Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Ramon Marcote: Taktikal JDT Sangat Baik, Kedah Serba Tak Menjadi

Malang sekali final kali ini bukan final klasik untuk kita diingati. JDT mendominasi dari awal sehingga wisel penamat. Keputusan yang dicatatkan menunjukkan perbezaan di antara kedua-dua pasukan.

Kedah tidak menikmati perlawanan ini daripada minit pertama. Dan jujurnya, perlawanan ini sudah tidak melakar sejarahnya pada kedudukan 2-0.

Sebelum final

Keadaan agak sukar difahami melanda Kedah. Ramai menggariskan isu pasukan Kedah yang sambil lewa. Ramai penyokong Kedah sudah menganggap pasukan mereka akan kalah kerana kehilangan beberapa pemain yang tidak dapat beraksi di final.

Bagi saya, ini cara yang salah untuk menuju ke final.

Fokus sepatutnya ke arah para pemain yang boleh bermain. Objektif pertama seharusnya untuk mewujudkan kepercayaan kepada sesiapa sahaja pemain yang bakal menggantikan Rizal Ghazali, Renan Alves dan juga Rodriguez.

Objektif kedya adalah untuk merancang pelan agar pemain yang bakal bermain di final boleh menikamati peranan mereka dan bersinar dengan cara mereka tersendiri – bukannya dibayangi oleh mereka yang cedera dan juga dihukum.

Mencipta atmosfera kemenangan. Anda akan menang jika anda yakin anda boleh menang.

Memang benar kehilangan Renan dan Rizal sangat penting, tiada siapa yang mempertikaikannya. Namun harus diingat, pemain yang menggantikan mereka juga pemain peringkat tertinggi.

Renan Alves Kedah

ALOR SETAR 26 FEBRUARI 2019. Pemain import Kedah, Renan Alves (kanan), Anmar Fares Abdul Jabar (kiri) dan Fernando Rodriquez menjalani latihan ringan sewaktu sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim. NSTP/SHAHRIZAL MD NOOR

Amirul Hisyam pemain yang sangat berkualiti dan pernah membuktikan beliau boleh bermain dengan baik di barisan pertahanan ketika final Piala FA menentang Pahang.

Walaubagaimanapun, kita boleh mempersoalkan, adakah ia solusi terbaik untuk meletakkan Amirul di bek sisi – dan perlu berhadapan dengan Cabrera, pemain yang laju dengan mobilti sangat tinggi, serta sangan bagus dalam 1 lawan 1.

Khairul Helmi ambil alih tempat Renan, merupakan kapten yang hebat. Beliau sangat berpengalaman di final. Malang sekali Azmer terpaksa keluar awal kerana kecederaan. Malang berganda untuk Kedah. Masih juga saya rasa Norfriqri menjalankan tugas dengan disiplin dan tanggungjawab.

Selain itu, Fernando Rodríguez tak boleh bermain di final kerana kecederaan. Fernando, walaupun beliau banyak dikritik sepanjang musim, namun statistik 21 gol beliau untuk Kedah musim ini telah menjadi bukti penting kualiti beliau.

JDT turut kehilangan Diogo pada minit ke-24. Namun bezanya, pasukan JDT ada pemain tempatan yang berkualiti menggantikan Diogo.

Pengurusan teknikal

Realitinya, untuk menghadapi mana-mana akhir adalah satu di mana kakitangan teknikal cuba memastikan semua pemain dalam keadaan baik. Tetapi apabila ini tidak berlaku, adalah perlu untuk m menganalisis sebab-sebab mengapa pemain ini tidak boleh tersedia pada final.

Apabila seorang pemain tidak dapat bermain di final kerana kad disipilin. Ia adalah cerminan bahawa staf pelatih dan pemain gagal mengendalikan hal ini.

