Berikut merupakan kedudukan terakhir Kumpulan B, Kejohanan AFF B-18 yang sedang berlangsung di Yangon, Myanmar pada ketika ini.
Adakah anda perasan, pasukan Myanmar dan Vietnam memiliki jumlah mata, gol dan bolos yang sama? Bagaimana Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) menentukan pasukan yang lebih layak untuk mara ke separuh akhir?
Vietnam pada mulanya cukup selesa untuk layak ke separuh akhir selepas mempamerkan aksi memberangsangkan dalam tiga perlawanan pertama. Mereka menang kesemuanya.
Namun, nasib skuad B-18 mereka ini tak ubah seperti nasib skuad Sukan SEA Vietnam yang cemerlang tetapi tersingkir pada peringkat kumpulan. Kedua-dua pasukan tewas di perlawanan terakhir kumpulan.
Dalam Kejohanan AFF B-18 kali ini, Myanmar berjaya mengatasi Vietnam berdasarkan peraturan ‘head to head’ selepas kedua-dua pasukan terikat dengan perbezaan gol dan jaringan gol yang sama.
Barangkali sudah rezeki Myanmar apabila berjaya mengatasi Vietnam dalam aksi terakhir dengan keputusan 2-1. Titik tolak kelayakan adalah pada perlawanan terakhir tersebut, yang akhirnya telah dimanfaatkan Myanmar.
Merujuk kepada laman sesawang La Liga, peraturan ‘head to head’ bermaksud rekod keputusan pertemuan antara kelab-kelab yang berkongsi mata dalam kedudukan liga untuk menentukan kedudukan sebenar kelab tersebut.
Peraturan ‘head to head’ ini tidak diguna secara menyeluruh di seluruh dunia. Malah FIFA dan UEFA juga berbeza pandangan dalam menentukan kedudukan sebenar pasukan jika ianya terikat dalam satu-satu pertandingan.
FIFA dilihat menggunakan peraturan perbezaan jaringan bermula dari Piala Dunia 1970, dan ianya telah diguna dalam semua pertandingan anjurannya. Berbeza pula dengan UEFA yang menggunakan peraturan ‘head to head’.
Untuk liga-liga utama dunia pula, Liga Perdana Inggeris (EPL), Ligue 1 dan Bundesliga menggunapakai peraturan perbezaan jaringan, sementara La Liga dan Serie A mempraktikkan peraturan ‘head to head’.
Peraturan ‘head to head’ ini membantu pengurusan liga ataupun kejohanan dalam menentukan kedudukan setiap kelab dan pasukan dalam liga jika mata terikat antara satu sama lain.
Bahasa mudahnya, peraturan ini lebih kepada untuk menentukan kejuaraan liga ataupun status kelayakan pasukan atau kelab bertanding ke pusingan seterusnya.
Merujuk artikel hasil tulisan Adam White di Football Radar, peraturan ‘head to head’ ini dilihat lebih adil untuk semua pasukan dan kelab, dalam proses penyelesaian penentuan kedudukan sebenar di dalam liga.
Ianya seperti menambah elemen pusingan kalah mati tetapi dalam konsep dan format liga.
Berbalik kepada Kejohanan AFF B-18, Myanmar dijadualkan akan menentang juara Kumpulan A iaitu Malaysia pada 15 September ini, sementara Indonesia akan membuat perhitungan dengan Thailand untuk slot ke final.
Sumber Rujukan:
- Stewart Coggin, Thoughtco. (2017): Understanding Spain’s Primera Division
- LaLiga (2016): LaLiga and the head-to-head rule
- Adam White, Football Radar (2014): GAUGING THE MERITS OF GOAL DIFFERENCE AND HEAD-TO-HEAD