Bekas pemain pertahanan AC Milan dan Itali, Alessandro Costacurta memuji prestasi semasa Dries Mertens bersama Napoli dan berpendapat pemain itu adalah lebih penting daripada Paulo Dybala.
Peningkatan prestasi yang ditampilkan oleh Dries Mertens bersama Napoli sejak permulaan musim Serie A menyebabkan beliau dibandingkan dengan seorang lagi bekas legenda kelab itu, Diego Maradona.
Diego Maradona adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab dari Naples itu.
Sehingga kini Mertens telah menjaringkan sejumlah 7 gol dan menyumbang 3 bantuan gol untuk pasukannya. Ini menjadikan pemain antarabangsa Belgium itu menjadi watak utama dalam membawa Napoli melalui permulaan musim yang memberangsangkan.
Napoli kini berada di tangga teratas Serie A, berada di atas Juventus yang mengumpul jumlah mata yang sama, namun dibezakan dengan jumlah jaringan dengan kelab dari Turin itu.
Kecederaan teruk yang menimpa Arkadiusz Milik sehingga terpaksa berehat selama 5 bulan, telah membuka ruang untuk Mertens memainkan peranan sebagai penyerang utama untuk pasukan kendalian Maurizio Sarri.
Costacurta berpendapat bahawa Napoli tidak akan berada pada kedudukan sekarang jika tidak kerana sumbangan Dries Mertens.
“Saya berpendapat Napoli akan bergelut jika mereka tanpa Mertens. Malah ia lebih teruk jika Juventus tanpa Dybala dijadikan perbandingan,” ujar Costacurta.
Bekas pemain pertahanan itu membezakan Mertens kepada Dybala, yang merupakan pemain terbaik di dalam saingan Serie A setakat ini dan berada di kedudukan teratas senarai penjaring.
Bintang Juventus itu memulakan kempen Serie A dengan cemerlang dan telah menjaringkan 10 gol daripada 6 perlawanan pertama kempen musim ini. Dybala turut merekodkan 56% ketepatan percubaan ke arah gawang gol.
Costacurta menambah:
“Pada masa ini saya mempercayai Dybala adalah pemain yang lebih bagus daripada Mertens. Namun Mertens adalah watak lebih penting untuk pasukan berbanding dengan keberadaan Dybala.”
Jika keperluan semasa diambilkira, maka kenyataan Costacurta itu ada benarnya.
Penyerang antarabangsa Belgium itu telah menjaringkan 34 gol untuk Napoli dalam semua pertandingan pada musim lalu. Perubahan posisi menjadikan Mertens sebagai penyerang tengah untuk menggantikan Arkadiusz Milik membuahkan hasil buat Sari.
Mertens tidak menjaringkan gol ketika membantu pasukannya menewaskan S.P.A.L 2013 dengan jaringan 3-2 pada hujung minggu lalu. Namun kehadirannya sudah cukup untuk memberi masalah kepada pertahanan lawan dan memberi laluan untuk rakan sepasukannya menjaringkan gol.
Dikhabarkan Dries Mertens mempunyai klausa di dalam kontraknya yang bernilai €30 juta untuk ditebus dan kelab EPL, Arsenal sudah mulai dikaitkan dengan pemain berusia 30 tahun ini.
Sumber:
1. Cady Siregar, Squawka (2017): Mertens hailed as more decisive than Dybala amid Arsenal links; http://www.squawka.com/news/mertens-hailed-as-more-decisive-than-dybala-amid-arsenal-links/993998#x7TciCHEeOzuyDoE.99