Ketua jurulatih Thailand – Milovan Rajevac mengakui pasukan Malaysia selayaknya mendapat tempat di final Piala AFF 2018.
Rajevac kecewa kerana Thailand gagal menggunakan kesempatan yang ada untuk menang ke atas Malaysia. Menurut Rajevac, semangat pasukan Malaysia ketika beraksi di Kuala Lumpur tempoh hari sudah menunjukkan betapa Harimau Malaya lebih dahagakan kejayaan berbanding Gajah Perang.
“Sudah tentu saya tak berpuas hati kerana gagal mara ke final. Namun dari sudut lain, ianya memberikan pengalaman kepada para pemain.”
“Saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia. Mereka berhak untuk bermain di final.”
“Dalam kedua-dua perlawanan, Malaysia menunjukkan lebih kesungguhan dan lebih agresif. Mereka kelihatan sangat ingin untuk ke final.”
Malaysia ketinggalan 2 kali dalam perlawanan ini. Namun Syahmi Safari dan Norhshahrul Idlan Talaha berjaya mengikat kedudukan. Dalam kedudukan 2-2, Malaysia ada kelebihan menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Pada masa kecederaan 90+4 Thailand dihadiahkan sepakan penalti selepas Syahmi Safari menampan bola dengan tangan.
Detik mendebarkan untuk penyokong Malaysia. Manakala penyokong Thailand sudah sedia untuk meraikan kemenangan mereka untuk mara ke final.
Malangnya, pemain paling tajam dalam kejohanan kali ini – Adisak Kraisorn gagal menyempurnakan penalti yang melewati palang gol.
Rajevac berkata: “Kami ada peluang penalti dan gagal menyempurnakannya. Ianya agak malang pada penagakhiran perlawanan.”
“Saya awalnya memikirkan untuk menukar pengambil penalti dengan pemain lebih segar. Namun kami sudah menetapkan pada sebelum perlawanan, tugasan penalti adalah miliki Adisak Kraisorn.”
“Agak malang beliau gagal menyempurnakannya, dan kami tetap menyokong beliau.”