Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia: ‘Raja Assist’, Baddrol Bakhtiar Tekad Beri Aksi Terbaik

Kali terakhir kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar beraksi bersama skuad kebangsaan adalah pada Oktober 2017 ketika tewas 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi pusingan ketiga, kelayakan Piala Asia.

Pemain sayap menyerang itu beraksi selama hampir 80 minit dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hong Kong, namun gagal membantu Harimau Malaya untuk merekodkan kemenangan.

Ketika Tan Cheng Hoe mengambil alih mengendalikan skuad kebangsaan, bekas pemainnya ketika membimbing Kedah itu langsung tidak mendapat tempat, malah bukan mudah untuk Baddrol Bakhtiar meyakinkan pengendali berusia 51 tahun itu.

Kini, selepas semusim Liga Malaysia berlangsung dengan Baddrol Bakhtiar cemerlang memimpin Kedah untuk memenangi Piala FA dan kemudian menjadi finalis Piala Malaysia, namanya kembali berada di dalam senarai panggilan skuad kebangsaan.

Menariknya, dalam perlawanan pemanas badan ‘rahsia’ menentang Maldives baru-baru ini, Baddrol Bakhtiar berhasil meledak gol buat skuad negara pada minit ke-72 menerusi sepakan penalti untuk memberikan kemenangan 2-1 buat Harimau Malaya.

Bercakap kepada Berita Harian, Baddrol Bakhtiar bertekad mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh Tan Cheng Hoe dengan aksi cemerlang terutamanya dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, berdepan Thailand dan Indonesia.

Pemain yang memiliki 57 penampilan antarabangsa itu juga yakin mampu untuk mengikuti taktikal yang diterapkan kerana sudah pernah beraksi di bawah kendalian Tan Cheng Hoe di Kedah.

“Dengan panggilan [skuad kebangsaan] kali ini, saya nak beri yang terbaik untuk meraih keputusan positif kepada pasukan,” ujar pemain berusia 31 tahun itu ketika ditemui selepas sesi latihan.

“Bagi saya, bergandingan dengan sesiapa pun tiada masalah, kerana mana-mana pemain yang diturunkan akan beri 100 peratus,” tambahnya lagi mengenai gandingan yang sesuai buatnya untuk menggerakkan jentera tengah skuad negara.

Baddrol Bakhtiar boleh beraksi di dua posisi iaitu posisi sayap menyerang dan tengah bertahan serta mampu menjadi sumber kreatif untuk skuad Harimau Malaya. Hantaran jauhnya juga boleh dimanfaatkan untuk menjana asakan ke kubu lawan.

Malaysia akan turun menentang Tajikistan pada Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan persahabatan. Dijangkakan pemain yang memiliki rekod assist terbanyak di Liga Super 2019 dan Piala Malaysia 2019 itu bakal menjadi aset skuad kali ini.

Kredit Featured Image: Sports Regime