Percaturan Ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan yang mengeluarkan pemain sayap, Faiz Nasir dan digantikan dengan pemain berpengalaman, Amri Yahyah ternyata membuahkan hasil yang lumayan apabila skuad gergasi merah berjaya menewaskan Kuala Lumpur, 3-2 sekaligus raih kemenangan pertama liga super musim ini.
Gol pertama Selangor hadir pada minit yang ke 65 apabila Gergasi Merah dihadiahkan sepakan penalti selepas Sandro dijatuhkan di kawasan kotak penalti untuk kedudukan 2-1.
Selangor bagaikan mendapat ‘tonik’ apabila pemain sayap kanannya, Syazwan Zainon berjaya menjaringkan gol kedua pada minit 71 selepas menggelecek dua pertahanan lawan.
Jaringan ketiga Selangor membuktikan Amri Yahyah masih lagi berbisa walaupun kerap memanaskan bangku simpanan musim ini apabila berjaya menanduk masuk gol ketiga pada minit 77 lalu menceriakan penyokong gergasi merah.
Mengulas mengenai jaringannya itu, Amri berharap semua penyokong tidak lagi menuding jari kepada jurulatih mereka sebaliknya memberi jaminan dia dan rakan sepasukannya akan terus mempertahankan maruah Selangor.
“Apabila pasukan ini kalah, kita tidak boleh menyalahkan jurulatih kerana ia adalah kegagalan keseluruhan pasukan. Sebagai satu pasukan dan sebagai penyokong, kita perlu memberikan sokongan yang lebih baik.
“Saya dapat lihat kebanyakan pemain bergelut dan berharap dengan kemasukan saya dapat membantu dan menggalakkan mereka untuk beraksi lebih baik.
“Mereka telah membuktikan pada malam ini bahawa pasukan Selangor bukan biashe-biashe,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro.
Semetara itu Satiananthan tidak mahu mendengar lagi khabar angin mengenai kemasukan jurulatih baharu Selangor seperti Mario Gomez kerana beliau akan pastikan jawatannya kekal sehingga akhir musim.
“Jangan main-main dengan saya tentang isu direhatkan.
“Saya boleh katakan di sini yang saya tidak akan direhatkan. Saya akan tuntut segala-galanya sehingga kontrak saya tamat. Itu adalah tugas saya.
“Saya bercakap kepada pemain saya dalam babak kedua, mereka semua tidak perlu pergi, saya yang akan pergi. Mereka perlu bermain dengan baik,” katanya.