Analisis Taktikal: Belgium Tidak Cukup ‘Decisive’, Perancis Lebih Defensif

Perlawanan ini boleh dikatakan agak sukar untuk kedua-dua pasukan kerana 2 pasukan ada keupayaan bertahan yang sangat baik. Jadi, kualiti ketika menyerang sangat diuji.

Masalah utama Belgium

Belgium sangat dominan dalam perlawanan ini daripada awal lagi. Namun mereka sangat lemah dalam menyudah dan menciptakan peluang. Sebab itu ditulis tak cukup decisive dengan peluang mereka ada.

Perancis lebih efektif mencipta peluang dan melakukan jauh lebih banyak percubaan gol berbanding mereka. Ini statistik separuh masa pertama. Yang sebelah kiri adalah Perancis dan kanan adalah Belgium.

Ini pula statistik percubaan ke arah gol pada separuh masa kedua:

Anda akan lihat dengan jelas, Perancis sangat sikit penguasaan bola namun lebih banyak percubaan ke arah gol. Perancis turut mencatatkan 17 hantaran bahaya (keypasses) berbanding hanya 7 untuk Belgium.

Anda sudah boleh gambarkan Belgium kurang hantaran pembunuh dalam perlawanan ini. Mbappe paling tinggi jumlah hantaran kunci.

Isu yang ketara, Belgium perlu lebih direct apabila berada di kawasan serangan. Apabila mereka melengahkan masa untuk mencipta peluang, Perancis sangat cepat untuk membentuk 2 banks of four ataupun 5-4-1 di blok pertahanan dengan kompak.

Mereka menggandakan banyak hantaran lintang terutama sekali selepas Mertens dimasukkan. Mungkin Mertens patut bermula sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan ini.

Namun ianya tak berhubung dengan penyerang. Anda tidak boleh menyatakan mereka tidak cuba melakukan servis kepada serangan.

Masalah mereka adalah tidak ada connection ataupun sedikit lambat dan membuatkan Perancis dengan efektif mematikan ancaman mereka. Statistik ini menunjukkan Belgium melakukan hantaran lebih daripada 2 kali ganda daripada pasukan Perancis.

Perancis sangat disiplin terutama sekali ketika mereka sudah memiliki 1 gol. Giroud seperti bek tengah ke-3 dalam sistem mereka.

Jika perlawanan ini dimenangi Belgium, Giroud akan menjadi muka pertama dikutuk L’Equipe di Perancis. Ini kerana pada fasa serangan pemain ini sangat kurang impak.

Pada fasa bertahan, beliau sangat baik. Namun Perancis tetap perlu memberitahu Giroud terima kasih di atas komitmen ketika bertahan, tetapi anda tetap perlu lebih tajam di hadapan gol untuk final ini.

Perjudian (gamble) oleh Martinez

Daripada perlawanan pertama lagi Martinez banyak memperjudikan nasib pasukan. Antaranya meletakkan Yannick Carasco sebagai bek sisi.

Dalam perlawanan ini, beliau menggunakan Dembele sebagai pemain tengah yang lebih ke kiri menggantikan unit tengah beliau sebelum ini. Dembele sangat tak bersedia dalam perlawanan ini.

Kesannya, Mbappe tersangat senang untuk melepasi kawasan tersebut dengan Dembele beberapa kali terperangkap ketika bertahan. Beliau tidak banya membantu dalam serangan dan melakukan terjahan bahaya.

Seterusnya adalah, Martinez kali ini mengarahkan Fellaini bermain seperti box to box. Dalam perlawanan menentang Jepun, Fellaini diarahkan hanya untuk menyerang sebagai pemain tambahan di dalam kotak penalti.

Dalam perlawanan menentang Brazil, Fellaini diarahkan fokus kepada peranan defensif dan cuba merantai Coutinho. Dalam perlawanan ini, Fellaini terlalu banyak tugasan. Beliau turut diarahkan merantai Pogba.

Jelas pemain ini bukan pemain yang terlalu dinamik untuk bergerak ke semua penjuru padang. Beliau banyak dibantu oleh De Bruyne.

Serangan Perancis vs Belgium

Ini adalah perkara yang sangat membezakan kedua-dua pasukan. Perancis sangat cepat dalam serangan balas. Belgium pula agak lambat dan memberikan ruang dan masa untuk Perancis regroup.

Namun harus diakui pertahanan Belgium sangat baik dalam usaha mematikan beberapa serangan bahaya Perancis.

Antaranya, foul taktikal yang dilakukan Hazard yang menyelamatkan bahagian pertahanan daripada berhadapan 3 vs 1. Belgium bijak untuk menggunakan tactical foul mereka dalam beberapa keadaan.

Namun Perancis tetap sentiasa memiliki banyak ruang ketika serangan balas kerana Belgium kerap hilang bola di zon serangan dalam keadaan mereka meletakkan ramain pemain di kawasan serangan.

Pemain-pemain Belgium hilang bola 13 kali dalam perlawanan ini dan Perancis hanya 3 kali sahaja.

Pertarungan di tengah

Pogba dan Matuidi beraksi sangat baik di tengah dan mereka banyak mencetuskan ancaman terus dengan hantaran dan gerakan.

Pogba dilihat diberikan peranan lebih bebas dalam perlawanan ini namun beliau sangat berdisiplin ketika fasa transisi kepada bertahan. Perkara yang mungkin sangat diidamkan Mourinho di Manchester United selepas ini.

Pogba tidak banyak melakukan perkara tak perlu seperti aksi fancy dan sebagainya. Beliau tahu Belgium sangat bahaya apabila dapat merampas bola di zon mereka.

Belgium lebih banyak inisiatif di tengah kerana mereka sangat dominan. Namun mereka sukar untuk memecahkan zon 14 yang dijaga rapi oleh Kante-Pogba yang dibantu Matuidi.

Rumusan

Perlawanan ini jelas dimenangi pasukan yang sudah bersedia untuk menjadi pasukan yang perlu bertahan iaitu Perancis. Deschamps menyediakan pelan bertahan yang baik kerana tahu Belgium memiliki kualiti menyerang.

Ya, pasukan Perancis pun sangat baik kualiti serangan mereka, namun Deschamps enggan mengambil risiko. Perancis tidak ego untuk cuba bermain dengan lebih banyak bola terutama sekali ketika ditekan seperti ini.

Ia satu perlawanan yang sukar untuk penyerang seperti Giroud dan Lukaku. Mereka perlu berada dalam tahap terbaik untuk mendapat sesuatu dalam perlawanan ini. Lukaku hanya melakukan 1 shot dalam perlawanan ini dan ianya percubaan tak tepat.

Manakala untuk Mbappe dan Hazard, 2 pemain ini tetap memiliki pengaruh yang sangat kuat dalam perlawanan ini. De Bruyne juga berhak diberikan kredit kerana beliau banyak turun naik dan melakukan aksi berkesan.

Kedua-dua pasukan tetap ada beberapa peluang yang baik dengan memecahkan pertahanan namun gagal disudahkan dan penjaga gol juga berada dalam prestasi yang terbaik.

Akhirnya isu ke-efektif-an itu adalah sangat penting. Itu yang Belgium lakukan ketika menentang Brazil sebelum ini. Mereka sangat efektif pada separuh masa pertama dan fokus untuk bertahan pada separuh masa kedua.

Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA

Samuel Umtiti (Perancis)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN