Kejayaan Ajax melayakkan diri ke separuh akhir UEFA Champions League telah menarik perhatian peminat bola sepak dari seluruh dunia. Real Madrid dan Juventus adalah antara dua kelab gergasi eropah yang ditumbangkan, untuk pertemuan menentang Tottenham Hotspur di peringkat seterusnya.
Ditubuhkan 119 tahun yang lalu, kelab bola sepak yang berpengkalan di Amsterdam ini dikenali dengan falsafah bola sepak ‘total football’ dan terkenal dengan kemampuan mereka menghasilkan pemain bola sepak berkelas dunia.
Berikut adalah antara lima fakta mengenai sejarah Ajax yang kami ingin kongsikan.
Pengurus Inggeris
Ajax pernah mendapatkan khidmat pengurus berbangsa Inggeris, Jack Reynolds sebanyak empat kali di antara tahun 1915 sehingga 1947. Reynolds pernah beraksi sebagai pemain bersama Manchester City, Burton United, Grimsby Town, Sheffield Wednesday dan juga New Brompton – namun lebih mencipta nama ketika bergelar pengurus pasukan.
Reynolds turut dikenang sebagai salah seorang individu yang bertanggungjawab menjelmakan falsafah bola sepak ‘total football’ di Akax. Ini kerana Rinus Michels, yang memodenkan falsafah bola sepak tersebut pada 1960 an bersama Ajax dan pasukan kebangsaan Belanda adalah pemain di bawah kendalian Reynolds. Dengan kata lain, bola sepak yang diamalkan oleh Michels turut dipengaruhi oleh pengurus berbangsa Inggeris itu.
Rekod Eredivisie
Pada musim 1966/67, Ajax menjaringkan 122 gol di Liga Eredivisie. Ia adalah rekod jaringan terbanyak dalam semusim oleh kelab Belanda di Liga Eredivisie. Skuad Ajax yang turut dibarisi pemain legenda Johan Cryuff itu turut menjuarai Piala Belanda, menjadikan mereka sebagai juara berganda pada musim tersebut.
Di eropah pula perlawanan menentang Liverpool adalah antara yang dikenang pada musim tersebut. Walaupun tidak menjuarai pertandingan tersebut, Ajax membelasah Liverpool 5-1 di Amsterdan sebelum seri 2-2 untuk layak ke suku akhir dengan agregat 7-3. Cryuff menjaringkan satu gol di Amsterdam, dan dua lagi gol di Anfield.
Juara eropah
Pengurus dari Romania, Stefan Kovac menjadi pengurus Ajax pada musim 1971/72 setelah Michels memilih untuk berhijrah ke Barcelona. Musim sebelumnya, Michels berjaya membawa kejuaraan eropah pertama untuk Ajax.
Pada musim pertama di bawah kendalian Kovac, Ajax menjaurai kejauraan liga, Piala Belanda dan Piala Eropah. Musim berikutnya, Ajax menjuarai Piala Intercontinental, kejuaraan liga dan Piala Eropah sekali lagi. Tiga kejuaraan Piala Eropah selama tiga musim berturut-turut menjadikan Ajax sebaris Real Madrid yang pernah memiliki pencapaian yang sama sebelum itu.
Logo kelab
Sejak penubuhan, Ajax pernah memiliki sehingga empat logo. Logo pertama kelab sekadar memaparkan seorang pemain Ajax menyepak bola. Ia diubah suai pada 1911 berpandukan jersi baru pasukan.
Logo ketiga pula memaparkan hero Greek, iaitu Ajax. Ia diubahsuai secara abstrak pada 1990 menggunakan 11 garisan sebagai mewakili 11 pemain.
Jersi pasukan
Tunjukkan kepada mana-mana peminat bola sepak, mereka pasti mengenal jersi ikonik putih dan merah pasukan Ajax. Namun ia bukanlah jersi asal mereka yang sebenar. Jersi pertama pada awal 1900 an adalah serba hitam bersama sedikit warna merah di bahagian pinggang.
Ia kemudianya ditukar dengan jersi berjalur warna putih dan merah dan dipadankan dengan seluar warna perang. Selepas berjaya melayakkan diri untuk beraksi di divisyen atasan pada 1911, jersi tersebut didapati sama dengan apa yang dipakai oleh Sparta Rotterdam. Ini memaksa Ajax untuk menukar sekali lagi corak jersi disebabkan peraturan liga. Corak jersi merah dan putih ikonik seperti yang digayakan oleh Cyruff dikekalkan sehingga pada hari ini.
Penutup
Ada banyak lagi fakta menarik mengenai Ajax seperti Matthijs de Ligt merupakan kapten termuda di dalam sejarah kelab.
Anda mempunyai fakta menarik lain untuk dikongsikan? Kongsikan di ruangan komen.