Dalam kes Renan, beliau sudah 2 kali gagal bermain di final termasuk Piala FA. Selain itu, Kedah juga kehilangan pemenang kasut emas Liga Malaysia dan menjarinkan 21 gol dalam semua pertandingan – Fernando Rodriguez.

Fernando Rodriguez

Beliau mengalami kecederaan otot (bukan traumatik). Perkara ini juga harus dikaji sama ada pengurusan pemain dilakukan sebaiknya dengan memberikan beban latihan yang sesuai (mungkin terlebih atau terkurang). Mungkin juga pemain kurang rehat dan terpaksa bermain, itu antara contoh sebab kecederaan seperti ini.

Tak seorang pemain pun tidak mahu beraksi di final di stadium hebat di hadapan hampir 100,000 orang. Tiada keraguan bahawa para pemain terbaik harus sentiasa tersedia untuk final. Dalam hal ini, pengurusan pasukan dan juga staf teknikal harus melihat semula  perkara ini.

Dan selepas itu, Kedah dalam senario untuk turun ke final tanpa Fernando Rodríguez, Renan dan Rizal.

Bukan hari pasukan Kedah?

Saya tidak suka menerima senario sikap mengalah. Saya tak suka dengan mereka yang sudah berfikiran mereka akan kalah sebelum turun beraksi.

Dalam senario Kedah hari tu, objektif mereka adalah untuk membentangkan plan terbaik dengan cara terbaik yang mereka mampu untuk cuba menang. Ingat, naib juara adalah ‘loser’ yang pertama.

Dan di dalam perang, peperangan itu tidak selalunya akan dimenangi oleh mereka yang memiliki salah seorang perajurit terbaik. Namun ia biasanya dimenangi oleh mereka yang berjaya melaksanakan strategi serta mereka yang percaya akan menang dan mereka yang berjuang sehingga ke pertarungan terakhir.

Separuh masa pertama

Daripada kesebelasan utama kita sudah tahu apa yang mereka mahu lakukan. 2 sistem yang setara namun kedua-duanya dengan idea yang sangat berbeza.

Kedah melakukan modifikasi pada sistem. Menentang Pahang Kedah memilih sistem 4-4-2 dengan bahagian tengah terlalu mudah dilepasi. Dalam final, Kedah menggunakan 4-2-3-1 dengan sistem blok rendah.

Kedah cuba mendapatkan keseimbangan secara numerical dan konsisten di bahagian tengah – dalam usaha mereka memberikan sokongan segera kepada pertahanan. Jelas sekali Kedah mahu bermain dengan sistem serangan balas.

Pemposisian pasukan Kedah sangat konservatif pada awalnya. Mereka meletakkan para pemain di blok rendah, bermain di kawasan sendiri dan cuba melindungi diri mereka – serta mengurangkan kuasa serangan serta kualiti yang ada pada JDT.

Kedah berdisiplin ketika bertahan, sangat kurang mempersembahkan perkara yang menarik ketika menyerang. Malah, mereka melakukan beberapa kesilapan ketika bertahan telah menyusahkan mereka sendiri.

Kedah cuba sedaya upaya untuk memperlahankan rentak perlawanan. Mereka cuba mengganggu rentak permainan JDT dan bermain dengan sistem yang sangat ke bawah.

2 pemain sayap JDT, Cabrera dan Safawi sangat bahaya. Kedah terpaksa melakukan beberapa siri foul untuk mengganggu rentak JDT. Kesannya, Kedah mendapat 3 kad kuning pada 20 minit pertama – ini juga menjadi satu lagi masalah Kedah.

Selain itu, foul yang Kedah lakukan ini telah mendedahkan mereka kepada risiko kerana JDT adalah pasukan yang sangat baik dalam situasi bola mati.

Seawal minit ke-3, Aidil berjaya mendapat peluang tandukan yang hampir masuk. Mungkin pengadil boleh memberikan ofsaid kerana ada 2 pemain ofsaid mempengaruhi permainan.

