ANALISIS: Kepintaran Pertukaran Pemain Jepun Berjaya Menghancurkan Jerman

Qatar 2022

Jepun memulakan kempen Qatar 2022 dengan penuh sensasi apabila mereka bangkit untuk menewaskan pasukan gergasi Eropah, Jerman dalam aksi peringkat kumpulan E.

Jerman terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-30 yang disempurnakan oleh Ilkay Gundogan, sebelum Ritsu Doan menyamakan kedudukan pada minit ke-75.

Takuma Asano melengkapkan malam gemilang Jepun apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-83.

Qatar 2022: Persis Arab Saudi Tumbangkan Gergasi, Giliran Jepun Malukan Jerman

Jerman memulakan perlawanan ini dengan sistem 4-2-3-1, namun mereka mempamerkan variasi dalam aspek struktur pasukan ketika berada dalam fasa menyerang.

Setiap kali memperoleh penguasaan bola, pemain pertahanan kanan Jerman, Niklas Sule akan melakukan tugasan ‘inverting’ bagi membentuk bek bertiga pasukan di bahagian pertama serangan bersama Antonio Rudiger dan Nico Schlotterbeck.

Struktur ini akan membantu Jerman untuk menolak  pemain pertahanan kiri mereka, David Raum untuk menyertai unit serangan berlima pasukan bersama Jamal Musiala, Serge Gnabry, Thomas Muller dan Kai Havertz.

Organisasi serangan ini meletakkan Jepun dalam situasi kekurangan pemain (underloaded) apabila unit serangan berlima Jerman kerap menekan empat pemain pertahanan mereka.

Struktur ini menjadi tema kepada organisasi serangan Jerman sehingga membolehkan mereka mendahului Jepun di separuh masa pertama.

Seakan sedar dengan ancaman yang mampu dibawa pasukan lawan, jurulatih Jepun melakukan beberapa pertukaran pemain yang menjadi titik mula kepada perubahan struktur serangan dan bertahan Jepun sehingga membolehkan mereka bangkit mencipta kejutan di separuh masa kedua.

Analisis kami kali ini akan merungkai segalanya.

Sistem bek berlima

Memulakan aksi sepruh masa kedua dengan ketinggalan satu gol, jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu mengeluarkan pemain sayap bagi memasukkan pemain pertahanan.

D atas kertas, penyokong Jepun pasti berasa hairan serta gusar kerana penggantian sebegini mampu membawa refleksi negatif memandangkan pasukan mereka perlu mengejar jaringan gol.

Namun penggantian ini membantu Jepun untuk meneutralkan ancaman serangan lawan menerusi unit serangan berlima, dengan menyusun blok pertahanan mereka secara 5-3-2 ‘mid-blocks’.

Jepun juga dilihat mempamerkan karektor berbeza di separuh masa kedua apabila mereka lebih berani untuk menekan tinggi pemain Jerman dalam usaha untuk memenangi semula penguasaan bola, serta mengganggu rentak serangan pasukan lawan.

Jerat tekanan efektif

Struktur bertahan ini turut membantu Jepun untuk memasang ‘pressing traps’ mereka dengan lebih berkesan untuk menjerat pemain pasukan lawan.

Seperti yang dapat dilihat dalam gambar di atas, Jepun menyusun blok bertahan mereka secara 5-3-2 ‘mid-blocks’.

Organisasi bertahan ini turut membolehkan pemain Jepun untuk berada di kedudukan ideal untuk memberi tekanan kepada pemain lawan.

‘Pressing traps’ ini menghadirkan tekanan kepada pembawa bola pasukan lawan, sekali gus memberi kesan kepada kualiti hantaran yang dilakukannya.

Ia sekali gus memberi petanda serta isyarat buat pemain Jepun untuk melakukan pintasan bola.

Pintasan bola tersebut berjaya meletakkan Jepun untuk berada dalam fasa transisi serangan.

Serta mengeksploitasi ruang yang ditinggalkan oleh barisan pertahanan Jerman yang gemar bermain di garisan tinggi ketika mereka menyerang.

Ia sekali gus membantu Jepun mencipta situasi serangan yang merbahaya (situasi 3v3).

