus Southampton pada musim lepas, beliau juga menggunakan pendekatan yang sama.
Gambar di bawah jelas menunjukkan formasi 4-2-3-1 dengan bertahan di blok rendah dan dalam keadaan low pressing.
Namun taktikal ini agak berisiko bila berhadapan dengan pasukan yang memiliki pemain-pemain yang lebih baik di bahagian serangan.
Secara peribadinya, saya tidak rasa ini pendekatan yang terlalu baik untuk Everton. Mereka ada kualiti serangan yang sangat baik.
Jadi, Koeman mungkin harus memikirkan taktikal yang lebih intensif ketika pressing.
Taktikal Koeman ini terlalu bergantung kepada kelajuan dan juga kemampuan pemain melarikan bola daripada bawah untuk menyerang balas.
Kesimpulan
Perubahan paling ketara antara era Ronald Koeman dengan Roberto Martinez adalah penggunaan zon half space sebagai kawasan pemain sayap untuk mencipta peluang.
Martinez gemar pemain sayapnya menggelecek di zon sayap. Manakala Koeman mahukan bola itu digerak masuk secara diagonal dari zon half space secepat mungkin.
Koeman tidak ada masalah yang besar dalam transisi kerana Roberto Martinez sebelum ini sudah meyediakan platform taktikal moden ketika di Everton.
Ia satu taktikal yang menarik untuk dipelajari. Jika anda masih tak faham dengan artikel ini, anda dijemput untuk membaca artikel lama kami tentang half space.
Anda juga boleh bertanya soalan dan berkongsi pendapat tentang artikel ini di forum laman web Semuanya BOLA (klik link).
Baca juga : Apa Itu Half Space Dan Kenapa Ia Penting Kepada Taktikal Bola Sepak