Kelemahan pertahanan Kedah sepanjang musim ini terdedah sangat awal. Mereka melakukan kesilapan memberikan sepakan percuma di luar kotak penalti. Dan mereka ketinggalan 2-0, hasil kepakaran Safawi dalam sepakan percuma terus.

Kedah berdisiplin tetapi tak efektif

Secara keseluruhannya, Kedah adalah pasukan yang berdisiplin ketika bertahan, namun ketika menyerang mereka kurang ancaman pada serangan dan tiada kemampuan untuk menyempunakan gerakan dengan penyudah.

Pembinaan serangan dari bawah oleh pasukan Kedah agak perlahan dan tidak berkesan.

Akibat perlahan menyerang, mereka membuatkan JDT dengan mudah mencapai titik tekanan serta memaksa Kedah bermain bola lambung – yang kebanyakannya dimenangi oleh Hariss Harun ataupun Afiq – tak kira bola pertama ataupun bola kedua.

Kemasukan Syafiq Ahmad menggantikan Diogo pada minit ke-24 membuatkan struktur pressing JDT lebih efektif, kerana Syafiq adalah pemaun yang lebih laju dalam menjana tekanan.

Dalam beberapa fasa, pertahanan Kedah berjaya berhubung baik dengan tengah (dengan Baddrol atau Rowley). Namun Kedah tak mampu untuk pergi lebih jauh. Banyak hantaran lemah serta kecepatan JDT menutup garisan hantaran (passing lines) serta pressing.

Kedah agak tempang untuk melakukan perkar alain kerana selepas ‘recovery’ mereka tidak ada kualiti untuk menghantar bola lebih baik bagi menjana serangan.

Berhadapan dengan pasukan seperti JDT, jika kamu tak mampu melakukan hantaran yang tepat, kamu akan merana.

Kemudiannya, bahagian tengah Kedah didominasi secara total. Baddrol dan Rowley tidak mampu mengawal bahagian tengah dan gagal terhubung dengan Edgar ataupun Bauman, sepanjang perlawanan.

Barisan serangan Kedah, secara keseluruhannya tidak beroperasi dengan baik. Ruang terlalu besar di antara pemain juga membuatkan JDT lebih mudah melakukan tekanan.

Hanya ada beberapa hantaran panjang daripada Baddrool dari kawasan bawah kepada pemain sayap membolehkan Kedah kembali menyusun struktur dan menarik nafas. Namun tiada hasil secara ofensif.

Apabila Kedah memiliki lebih penguasaan bola mereka lambat bertindak dan membolehkan JDT mudah  menyusun semula pertahanan mereka.

Secara defensif, pemain tengah Kedah juga tidak beraksi baik. Baddrol, Rowley dan Edgar terus kekalkan jarak yang jauh. Mereka dengan mudah ditewaskan oleh Afiq Fazail dan Leandro yang memasuki garisan tekanan Kedah.

Kedah kemudian menukar sistem kepada 4-5-1 dengan Zaquan diarahkan bermain lebib ke belakang. Perubahan ini gagal kerana isu jarak di antara pemain pertahanan dan tengah yang sangat besar.

Leandro, Cabrrera dan Safawi sentiasa memiliki ruang di antara garisan Kedah untuk memberikan ancaman.

Ketika menyerang, Kedah terus tiada produk. Mereka cuba menyerang balas dan menggunakan kepantasan Farhan. Sebab itu Farhan banyak berlari ke garisan pertahanan lawan.

JDT terus efektif

JDT sentiasa bagus ketika transisi kepada bertahan, meneutralkan kesemua cubaan serangan oleh Kedah. Farhan hanya melakukan 2 gerakan yang berjaya di sayap kiri.

Tambahan, Zaquan gagal untuk mengatasi Corbin Ong. Secara defensif Zaquan sangat baik dan intensif sepanjang perlawanan.

