FAM Benarkan Akhyar Rashid Bayar RM210,000 Untuk Tebus Kontrak Dengan KFA

Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat mereka bertarikh 3 Disember 2018 (Isnin) telah mencapai keputusan berkenaan dengan isu melibatkan Akhyar Rashid yang meminta untuk penamatan kontrak.

Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) diberikan tempoh untuk menyelesaikan isu melibatkan kontrak Akhyar Rashid. KFA menyatakan Akhyar Rashid mahu menebus kontrak beliau bagi membolehkan beliau berhijrah ke JDT.

Pada 22 November 2018 – Naib Presiden KFA –  Anas Hafiz Mustafa memberitahu media bahawa JDT berminat mendapatkan Akhyar Rashid. KFA menyatakan Akhyar Rashid mendesak mereka untuk melepaskan beliau ke JDT.

KFA dalam sidang media sama mengesahkan Akhyar Rashid mahu FAM menjadi orang tengah untuk kes tersebut. KFA enggan melepaskan Akhyar Rashid yang masih ada baki kontrak setahun dengan mereka.

Anas Hafiz juga menegaskan JDT cuba mendapatkan Akhyar tanpa sebarang hitam putih. Beliau berkata: “Akhyar Rashid telah pun dilamar oleh JDT. Tetapi proses masih belum habis lagi sebab kita masih ada perbincangan-perbincangan lebih khusus dengan pihak pemain. Sebelum apa-apa keputusan dimuktamadkan.”

“Akhyar [Rashid] punya rundingan sebenarnya telah dibawa ke FAM. Bukan daripada Pihak KFA [sebaliknya] beliau sendiri yang [mem]bawa hal ini ke FAM.”

“Sebenarnya kita tidak menerima [sebarang] black and white [hitam putih], cuma pemain ada mohon minta dilepaskan. Sebenarnya dia [Akhyar] ada kontrak lagi dengan KFA – lagi setahun. Namun secara rasminya daripada pihak yang nakkan Akhyar masih belum ada lagi [menghantar sebarang hitam putih].”

Pada 24 November 2018, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menjawab kenyataan pihak KFA tersebut dan menyifatkan ia tuduhan yang tidak boleh diterima oleh mereka.

Alistair Edwards berkata: “Kami kecewa kerana dituduh cuba mendapatkan Akhyar Rashid tanpa berbincang dengan pengurusan Kedah.”

Seterusnya, Alistair tidak menolak bahawa mereka antara kelab yang mahukan Akhyar Rashid jika pemain itu berpindah.

Namun begitu, JDT sudah sedia maklum bahawa pemain itu masih ada baki kontrak di Kedah.

Alistair juga memberitahu bahawa JDT masih belum mengemukakan apa-apa tawaran kepada Akhyar Rashid. Alistair menjelaskan: “Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin berminat untuk menandatangani Akhyar – jikalau beliau bersedia untuk berpindah.”

“Tetapi kami sedia maklum bahawa beliau masih mempunyai kontrak dan disebabkan perkara tersebut, kami tidak membuat tawaran kepada Akhyar,” tambah beliau lagi.

Alistair tidak mahu ada pihak mengaitkan JDT dalam hal yang berkaitan dengan sebarang usaha Akhyar Rashid yang dilihat cuba meminta agar kontrak beliau ditamatkan.

Alistair menyatakan: “Kami tidak boleh menerima tuduhan sedemikian hanya kerana pemain tersebut [Akhyar Rashid] mahu menamatkan kontrak beliau.”

“Sekiranya Akhyar ejen bebas tanpa kontrak, beliau bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab yang mempunyai hasrat untuk mendapatkannya, termasuk JDT.”

FAM benarkan Akhyar Rashid tebus kontrak

Pada 5 Disember 2018 – FAM menerusi Jawatankuasa Statusnya membenarkan Akhyar Rashid menebus kontrak beliau bernilai RM210,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Seterusnya, selepas Akhyar Rashid bergelar ejen bebas, mana-mana pasukan yang menandatangani beliau perlu membayar RM75,000 kepada Kedah untuk pampasan latihan ataupun pembangunan (development clauses/bonus).

FAM menyatakan: “Tuntutan dikemukakan oleh 1 (seorang) pemain terhadap Persatuan Bola Sepak Kedah berhubung penamatan kontrak melalui tebus kontrak.”

“Keputusan Jawatantkuasa Status FAM adalah; Tuntutan pengadu, Muhammad Akhyar Abdul Rashid telah diterima sepenuhnya dan pengadu adalah dibenarkan untuk menebus kontrak pemain bolasepak bersama Persatuan Bola Sepak Kedah dengan bayaran nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000.”

“Mana-mana pasukan yang menandatangani kontrak pemain bolasepak bersama Pengadu seterusnya adalah dikehendaki untuk membayar kepada Responden, Persatuan Bolasepak Kedah sebanyak RM75,000 untuk pampasan latihan Pengadu.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN