Syamer Teruja Sertai Kem Harimau Malaya Untuk Aksi Kelayakan Piala Asia

Pemain tengah skuad Sukan SEA 2017, Syamer Kutty Abba ketika dihubungi oleh Semuanya BOLA mengakui dirinya teruja apabila mendapat panggilan pertamanya untuk bersama skuad kebangsaan.

“Alhamdulillah, saya rasa gembira dan tidak sangka akan dapat peluang sebegini,” ujarnya sambil berharap akan dapat belajar sesuatu ketika berada dalam skuad kebangsaan nanti.

Barisan Pemain Sukan SEA 2017 Yang Meraih Pingat Perak. Foto: The AFC.com

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada telah memanggil enam pemain skuad Sukan SEA untuk memperkuatkan Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara dan Hong Kong pada 5 dan 10 Oktober depan.

Pemain tersebut adalah penjaga gawang, Ifwat Akmal Che Kassim, Matthew Davies, Nor Azam Azih, Safawi Rasid, Adam Nor Azlin dan Syamer Kutty Abba. Inilah peluang buat pemain-pemain muda ini merebut dan menguatkan beberapa posisi dalam skuad kebangsaan.

Di antara keenam-enam pemain ini, beberapa pemain dijangka tiada masalah untuk mengisi beberapa posisi antaranya pertahanan kanan, Matthew Davies, Safawi Rasid (penyerang) dan Adam Nor Azlin yang boleh beraksi di semua posisi.

Aksi Syamer Kutty Abba ketika Sukan SEA 2017. Foto: Facebook FAM.

Untuk posisi Syamer, dia terpaksa bersaing dengan beberapa pemain yang lebih senior antaranya kapten, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan Kiko Insa. Apabila ditanya mengenai perkara ini, Syamer jelas cuba mengelak untuk memberi jawapan jelas.

“InsyaAllah saya akan buat yang terbaik dan pilihan di tangan jurulatih,” jawabnya ringkas.

Dia mengakui dirinya mampu untuk memberikan sesuatu kepada skuad kebangsaan jika diberikan peluang untuk beraksi. Selain akan bekerja keras dalam padang, dia yakin kehadirannya dalam skuad kebangsaan pasti akan memberikan lebih pilihan kepada Vingada.

“Saya janji yang saya akan berikan komitmen yang terbaik dan akan berikan segalanya jika diturunkan dalam latihan mahupun perlawanan sebenar,” tambahnya lagi kepada Semuanya BOLA.

Memiliki Fizikal Yang Besar Membantunya Dalam Persaingan Dengan Pemain Lawan. Foto: Facebook FAM.

Sememangnya Syamer memiliki gaya yang berbeza jika dibandingkan dengan pemain tengah yang lain. Ada yang mengatakan dia tidak beraksi seperti yang diharapkan, namun jika diamati, Syamer sebenarnya memberikan sisi pemain tengah yang berbeza.

Di Sukan SEA tempohari, disaat Nor Azam Azih merencana gerakan serangan ke kubu lawan, Syamer akan kekal melindungi kawasan tengah skuad negara. Ada yang membandingkan aksinya persis Yaya Toure, tetapi ianya masih jauh dan dalam proses pembikinan.

Mengenai lawan yang bakal dihadapi, Syamer mengakui kedua-dua pasukan adalah pasukan yang baik namun turut menyatakan bahawa Malaysia mampu menyaingi Korea Utara dan Hong Kong nanti.

Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah kemunculan semula Nazmi Faiz Mansor dan pemain sayap Felda United, Wan Zack Haikal ke dalam skuad kebangsaan. Wan Zack Haikal telah kembali mendapat sentuhan apabila berjaya meledak empat gol dalam dua aksi terkini.

 

 

Leave a Reply