ANALISIS: Manipulasi Garisan Tinggi Selangor Yang Hampir Lemaskan JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT)menamatkan kempen Liga Malaysia 2022 tanpa sebarang kekalahan apabila unggul menewaskan Selangor 2-1 dalam aksi final Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selangor terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti Herlison Caion sebelum Bergson da Silva menyamakan kedudukan di penghujung separuh masa pertama menerusi situasi sepakan penjuru.

Fernando Forestieri muncul wira pasukannya apabila menyumbat masuk gol kemenangan JDT pada minit ke-59.

JDT yang bermula dengan formasi 4-3-3 jelas mahu mendominasi permainan ini menerusi permainan di garisan tinggi dalam usaha untuk menekan pemain lawan, serta memenangi semula penguasaan bola di kawasan yang lebih tinggi bagi memudahkan transisi serangan pasukan.

Setiap kali kehilangan penguasaan bola, JDT akan bertahan dengan blok tinggi secara 4-3-3, di mana mereka akan menutup segala opsyen tengah untuk diakses pasukan Selangor. Ia memaksa lawannya itu untuk banyak bermain hantaran-hantaran jauh yang kurang efektif.

Setiap kali memperoleh penguasaan bola pula, JDT akan menyerang dengan struktur 3-2-5 di mana Natxo Insa akan turun untuk berada di antara dua pemain pertahanan JDT iaitu Shahrul Saad dan Feroz Baharudin untuk membentuk bek bertiga di bahagian pertama serangan mereka.

Struktur ini akan menolak kedua-dua pemain ‘fullbacks’ JDT iaitu La’Vere Corbin-Ong dan Matthew Davies untuk menyertai unit serangan berlima pasukan bersama Arif Aiman, Forestieri dan Bergson.

Struktur serangan JDT juga turut mempamerkan konsep yang fleksibel di mana pemain-pemain mereka akan kerap melakukan pertukaran posisi yang aktif, seperti mana yang kerap dilakukan oleh Arif dan Davies untuk menyediakan ‘width’, serta mengeksploitasi kawasan ‘half-space’ untuk menekan pasukan lawan.

Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe bijak menghidu serta mengenalpasti ruang yang mampu dieksploitasi oleh anak-anak buahnya, dan dalam analisis kali ini, kami akan gariskan beberapa detik di mana Gergasi Merah memanipulasi garisan tinggi pasukan JDT untuk mencipta gerakan-gerakan serangan yang merbahaya.

Transisi serangan yang efektif

Meskipun ditekan oleh JDT secara agresif, Selangor dilihat mempamerkan disiplin bertahan yang baik, sekaligus membantu mereka untuk melancarkan serangan balas dengan lebih tersusun dan berkesan.

Kecenderungan JDT untuk menghantar ramai pemain untuk menyertai unit serangan pasukan turut mendedahkan mereka kepada risisko serangan balas pihak lawan, terutamanya apabila bermain di garisan tinggi.

Gambar di atas sekali lagi menunjukkan organisasi serangan JDT yang berasaskan struktur 3-2-5. Secara matematiknya, JDT ketika ini menghantar tujuh pemain untuk menyerang, sekali gus meninggalkan hanya tiga pemain di bahagian belakang.

Selangor berjaya merampas semula penguasaan bola menerusi pemain tengah mereka, Alex Agyarkwa.

Bacaan hantaran bola yang tidak tepat oleh Shahrul membolehkan hantaran tembusan (penetration pass) daripada Agyarkwa menemui Caion.

Situasi ini meletakkan Selangor dalam keadaan serangan yang baik.

Sebelum dikecewakan oleh rembatan tersasar daripada Mukhairi Ajmal.

Kecenderungan JDT menghantar sehingga tujuh pemain ketika mereka menyerang menjadi tema kepada organisasi serangan mereka dalam perlawanan ini.

Namun Agyarkwa sekali lagi mempamerkan kualiti beliau selaku ‘ball winning midfielder’ untuk merampas semula penguasaan bola.

Sebelum melepaskan hantaran kepada Quentin Cheng.

Sebelum pemain pertahanan kanan Selangor tersebut melakukan hantaran secara ‘diagonal’ kepada Brendan Gan di bahagian ‘wide area’.

Ia sekali gus mencipta situasi 2v2 setelah Caion melepasi kawalan Davies. Namun gerakan ini dikecewakan oleh hantaran lintang Gan yang terlalu kuat.

Keberkesanan hantaran-hantaran jauh Selangor

Selangor turut menggunakan hantaran panjang untuk melepasi tekanan tinggi daripada pasukan JDT.

Kemampuan Caion untuk melakukan tugasan ‘hold and link-up play’ bersama rakan sepasukan turut membantu Selangor menghasilkan kombinasi permainan yang baik bagi memecah benteng pertahanan lawan.

Selangor turut mensasarkan ruang di antara pemain ‘centre-backs dan ‘full-backs’ JDT sebagai saluran serangan mereka, terutamanya ruang yang melibatkan kombinasi di antara Feroz dan Corbin-Ong.

Maka tidak hairanlah Feroz merupakan antara pemain pertahanan yang paling sibuk dalam perlawanan ini.

Faktor pengalaman Feroz turut menjadi salah satu faktor di sebalik gerakan serangan Selangor yang disasarkan di kawasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid melakukan hantaran jauh untuk melepasi tekanan tinggi pasukan JDT.

Hantaran jauh tersebut berjaya menemui Cheng, musim lepas menanduk hantaran tersebut ke arah Mukhairi.

Sedar dengan ancaman yang bakal dibawa Mukhairi, Corbin-Ong pantas keluar dari posisi asalnya untuk segera memberikan tekanan kepada pemain muda Selangor tersebut.

Mukhairi bijak melakukan helah, sebelum melakukan pusingan untuk menyerang ruang yang telah ditinggalkan oleh Corbin-Ong.

Gerakan ini berjaya menghasilkan situasi 3v3, dimana Selangor lebih berada pada kedudukan lebih baik ekoran kejayaan Caion yang sekali lagi berjaya melepasi kawalan Davies.

Situasi ini memaksa Davies menjatuhkan Caion dalam kawasan penalti selepas Mukhairi melakukan hantaran kepada penyerang tersebut.

Pengadil perlawanan tidak teragak-agak untuk menganugerahkan Selangor sepakan penalti berikutan kekasaran yang dilakukan ini.

Tajam tapi belum cukup menikam

Selangor dilihat mempamerkan permainan yang baik bagi memberi saingan kepada pasukan Harimau Selatan yang serba lengkap dalam aksi final Piala Malaysia ini.

Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan Selangor mampu membawa pulang Piala Malaysia buat kali ke-34 dalam sejarah pasukan sekiranya mereka lebih tajam dalam menyudahkan segala peluang yang terhidang terutamanya ketika di separuh masa pertama permainan.

Kejayaan JDT merangkul Piala Malaysia membolehkan mereka menyapu bersih segala kejohanan domestik yang ditawarkan musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN