Quantcast

BERITA

AFF 2018: Tan Cheng Hoe Bangga Dengan Semangat Dan Disiplin Para Pemain

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kini merasai pentas final Piala AFF Suzuki bersama skuad Harimau Malaya. Beliau memuji sikap para pemain yang kekal fokus di dalam padang – meskipun beraksi dalam tekanan.

Malaysia ketinggalan 2 kali di dalam perlawanan ini. Namun Harimau Malaya tetap berjaya bangkit. Fokus yang tinggi telah menjadi kunci kepada skuad Malaysia untuk mara ke final Piala AFF bagi menamatkan penantian kejuaraan sejak 2010.

Malaysia mara selepas mengikat Thailand 2-2 di Stadium Rajamangala. Harimau Malaya mara menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas pertemuan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Malaysia akan menanti siapakah lawan mereka – sama ada Filipina ataupun Vietnam – yang akan turun beraksi pada malam ini dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Tan Cheng Hoe berpendapat, Malaysia berjaya melepasi cabaran getir di Stadium Rajamangala kerana kesungguhan dan terus berdisiplin bermain dalam taktikal. Beliau berkata: “Selepas kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama, kami perlu kekal tenang dalam permainan, mengekalkan penguasaan bola dan cuba melakukan serangan balas.”

Harimau Malaya juga sangat berhati-hati dengan kualiti bola mati Thailand yang mencetuskan ancaman. Tan Cheng Hoe menambah: “Pemain mengikut taktikal dengan penuh disiplin pada babak kedua dan ini adalah keputusan yang menakjubkan.”

Ketika Thailand mendapat penalti pada masa kecederaan – Tan Cheng Hoe kekal tenang. Beliau yakin Farizal Marlias akan menyelamatkan bola sepakan Adisak Kraisorn.

Ini kerana menurut Tan Cheng Hoe, mereka sudah melakukan analisis video untuk penalti Adisak. Jika penalti itu gol, Malaysia tersingkir daripada kejohanan. Namun pemain sensasi Thailand tersebut gagal menyempurnakan penalti. Sekaligus membuatkan Thailand tersingkir di tangan Malaysia.

Tan Cheng Hoe menganggap ini adalah perlawanan yang hebat dan akan dikenang oleh mereka sampai bila-bila.

Pengendali pasukan Thailand – Milovan Rajevac mengucapkan tahniah kepada Malaysia yang disifatkan beliau sebagai pasukan yang lebih berhak mara.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!