Saat anda membaca artikel ini, skuad B-15 negara baharu sahaja mendarat di Vientiane.
Bagi yang belum mengetahui, ibu kota Laos yang direntasi oleh Sungai Mekong itu adalah tuan rumah untuk saingan Kumpulan J bagi pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-16 2020.
Antara impian dan harapan
Di Vientiane nanti, skuad B-15 kebangsaan akan berdepan Kemboja pada 18 September, Laos pada 20 September dan Jepun pada 22 September 2019.
Skuad kendalian P. Maniam ini mulai mencuri tumpuan peminat bola sepak di dalam negara apabila muncul juara Kejohanan AFF B-15 yang diadakan pada bulan lalu.
Misi seterusnya ialah untuk melayakkan diri ke pentas yang lebih besar, iaitu Kejuaraan AFC B-16 pada tahun hadapan, sebelum ke kejohanan Piala Dunia B-17. Itulah impian dan laluan yang kita harapkan bakal dilalui oleh skuad muda ini.
Kita satu keluarga
Bagi pengendali dan Ketua Jurulatih, P. Maniam, beliau mempunyai resipi tersendiri untuk memastikan rentak kemenangan konsisten sejak beberapa kejohanan lalu – termasuk kejohanan jemputan – diteruskan di Laos.
Namun bagi Maniam, kemenangan bukan segala-galanya terutama apabila bercakap mengenai proses dalam pembangunan bola sepak.
Seperti yang dikongsikan melalui media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Maniam dipetik sebagai berkata:
“Dengan skuad B-15 tahun ini kita tidak boleh terlalu terapkan sangat misi untuk menang, mereka masih budak-budak dan masih di fasa untuk ‘dibangunkan’.
“Di fasa ini prestasi individu lebih penting dan paling utama setiap pemain perlu ‘enjoy the game’ iaitu seronok berada dalam perlawanan dan bersama pasukan.
“Penting untuk kami (bersama semua kakitangan kejurulatihan) bijak mengawal emosi serta psikologi setiap pemain. Justeru, kita semua ibarat ‘family’ dan rapat dengan mereka yang mana setiap malam kami mempunyai sesi bersembang bagai satu keluarga berkongsi apa saja, masalah, cerita dan gelak ketawa,” dedah Maniam.
Satu perkara yang pasti, kejayaan di Chonburi Thailand sebelum ini akan membuatkan pasukan lain lebih bersedia untuk berhadapan pasukan negara selepas ini.
Jepun bukan lawan yang mudah. Manakala Laos hampir mengejutkan pasukan negara di kejohanan AFF B-15 yang lalu.
“Lepas menjuarai AFF pastinya ramai yang akan memandang kita sebagai pesaing hebat sekaligus menjadi misi utama negara-negara ini untuk menundukkan Malaysia.
“Di sini kami perlu bijak menjaga pemain agar bersedia terutama mental dan fizikal. Semua tugas ini ialah kerja sebagai satu pasukan ‘teamwork’ demi Malaysia,” kata Maniam.
Pemain sedar tanggungjawab
P. Maniam jelas bukan cakap kosong melalui perkongsian tersebut. Barisan pemain turut berkongsi pendapat yang sama.
“Apa yang kami lihat, pasukan sudah berada di landasan tepat untuk ke Piala Dunia. Kalau dilihat dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama tuan rumah, Kemboja, Jepun dan Laos, kami boleh beri tentangan pada negara-negara ini.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh ambil mudah pada saingan lawan terutama Jepun. Apa kesilapan serta kekurangan yang kami pelajari di Chonburi terutama dalam mengawal kesabaran, mental serta emosi akan kami perbetulkan,” kata Khairil yang berasal dari Tawau, Sabah.
Skuad B-15 Kebangsaan Berlepas ke Laos Bagi Menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020
Skuad B-15 kebangsaan…
Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Thursday, September 12, 2019
Bagi penjaring terbanyak skuad muda negara di Thailand tempoh hari, Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin, pengalaman di Thailand yang memberi ujian secara psikologi terutama dalam perlawanan menentang Thailand selaku tuan rumah adalah sesuatu yang berharga.
“Jujurnya itu adalah pertama kali saya berlawan dalam suasana yang gamat dengan sokongan serta jeritan tuan rumah, Thailand. Saya ingat apa yang jurulatih (P. Maniam) pesan untuk sentiasa tenang dan positif. Suasana itu akan saya ingat sampai bila-bila.
“Apapun berbekalkan semangat pasukan, mengikut taktikal jurulatih, keyakinan tinggi dan paling penting sokongan rakyat Malaysia, kami berharap untuk melakar satu lagi kejayaan di Pusingan Kelayakkan Kejuaraan B-16 AFC 2020,” katanya yang meledak lima gol di Chonburi.
Penutup
Perkongsian dari P.Maniam dan pemain-pemainnya ini seharusnya didukung oleh sokongan dari seluruh rakyat Malaysia.
Cabaran pasukan negara di Pusingan Kelayakan Kumpulan J Kejohanan AFC B-16 di Vientiane, Laos akan bermula pada 18 sehingga 22 September hadapan.
Juara kumpulan dan empat pasukan nasib juara terbaik dari kalangan 11 kumpulan bertanding akan beraksi di pusingan akhir AFC B-16 pada tahun hadapan. Tuan rumah untuk kejohanan pada tahun hadapan akan layak secara automatik. Sekiranya pasukan tuan rumah sudah layak, pasukan naib juara ke-5 terbaik akan dipilih untuk melengkapkan 16 pasukan bertanding.
Buat skuad muda negara, selamat maju jaya kami ucapkan!