Norfiqrie dan Amirul tiada peluang untuk naik membantu serangan bagi menambahkan unit pemain. Tiada hubungan di final third untuk menggoyahkan struktur pertahanan JDT.

Kita hanya boleh nampak impak Edgar pada situasi bola mati. Jonathan Bauman ‘isolated’ dengan teruk tanpa menerima bola.

Kedah hanya mampu mengharapkan situasi bola mati daripada pemain seperti Baddrol. Mereka menunggu kesilapan daripada JDT di bahagian pertahanan, namun ia tidak kunjung tiba.

JDT memulakan sistem mereka dengan 4-2-3-1. Mereka jelas sekali bermain berasaskan sistem ofensif dan bermain di blok tinggi. Misalnya, menolak 8 atau 9 pemain ke kawasan Kedah.

Mereka bermain dengan high pressing yang menyukarkan pasukan Kedah. JDT lebih jelas dengan pelan serangan mereka. Mencipta beberapa numerical superiorities di bahagian sayap menerusi Cabrera dan Safawi – dengan dibantu oleh Corbin dan Kunalan – yang memanipulasi ruang dari dalam.

Mereka banyak melakukan pertukaran posisi secara berterusan dan bermain dari dalam dan luar. JDT mengekalkan kestabilan serta memberikan Kedah kesukaran ketika bertahan. Semua ini juga dibantu oleh kualiti individu yang ada pada JDT.

Secara keseluruhannya, kepantasan yang ada pada JDT lebih baik daripada Kedah, sejak minit pertama lagi.

Bek tengah JDT tiada banyak masalah untuk terhubung dengan bahagian tengah. Afiq dan Hariss memberikan kestabilan secara berterusan dan terhubung dengan Leandro. Mereka berterusan menyerang menerusi Safawi dan Cabrera.

JDT mendominasi bola dan perlawanan. Namun paling penting mereka juga mendominasi perlawanan ketika tanpa bola.

Pemain JDT yang tanpa bola secara pro aktif melakukan gerakan. Dan ini memberikan kebaikan kepada pasukan. Mereka menjana gerakan, menggunakan ruang dan juga mengambil kesempatan ke atas ruang kosong, serta mewujudkan numerical superiorities yang membuatkan Kedah tak stabil.

Di tengah, JDT menguasainya dengan mengatasi Kedah dalam pertarungan sepanjang masa. Walaupun Kedah berdisiplin, namun dari sudut taktikal mereka tidak cukup bagus untuk mengekalkan jarak di antara pemain serta di antara barisan.

Perbezaan kualiti ini membuatkan pemain seperti Leandro mengambil kesempatan. Leandro adalah pemain yang mendominasi aspek mencetuskan serangan JDT, beliau melinduingi Hariss Harun (yang mungkin pemain terbaik dari sudut game player).

Selain itu, JDT juga mengambil kesempatan ke atas ruang di kawasan zon 14  (between the lines) untuk membentuk garis hantaran yang mencetuskan permainan kombinasi yang menarik keluar pemain Kedah – dan membuka ruang kepada pemain sayap mereka.

JDT menggunakan Cabrera untuk mencetuskan ancaman. Cabrera pemain yang bagus dari segi kelajuan, kepantasan serta memacu gerakan dengan kemampuan beliau dalam 1 lawan 1.

Secara karakter, Cabrera telah menyakitkan Amirul. Amirul pemain yang sangat berbakat namun beliau bukan pemain yang ada karakter bertahan 1 lawan 1 yang baik. Amirul turut kurang intensititi serta kelajuan untuk mengekang Cabrera.

Sebab itu JDT banyak sekali menjana gerakan daripada arah tersebut.

JDT banyak mencipta 2 lawan 1 di kanan dan kemudiannya menyerang di arah Amirul. Pelan permainan yang sama mereka gunakan untuk Safawi.

