Skuad Bola Sepak Pantai Malaysia Cipta Sejarah Mara Ke Suku Akhir Piala AFC

Skuad bola sepak pantai Malaysia mencipta sejarah baharu apabila melangkah ke suku akhir Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) di Pattaya walaupun kalah kepada Palestine 5-6 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Malaysia mara selaku naib juara kumpulan A selepas Afghanistan tumpas 0-2 kepada Thailand, malam tadi. Kekalahan Afghanistan tersebut memastikan Malaysia mengatasi Thailand dalam perebutan slot suku akhir menerusi rekod ‘head to head’.

FOTO: FAM

Skuad kendalian Faizal Md So’od itu akan berdepan cabaran getir juara Kumpulan B, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada peringkat suku akhir, Khamis ini.

Malaysia sebelum ini mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan dalam kempen peringkat kumpulan. Pasukan negara memulakan saingan dengan tewas tipis 2-3 kepada Afghanistan, sebelum menundukkan Thailand 5-4 dan kalah 5-6 di tangan Palestine.

Ini adalah penampilan kedua Malaysia dalam saingan bola sepak pantai AFC. Pemenang di peringkat suku akhir akan mara ke separuh akhir dimana ia menawarkan slot ke Piala Dunia bola sepak pantai di Paraguay.

Daripada empat pasukan yang mara ke separuh akhir, hanya tiga pasukan terbaik sahaja yang mendapat slot tersebut.

Leave a Reply