Quantcast

BERITA

Pemain Malaysia Berpeluang Sertai Kelab Liga Korea Selatan Musim Depan

Bintang muda Malaysia seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid berpeluang berhijrah menyertai kelab Liga Korea Selatan (K-League) apabila pengendali liga tersebut memperkenalkan kuota pemain import Asia Tenggara (Asean) mulai musim depan.

Mereka mengikut jejak langkah jiran tetangga, Jepun yang turut membuka laluan untuk pemain terbaik dari negara Asean beraksi dalam saingan J-league.

Namun berbeza dengan K-League, pihak J.League meletakkan pemain dari negara Asean berada dalam kategori ‘J.League Nation Partner’.

Ia bermakna mana-mana pemain dari negara-negara ‘J.League Nation Partner’ yang beraksi di J.League tidak akan menggangu kuota pemain import kelab kerana dianggap sebagai pemain tempatan.

Musim ini, K-League hanya membenarkan setiap kelab mempunyai 4 pemain import iaitu tiga pemain yang bukan dari benua Asia dan satu slot pemain dari Asia. Dengan penambahan kuota dari Asean ini, setiap kelab K-League bakal mempunyai 5 pemain import musim depan.

Vietnam ketika ini sudah pun mempunyai pemain mereka yang beraksi dalam saingan divisyen satu K-League. Pasukan Incheon United telah mendapatkan khidmat penyerang skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Cong Phuong secara pinjaman selama setahun dari kelab Hoang Anh Gia Lai.

Cong Phuong merupakan pemain yang penting dalam skuad Vietnam, beliau merupakan pemain yang menjadi tunjang kepada kejayaan mereka dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu.

Selain itu, beliau juga merupakan nadi utama pasukan dalam perjalanan skuad Vietnam yang berjaya mara ke suku akhir Piala Asia 2019.

Sambutan yang mengalakkan daripada warga Vietnam mungkin merupakan punca utama K-League cuba meluaskan pengaruhnya dalam kalangan negara Asean dan mengintai peluang untuk memasarkan liga mereka di sana.

K-League juga turut mengambil inspirasi daripada kejayaan J-League mendapat penajaan baharu dan berjaya menjual hak penyiaran ke negara Thailand semenjak kedatangan Chanathip Songkrasin yang kini bermain untuk Consadole Sapporo.

Pemain Malaysia perlu mengambil peluang ini untuk beraksi di luar negara

Mengulas mengenai peluang pemain Malaysia beraksi dengan kelab K-League, tahun lalu seorang penulis sukan dari Korea Selatan pernah mendedahkan pemain tengah Pahang, Azam Azih mendapat perhatian daripada negara itu selepas membantu skuad Malaysia B-23 layak ke peringkat suku akhir dalam saingan AFC B-23 di China.

Biarpun ketika itu Malaysia kecundang 1-2 kepada Korea Selatan di suku akhir, persembahan anak buah Datuk Ong Kim Swee mencuri per­hatian peminat bola sepak di se­luruh asia apabila berjaya mengekang finalis AFC B-23 edisi kedua di Stadium Kunshan kelmarin.

“Tiga-empat pemain Malaysia yang menarik perhatian ramai di Korea Selatan, namun Azam Azih adalah pemain terbaik di atas padang.

“Dia cukup tenang bila mendapat bola dan menjadi jambatan yang penting di antara pemain pertahanan dan penyerang Malaysia.

“Fokusnya langsung tidak terjejas meskipun bermain di dalam situasi tekanan tinggi dan itu memberi kelebihan kepada skuad Ong Kim Swee di bahagian tengah,” kata seorang penulis football tribe Korea Selatan, Han Ryu seperti dipetik dalam laman web Pahang FA.

Nor Azam Azih, Piala Airmarine

Azam Azih bersama Safawi Rasid dan Ariff Farhan ketika mewakili skuad Malaysia B-23 tahun lepas.

Malah, penulis tersebut turut menyebut nama penyerang JDT,  Safawi Rasid sebagai pemain yang berpotensi untuk beraksi di Korea Selatan.

“Bolasepak di peringkat kelab dan di peringkat antarabangsa cukup berbeza, namun berdasarkan kejohanan ini, saya rasa Safawi Rasid dan Nor Azam Azih adalah dua pemain Malaysia yang mempunyai potensi untuk bermain di luar negara, termasuk Korea.

“Persembahan, tahap keyakinan dan kreativiti yang ditunjukkan oleh kedua-dua individu ini tidak boleh diperkecilkan,” katanya.

Berdasarkan aksi cemerlang Safawi Rasid dalam saingan AFC Champions League bersama JDT, tidak mustahil beliau bakal menjadi buruan daripada kelab Korea Selatan pada musim depan.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!