Gol pertama JDT adalah bukti pasukan mereka kaya dengan permainan taktikal dan menghukum kesilapan pertahanan Kedah. Cabrera menerima bola di koridor luar tanpa kawalan. Corbin tiba memberikan kestabilan dan sokongan.

Cabrera mula menggerakkan bola dan Syafiq melakukan gerakan dari dalam ke garisan luar Amirul serta menarik keluar Khairul Helmi. Cabrera berjaya berhubung dengan Syafiq dan membebaskan dirinya daripada kawalan Amirul.

Baddrol tidak membantu Amirul yang membolehkan Syafiq berjaya terhubung dengan Cabrera dan melepasi Khairul Helmi. Shakir terpaksa kelua daripada posisi beliau.

Norfriqri tidak menutup ruang pada masa yang tepat. Baddrol adalah pemain yang paling dekat tidak mengisi ruang yang ditinggalkan Shakir. Itulah ruang yang digunakan Leandro yang tiba dari garisan kedua, bebas tanpa kawalan daripada Rowley yang tidak ‘track back’.

Leandro menerima bola daripada Cabrera dan menjaringkan gol yang dibina dengan penuh kualiti. Perlaksanaan pelan taktikal mereka sempurna. Situasi 2 v 1, menarik pemain keluar untu 4 v 2  dan megambil kesempatan ke atas ruang yang terbiar.

Dalam kedudukan 2-0 pula, Kedah merumitkan keadaan. Adakah Kedah harus menukar sesuatu? Adakah Kedah harus mengekalkan idea asal mereka?

Sebagai perbandingan, JDT kini dalam situasi ideal. Mereka tidak perlu terdesak mengambil risiko dan terus mendominasi permainan. Mereka mengekalkan perancangan mereka dan menghukum kesilapan Kedah.

Pada 10 minit terakhir separuh masa pertama, Kedah cuba bermain di kawasan lebih tinggi namun mereka gagal memberikan tekanan. Ini membuatkan JDT berpeluang menyerang mereka dengan serangan kilat.

Pada minit ke-43, JDT mengatasi garisan tekanan Kedah dengan serangan balas. Pada minit  ke-44 Syafiq meghantar bola kepada Safawi, namun rembatan beliau tepat ke arah Ifwat. Dan pada masa kecederaan 46′, JDT juga menyerang balas.

Respon pertahanan Kedah tidak lagi optimal. Sepanjang musim ini, transisi bertahan pasukan Kedah lemah dan tidak terurus. Ini yang membuatkan mereka melepaskan banyak gol.

Selepas kedudukan 2-0, Kedah jadi tidak terurus dan JDT berterusan mengambil kesempatan untuk mencipta peluang gol.

Pada separu masa kedua, ianya tidak banyak berbeza. JDT dan Kedah kekal dengan perancangan pada separuh masa pertama.

Kedah hanya melakukan perubahan kepada posisi Bauman yang dijadikan no.10. Zaquan menjadi no.10 dan Edgar menjadi no.8.

Malangnya, modifikasi ini tidak ada impak kerana pendekatan mereka dalam permainan tidak banyak berubah.

JDT terus mendominasi di tengah dan juga menguasai perlawanan. JDT pasukan lebih tajam.

Kedah meneruskan perlawanan tanpa mengawal perlawanan. Setiap kali mereka mendapat bola, mereka tidak ada kesinambungan kerana kerap hilang bola dengan mudah.

Bauman dan Edgar terus gagal menyerlah. Kedah masih bergantung kepada hantaran dari bawah oleh Shakir dan Baddrol.

Pada minit ke-57, JDT membunuh perlawanan. Sekali lagi JDT menyerang menerusi sayap kanan dan menwujudkan 2 v 1 – Corbin dan Cabrera vs Amirul dengan mudah.

Syafiq menanti di dalam kotak penalti dalam kedudukan disadvantageous. 3 pertahanan Kedah lawan seorang Syafiq Ahmad, namun mereka masih gagal. Pertahanan Kedah lupa tentang prinsip: Bola dan ruang tidak akan menyakitkan kamu, tetapi pemain yang menerima bola.

