Analisis: Rumusan Perpindahan Pemain ‘Big 5’ Berdasarkan Laporan FIFA

Sejak 2010, semua pasukan bola sepak profesional yang berdaftar di bawah naungan badan bola sepak dunia FIFA wajib menggunakan Sistem Pemadanan Perpindahan Antarabangsa (ITMS) untuk mengendalikan perpindahan melibatkan pemain dari negara asal sesebuah pasukan.

Tujuannya ialah untuk mengumpul data pergerakan pemain di pasaran jendela perpindahan, jumlah aktiviti perpindahan, aliran kewangan dan maklumat perpindahan pemain secara global secara amnya.

Setiap tahun, bulan Jun, Julai dan Ogos menjadi tempoh yang paling sibuk di pasaran perpindahan pemain. Tahun 2017 juga tidak terkecuali.

167 daripada keseluruhan 211 ahli gabungan FIFA mengaktifkan jendela perpindahan pemain di liga kelolaan masing-masing di antara 1 Jun sehingga 1 September yang lalu.

Tumpuan kita semestinya terarah kepada 5 liga utama di eropah, yang merupakan pasaran perpindahan pemain paling aktif di dunia.

5 liga utama eropah (Big 5)

Tahun demi tahun aktiviti jendela perpindahan pemain di kalangan kelab-kelab bola sepak di 5 liga utama di eropah menunjukkan peningkatan dari segi jumlah dan nilai perpindahan.

Sejumlah 1608 perpindahan, peningkatan sebanyak 6.2% daripada musim lalu direkodkan.

Ia turut melibatkan nilai perpindahan keseluruhan mencecah USD 3.67 billion, mencatat peningkatan sebanyak 31.7% berbanding dengan perpindahan yang direkodkan pada musim panas yang lalu.

Sumber: FIFA

Nilai perpindahan melibatkan pasukan negara dari England, Sepanyol, Itali, Jerman dan Perancis itu turut menunjukkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 3 kali ganda berbanding jendela perpindahan musim panas yang sama pada 2012.

Untuk rekod, jendela musim panas 2012 hanya mencatatkan transaksi kewangan berjumlah USD 1.24 billion di kalangan kelab bola sepak kumpulan Big 5 ini.

Rumusan perpindahan: England

Kelab dari England adalah negara yang berbelanja paling tinggi pada jendela perpindahan pemain yang lalu. Secara keseluruhan, Liga Inggeris telah berbelanja sejumlah USD 1.40 billon sejak jendela perpindahan dibuka pada 1 Julai yang lalu.

Sumber: FIFA

Jumlah perbelanjaan oleh kelab-kelab di Liga Inggeris melebihi 2 kali ganda nilai yang dibelanjakan oleh 4 lagi liga bola sepak utama di eropah.

17 daripada kelab Liga Inggeris berbelanja melebihi jumlah USD 20 juta. Manakala rekod di negara lain dari kumpulan Big 5 hanya mencatatkan 9 kelab yang berbelanja menjangkau angka tersebut untuk mendapatkan pemain baharu.

Sumber: FIFA

Kemampuan kelab-kelab Inggeris berbelanja secara mewah untuk mendapatkan pemain disumbangkan oleh keuntungan yang dijana oleh hak penyiaran dan tajaan yang menunjukkan nilai perolehan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan liga bola sepak di negara lain.

Untuk itu, kelab-kelab Inggeris harus berterima kasih untuk nilai komersil yang menjadikan Liga Perdana Inggeris antara liga yang paling diminati di dunia.

Rumusan perpindahan: Sepanyol

Tidak seperti di England di mana kelab-kelab bola sepaknya mencatatkan jumlah perbelanjaan yang paling besar, kelab-kelab daripada Sepanyol mencatatkan jumlah keuntungan bersih tertinggi di kalangan 5 liga utama di eropah ini.

Sumber: FIFA

Secara keseluruhan, kelab-kelab yang beraksi di Liga Sepanyol mencatat sejumlah USD 752.3 juta. Ia sekaligus membenarkan Sepanyol untuk mencatat keuntungan bersih yang positif pada tahun ini.

Perkara ini sedemikian disebabkan oleh kecenderungan kelab-kelab dari Sepanyol untuk tidak membeli pemain, tetapi menggunakan kaedah pinjaman pemain untuk memperkuatkan skuad masing-masing.

Sumber: FIFA

Senarai perpindahan pemain di Sepanyol merekodkan 30.9% daripada perpindahan melibatkan kontrak berstatus pinjaman.

Peratusan ini dianggap tinggi jika purata 10.5% yang diamalkan oleh kelab-kelab di liga lain di kalangan 5 liga utama di eropah ini diambil kira.

