Quantcast

BERITA

Eder Militão Diserang ‘Anxiety Attack’ Ketika Sidang Media Di Real Madrid

Pertahanan baru Real Madrid, Eder Militão terpaksa menghentikan sidang media pengenalannya selepas mengadu tidak sedap badan dan pening-pening.

Pemain Brazil berusia 21 tahun itu mempunyai rekod sering menghidap serangan panik (anxiety attack) ketika bercakap dengan media.

Eder Militão menunjukkan tanda-tanda serangan panik ketika wartawan bertanya soalan mengenai hubungannya dengan pemain-pemain Brazil lain di Real Madrid. Beliau meneguk segelas air sebelum mula mengurut-urut kepala dan melonggarkan tali lehernya sebelum mengadu tidak boleh bercakap kepada penterjemah yang duduk di sebelahnya.

Peminat bola sepak Brazil dan Portugal sememangnya sudah kenal dengan karakter Militão yang malu-malu dan mudah gelabah apabila diminta bercakap di depan kamera. Pemain yang menyertai Real Madrid dari Porto dengan yuran perpindahan €50 juta itu pernah memberitahu media yang beliau ‘tidak gemar buat temuramah’.

Anxiety attack merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan pesakit sesak nafas dan pening-pening apabila menghadapi sesuatu yang membuatkan mereka gemuruh. Semua orang gemuruh, tetapi orang yang mempunyai anxiety attack boleh menjadi pengsan jika gemuruh mereka tidak ditangani.

Eder Militão merupakan salah seorang daripada 5 pemain yang baru menyertai Real Madrid baru-baru ini. 4 lagi pemain lain adalah Ferland Mendy (€48 juta), Eden Hazard (€100 juta), Rodrygo Goes (€45 juta) dan Luka Jovic (€60 juta).

Biodata Eder Militão

Tarikh lahir: 18 Januari 1998 (21 tahun)
Tempat lahir: Sertãozinho, Brazil
Ketinggian: 187 cm
Posisi: Pertahanan tengah, tengah defensif
Kekuatan: menggelecek, memenangi duel, teknik hantaran, membaca perlawanan, tandukan