Syafiq tidak dikawal, menyempurnakan gol dengan kepakaran beliau – menerusi tandukan.

Pada baki 30 minit terakhir, tidak ada apa lagi disajikan. Kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran namun perlawanan ini tetap tiada perubahan.

Selepas 3-0, JDT mengurangkan intensiti serangan mereka dan tidak mahu mengambil sebarang risiko.

Kedah pula memilih untuk kekal dengan pelan asal. Mereka berdisiplin dan cuba untuk menghentikan lebih kerosakan.

Pada 15 minit terakhir, Kedah bermain dengan lebih baik dan menjana beberapa gerakan cantik. JDT pula agak hilang konsentrasi pada beberapa ketika dan memboleh Kedah mendapat beberapa peluang gol.

Baddrol melakukan beberapa sepakan percuma yang baik, memaksa Farizal melakukan beberapa aksi. Namun begitu JDT tetap berjaya mencipta peluang 1 lawan 1 melibatkan Corbin dan Ifwat. Serta Syafiq Ahmad ada 2 lagi percubaan gol pada fasa ini.

Realitinya, final ini dibunuh pada minit ke-57.

Sepanjang musim ini, Kedah menjaringkan banyak sekali gol pada 15 minit terakhir. Namun mereka gagal menunjukkan kualiti serangan mereka pada malam final. Mereka sukar berhadapan dengan pasukan yang lebih baik.

Saya masih merasakan Kedah tewas dengan bermaruah. Namun ini bukan bermaksud Kedah boleh menutup kelemahan mereka yang terpampang pada malam final. Masalah yang mengantui mereka sepanjang musim ini.

Siapa akan lupa kesukaran Kedah ketika menentang Felda United ketika semifinal Piala FA dan juga waktu final Piala FA menentang Perak.

Dalam aksi menentang Pahang di semifinal, Kedah bolos 8 kali. Mereka tidak begitu memiliki gaya permainan yang jelas, sukar mengawal permainan dan juga rapuh di pertahanan.

Selain itu, jarak di antara barisan pemain juga membuatkan mereka sukar untuk melakukan transisi dan kurang gerakan taktikal serta konsistensi di dalam permainan.

Namun begitu, Kedah menikmati musim yang baik. Mereka juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia. Ini menuntuk komitmen yang tinggi daripada pemain untuk mencapainya.

Sekarang adalah masa untuk mengenalpasti kelemahan dan memperbaikinya.

Tahniah Kedah FA. Pulun Kedah Pulun.

Saya percaya JDT selayaknya menang. Mereka berjuang dengan semangat, kebanggaan, dan menghormati lawan mereka.

Luciano Figueroa JDT Kedah Piala Malaysia

FOTO: JST

Mereka jelas menunjukkan, tiada gunanya untuk terus melukakan lawan dengan skor yang mereka sudah capai.

Tahniah JDT.

Pemain terbaik

Saya memilih Hariss Harun sebagai pemain paling konsisten pada malam final. Beliau mendominasi tengah. Dan ketika bertahan, Hariss memenangi kesemua duels, memenangi bola pertama ataupun kedua. Beliau memberikan kestabilan kepada pasukan.

Beliau melaksanakan tugas dnegan intensiti dan taktikal yang memberikan karakter kepada JDT.

Ketika JDT menyerang, Hariss memberikan ‘security’ dengan keupayaan melakukan ball recovery.

Seterusnya, Cabrera, gol pertama dan ketiga adalah bukti beliau memang dilahirkan untuk semua ini.

Nota Editor: Analisis ini adalah daripada Ramon Marcote. Pemegang lesen UEFAPro Football Coach serta PhD Sports Science UPM. Beliau bekas jurulatih Kedah FA. Anda boleh ikuti Ramon di Twitter dan Instagram.