Namun serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh Rudiger yang berjaya mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya.

Struktur serangan berasaskan struktur 3-2-5

Perubahan struktur ini bukan hanya melibatkan organisasi bertahan Jepun, namun ianya turut memberi kesan positif dalam aspek serangan pasukan mereka.

Setiap kali Jepun memperoleh penguasaan bola, pemain bek bertiga mereka akan membantu pasukan dalam aspek ‘ball progressions’ dengan lebih teratur.

Iniberikutan faktor lebihan pemain (numerical superiorities) di bahagian pertama serangan pasukan untuk melepasi tekanan awal pemain lawan.

Kejayaan pemain Jepun menggerakkan bola dari kawasan pertahanan (play out from the back) turut mengundang tindakan susulan daripada pemain lawan yang lain untuk segera memberikan tekanan, serta meninggalkan posisi asal mereka dalam usaha menggagalkan gerakan serangan Jepun.

Posisi yang ditinggalkan tersebut membolehkan Jepun mengeksploitasi ruang yang ditinggalkan menerusi kombinasi permainan pantas.

Kombinasi ini turut berjaya menarik lebih ramai pemain Jerman untuk keluar memberikan tekanan, sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk dieksploitasi oleh pemain Jepun.

Ia membantu Jepun mencipta situasi serangan yang berbahaya (situasi 2v2).

Jepun turut mempamerkan keberanian untuk bermain dengan hantaran-hantaran tinggi untuk menyerang lawan dengan lebih pantas.

Menerusi situasi bola mati, satu hantaran panjang secara ‘diagonal’ dilakukan ke bahagian ‘wide area’ di mana unit serangan berlima pasukan Jepun mencipta situasi ‘overloading’ ke atas empat pemain pertahanan Jerman (situasi 5v4).

Kemasukan ‘fresh leg’ seperti Ritsu Doan serta Takuma Asano turut membantu kelancaran gerakan serangan Jepun.

Kejayaan pemain Jerman untuk kembali ke posisi bertahan mereka menyebabkan Jepun terpaksa menghantar semula ke belakang untuk membina semula serangan mereka ekoran situasi kompak.

‘Ball circulations’ yang dilakukan Jepun mencipta bukaan di antara pemain pertahanan Jerman, membolehkan satu ‘lofted pass’ dihantar kepada Junya Ito.

Lalu membolehkan beliau melepaskan satu rembatan kencang yang berjaya ditepis penjaga gol Jerman, Manuel Neuer. Hiroki Sakai (jersi #19) pada ketika ini bebas dari sebarang kawalan pemain lawan ketika Neuer berjaya menepis rembatan tersebut.

Namun rembatan susulan daripada Sakai jauh tersasar meski pun pintu gol lawan telah terbuka.

Gambar di atas merupakan detik awal sebelum gol penyamaan Jepun dijaringkan di minit ke-75. Menerusi struktur yang beraaskan unit serangan berlima, Jepun memulakan gerakan serangan di bahagian ‘wide area’.

Barisan pertahanan Jerman yang tidak teratur membolehkan Takumi Minamino (jersi #10) mengeksploitasi ruang yang terbuka.

Lalu melepaskan rembatan kencang yang sekali lagi ditepis Neuer, namun kali ini Doan (jersi #8) yang tidak diberikan sebarang kawalan berada dalam keadaan yang selesa untuk menyerang bola muntah.

Ini sekali gus membantu Jepun menjaringkan gol penyamaan mereka dalam perlawanan ini.

Kepintaran jurulatih menentu keputusan

Mengambil kira aspek taktikal serta teknikal yang dijelaskan di atas, kebijaksanaan seseorang jurulatih dalam menggunakan serta menguruskan penggantian pemain ketika perlawanan sedang berlangsung boleh mempengaruhi keputusan kepada sesuatu perlawanan.

Kemenangan Jepun ini turut menambah kerancakan peminat bola sepak yang masih segar dengan kejayaan sebuah lagi pasukan wakil Asia, Arab Saudi yang turut berjaya menewaskan Argentina 2-1 dalam aksi pembukaan saingan kumpulan C.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN