Aksi suku akhir bagi kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menyaksikan 2 perlawanan telah pun dilangsungkan.
4 pasukan bertarung, dan 2 daripadanya telah pun berjaya meloloskan diri ke pusingan separuh akhir.
Menurut laporan BBC Sport, Nigeria dan juga Senegal berjaya mara ke separuh akhir dan menepati ramalan sebagai pasukan pilihan.
Nigeria berjaya menewaskan Afrika Selatan dalam perlawanan yang memerlukan gol minit akhir digunakan untuk menentukan pemenang.
Nigeria berjaya mendahului pada minit ke-29 menerusi Samuel Chukwueze yang menyudahkan hantaran lintang dari Alex Iwobi.
Separuh masa kedua menyaksikan Afrika Selatan berjaya memperoleh jaringan penyamaan yang diharapkan.
Gol terhasil dari jaringan Bongani Zungu pada minit ke-71 menerusi sepakan percuma yang pada mulanya dinafikan pengadil.
Namun begitu, hasil semakan Video Assistant Referee (VAR) mendapati sepakan Zungu sebenarnya terkena pemain Nigeria sebelum bola masuk ke dalam gol.
Untuk pengetahuan, penggunaan VAR di AFCON bermula pada peringkat suku akhir kejohanan.
Tuah jelas memihak Nigeria apabila William Troost-Ekong berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89.
Beliau dengan mudah menolak bola masuk ke dalam pintu gol selepas penjaga gol Afrika Selatan gagal menangkap bola sepakan penjuru Moses Simon.
Dalam satu lagi aksi suku akhir, Senegal berjaya mara selepas menewaskan Benin dengan jaringan 1-0.
Gol tunggal perlawanan terhasil pada minit ke-69 menerusi Idrissa Gueye.
Gabungan 2 pemain kelab Mersyeside iaitu Sadio Mane (Liverpool) dan juga Gueye (Everton) telah menghasilkan gol untuk memberikan kemenangan buat Senegal.
Kekalahan buat Benin bertambah perit apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain di babak terakhir permainan selepas Olivier Verdon dibuang padang.
Nigeria akan bertemu pemenang di antara Ivory Coast dan juga Algeria di separuh akhir.
Sementara Senegal akan menentang pemenang antara Madagascar atau Tunisia.