Pemain tengah berpengaruh Terengganu iaitu Akram Mahinan akui beliau bersama rakan sepasukan lain bakal menghadapi cabaran cukup getir bagi aksi Piala Malaysia 2024/2025 seterusnya.
Melayakkan diri ke pentas separuh akhir, Sang Penyu bakal mencipta perhitungan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ), Gong Badak dalam misi mencipta keputusan positif.
Jika dilihat atas kertas, segalanya memihak kepada JDT daripada segi reputasi semasa serta kualiti pemain jika dibandingkan bersama pasukan tuan rumah.
Walaupun beraksi di halaman sendiri, jelas pasukan tuan rumah perlu tampil dengan persediaan lebih rapi terutama sekali membabitkan disiplin mereka sepanjang beraksi di atas padang.
Malah, Terengganu juga mungkin terpaksa melupakan khidmat dua pemain serangan mereka iaitu Safawi Rasid bersama Akhyar Rashid kerana isu pinjaman daripada JDT.
𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐋𝐚𝐠𝐢
𝑻𝒆𝒓𝒆𝒏𝒈𝒈𝒂𝒏𝒖 𝑭𝑪 𝒗𝒔 𝑱𝒐𝒉𝒐𝒓 𝑫𝒂𝒓𝒖𝒍 𝑻𝒂'𝒛𝒊𝒎
17 Januari 2024 – JUMAAT
9.00 pm
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong BadakPembelian tiket online boleh melalui dari aplikasi Terengganu FC yang boleh dimuat turun melalui… pic.twitter.com/LQAgoxMSHt
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 15, 2025
Namun perkhabaran rasmi terbaharu menyatakan Akhyar kini sudah pun sah menyertai Sang Penyu secara tetap dan diumumkan pada hari semalam di media sosial.
Melihat kepada situasi itu, Akram mengakui ia merupakan suatu tugasan sukar untuk mereka menghadapinya pada Jumaat ini namun beliau menganggap ia tidak mustahil.
Ujar anak jati Kedah itu, semangat beliau bersama rakan sepasukan lain pastinya bangkit untuk menghadapi Harimau Selatan kerana mendapat sokongan padu daripada para penyokong pada aksi tersebut.
“Atas kertas pastinya kami bakal mengharungi tugas sukar untuk menyaingi juara bertahan itu pada aksi separuh akhir pertama pada Jumaat ini.
“Tapi bagi saya ia tidak mustahil buat kami untuk melakar kemenangan jika semua pemain yakin dan percaya dengan kemampuan masing-masing.
“Apa yang paling penting kami perlu berikan yang terbaik, tidak leka, manfaatkan peluang dengan jaringan serta tidak cepat putus asa selain meletakkan impian untuk menang,” katanya menerusi Harian Metro.
Rekod perlawanan musim ini menyaksikan Terengganu sudah pun tewas kepada JDT ketika aksi berlangsung Stadium Sultan Ibrahim menerusi keputusan 0-4.
Sudah tentu persiapan rapi kini sedang dibuat dan Terengganu tidak rela untuk terus mencatat kekalahan demi menghidupkan peluang mereka ke pentas akhir.
Dijangka, Akram juga bakal membarisi kesebelasan utama dalam usaha Terengganu untuk memperkukuhkan jentera tengah mereka daripada dibocori pasukan lawan.