Rumusan Perpindahan: Perancis

Perancis merekodkan peningkatan jumlah nilai perpindahan tertinggi di dunia untuk pemain dari luar Perancis pada tahun ini.

Pada jendela perpindahan pemain pada musim panas yang lalu, kelab-kelab di Perancis membelanjakan sejumlah USD 604.1 juta untuk membawa masuk pemain baharu.

Sumber: FIFA

Peningkatan nilai perbelanjaan ini adalah 250% berbanding perbelanjaan pada musim panas lalu dan 191% peningkatan untuk nilai perpindahan sepanjang tahun 2016 (termasuk jendela perpindahan Januari).

Nilai perpindahan Neymar Jr. daripada Barcelona ke Paris Saint-Germain sahaja sudah menyumbangkan nilai perpindahan USD 263.53 juta daripada jumlah keseluruhan yang dibelanjakan oleh kelab-kelab di Perancis.

Sumber: FIFA

Nilai rekod dunia yang melibatkan perpindahan bintang Brazil itu ke Ligue 1 pada musim panas lalu dijangka akan mengubah pasaran pemain pada jendela perpindahan musim panas seterusnya.

Adakah kelab-kelab Perancis akan terus berbelanja mewah selepas ini?

Rumusan perpindahan: Jerman

Jerman menunjukkan corak berbeza dalam pembelian pemain pada jendela perpindahan pada musim panas lalu. Lebih separuh daripada perpindahan yang dilakukan oleh kelab-kelab Liga Jerman melibatkan pemain-pemain yang sudah tamat kontrak.

Sumber: FIFA

Pembelian jenis ini melibatkan 56.8% daripada jumlah keseluruhan perpindahan di Jerman.

Ini bermakna kelab Jerman hanya perlu membayar jumlah minima atau tidak melibatkan yuran perpindahan langsung untuk separuh daripada urusniaga mereka.

Sumber: FIFA

70.4% daripada keseluruhan perpindahan di Jerman melibatkan pemain di bawah umur 24 tahun, dengan 32.1% daripadanya adalah pemain di bawah 21 tahun.

Rumusan perpindahan: Itali

Kelab-kelab di Itali adalah yang paling berhemah dalam perbelanjaan di kalangan 5 liga daripada 5 negara Big 5. Secara keseluruhan, mereka hanya membelanjakan sejumlah USD 506.8 juta pada jendela perpindahan yang lalu.

Sumber: FIFA

Walaupun merekodkan jumlah terkecil daripada segi perbelanjaan, kelab-kelab Itali merekodkan jumlah perpindahan terbanyak yang melibatkan transaksi kewangan.

Sumber: FIFA

Untuk ini, Itali merekodkan 45.6% peratus, lebih tinggi daripada Perancis (36.9%), England (35.7%), Jerman (35.4%) dan juga Sepanyol (31.9%).

Rumusan perpindahan: Lain-lain negara

Selain daripada 5 negara yang tersebut di atas, Rusia menjadi antara negara yang paling berbelanja mewah dengan 28 perpindahan masuk pemain melibatkan transaksi bernilai USD 129 juta.

Kelab bola sepak di Turki berurusniaga melibatkan 70 perpindahan masuk dengan transaksi bernilai USD 115.9 juta.

Ini diikuti oleh China yang menunjukkan pengurangan perbelanjaan sebanyak 74.9% berbanding musim lalu dengan jumlah urusniaga sebanyak USD 38.5 juta.

Rumusan

Banyak faktor yang akan mempengaruhi jumlah perbelanjaan dan pasaran pemain di seluruh dunia. Di England misalnya, kelab-kelab Inggeris mempunyai pendapatan yang tinggi dari hak penyiaran dan juga nilai tajaan.

Kelab-kelab di Perancis seperti AS Monaco dan juga Paris Saint-Germain pula mempunyai pemilik yang bercita-cita tinggi.

Manakala negara Asia seperti China dipengaruhi oleh dasar kerajaan yang meletakkan bola sepak sebagai antara agenda nasional negara berkenaan untuk menjadi sebuah kuasa besar bola sepak pada masa akan datang.

Apa pendapat anda? Adakah nilai perpindahan dan pasaran pemain akan terus meningkat pada masa akan datang?

Sumber:

1. FIFA (2017): Big 5 Window Transfer Analysis Summer 2017; https://www.fifatms.com/wp-content/uploads/dlm_uploads/2017/09/Big-5-Summer-2017.pdf

2. FIFA: THE INTERNATIONAL TRANSFER MATCHING SYSTEM; https://www.fifatms.com/itms/#row6

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN